Jangan Membazir Ketika ‘Membazar’

Kesibukan, kesesakan dan kerisauan menghadapi musim masuk persekolahan baharu dalam kalangan isi rumah pada pertengahan Februari 2025 telah mula surut. Bukan sahaja jadual persekolahan perlu disusun, tetapi hal ehwal logistik seperti siapa yang bertanggungjawab menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah juga termasuk dalam urusan yang perlu dirancang dengan baik. Jika tidak diteliti dengan betul, kelam kabut nanti dibuatnya. Semua urusan ini tidak lari daripada aspek kewangan kerana ia melibatkan kos. Jadi, sebaik sahaja gaji masuk, ibu bapa bolehlah menarik nafas lega… untuk seketika.

Mac 2025 tiba bersama bulan yang dinanti-nantikan sepanjang tahun, iaitu Ramadan Kareem. Seperti tahun 2024, bulan penuh keberkatan ini hadir sejurus selepas sesi persekolahan bermula, dengan jarak masa hanya beberapa minggu sahaja. Ia kemudian akan disusuli dengan Hari Raya Aidilfitri pula pada penghujung Mac.

Kemeriahan boleh bertukar menjadi “kemurungan” jika kewangan tidak diurus dengan rapi. Sekiranya gaji tidak disusun sebaiknya, kita mungkin terpaksa bergantung pada simpanan sebagai penyelamat kecemasan. Lebih membimbangkan, jika simpanan pun habis, ada kemungkinan raya kita akan bermula dengan hutang.

Tenang, dan tarik nafas. Ini bukan masanya untuk menekan butang panik. Sebaliknya, inilah ruang dan peluang untuk kita menimba ilmu, belajar, dan mengamalkannya sebaik mungkin. Inilah langkah pertama ke arah kewangan yang lebih sejahtera. Gain knowledge!

Mari kita kupas satu per satu, bermula dengan puasa terlebih dahulu. Dalam bulan Ramadan, kita akan berdepan dengan keputusan yang perlu dibuat setiap hari — juadah untuk berbuka puasa. Kepelbagaian sajian yang hanya ada pada bulan Ramadan sahaja, ditambah pula dengan keadaan lapar dan dahaga, menjadikan keputusan harian ini semakin sukar.

Ayam golek, tepung pelita, dan martabak adalah antara makanan yang boleh didapati di Malaysia sepanjang tahun. Namun, apabila tiba bulan Ramadan, makanan-makanan ini secara tiba-tiba menjadi lebih istimewa. Tiada salahnya kita meraikan pesta makanan ini, asalkan perbelanjaan dikawal dengan baik.

Jadi, mari kita lihat tiga (3) TIP sebagai ilmu yang boleh diamalkan sebelum merancang pengalaman bazar kita tahun ini:

1. Sediakan Belanjawan Sebelum Ke Bazar

Sebelum melangkah ke bazar, pastikan kita sudah menetapkan peruntukan perbelanjaan. Membeli tanpa had boleh menyebabkan kita berbelanja berlebihan. Sebagai contoh, jika kita menetapkan bajet makanan sebanyak RM600 sebulan, maka perbelanjaan harian kita mestilah sekitar RM20 sahaja.

Sekiranya ada makanan yang diingini melebihi peruntukan, kita perlu berkorban dahulu. Tangguhkan kemahuan (delay gratification) dengan membeli secara sederhana dan berjimat cermat hari ini. Lebihan wang yang dijimatkan boleh disimpan sebagai peruntukan tambahan untuk hari berikutnya.


2. Jalan Dulu, Baru Beli

Sebaik sahaja sampai di bazar, semuanya akan nampak menyelerakan. Lebih-lebih lagi apabila kita berada dalam keadaan lapar. Kajian dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences pada tahun 2015 membuktikan bahawa seseorang yang berbelanja ketika lapar cenderung untuk berbelanja secara berlebihan.

Jadi, kita perlu bijak berstrategi. Salah satu cara yang berkesan adalah dengan ‘berjalan dahulu sebelum membeli’. Tahan diri daripada terus membeli sebaik sahaja melihat juadah yang diinginkan. Sebaliknya, berjalanlah dahulu untuk cuci mata. Sambil melihat-lihat, kita juga boleh memerhatikan harga yang ditawarkan bagi setiap juadah yang diingini.

Sesudah sampai ke penghujung bazar, sudah tentu bermacam-macam menu yang kita mahukan. Tenang, tarik nafas, dan fikirkan dengan baik juadah mana yang benar-benar kita inginkan. Kita juga sudah mendapat gambaran harga mengikut peruntukan yang ditetapkan.

Kini, tibalah masanya untuk membuat keputusan. Susun pilihan juadah mengikut belanjawan yang telah disediakan sebelum datang ke bazar. Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran, tetapi juga memastikan perbelanjaan lebih terkawal.

3. Catat Perbelanjaan

Untuk setiap perbelanjaan di bazar, catatlah. Catatan perbelanjaan membantu kita menjejaki duit yang telah dibelanjakan (money trail). Ini memudahkan kita menyemak sekiranya berlaku pembaziran. Selain itu, catatan ini boleh dijadikan kayu ukur untuk menyediakan peruntukan pada hari-hari seterusnya.

Sekiranya ada juadah yang tidak sempat dibeli kerana bajet sudah habis, jangan risau, esok masih ada. Lagipun, puasa kan mengajar kita untuk mengawal nafsu? Kita menahan diri daripada lapar dan dahaga selama 14 jam lamanya, tetapi hanya mengambil masa 14 minit untuk merasa kenyang semula. Elakkan pembaziran makanan kerana ia juga bermaksud pembaziran wang.

Perbelanjaan harian ini perlu dijumlahkan keseluruhannya untuk melihat sama ada ia seiring dengan belanjawan bulanan kita. Contohnya, jika diperuntukkan RM600 sebulan untuk perbelanjaan makan bagi seorang, adakah kita berjaya berbelanja tidak melebihi RM20 sehari?

Berbelanja di bazar mungkin nampak kecil, tetapi kegagalan merancang dan mengurusnya dengan baik bermakna kita berbelanja secara tidak berhemat menjelang raya. Gagal merancang hanyalah resipi untuk merancang kegagalan.

Tiga (3) panduan ini juga sebenarnya boleh diamalkan ketika kita membeli-belah untuk persiapan raya. Menyediakan belanjawan, berjalan dahulu sebelum membeli, dan mencatat setiap perbelanjaan boleh membantu kita mengoptimumkan sumber kewangan yang ada. Kemampuan kewangan kita bukan sahaja terhad kepada perbelanjaan ketika puasa dan raya, malah potensinya jauh lebih besar.

Dengan perbelanjaan yang berhemat dan terkawal, kita dapat memastikan bukan sahaja gaji mencukupi, malah simpanan kita tidak terusik. Akaun 3 KWSP, sebagai contoh, adalah simpanan yang berpotensi menjana pendapatan sehingga 6.30% setahun berdasarkan pengumuman kadar dividen bagi tahun 2024.

Namun, ia hanyalah sekadar pengumuman jika kita lebih memilih untuk menggunakan wang simpanan persaraan kita bagi tujuan membeli baju raya baharu yang lambat laun akan lusuh juga. Keputusan kewangan yang bijak membina kekayaan yang lestari untuk masa depan.

Let’s GROW Together with AKPK!

Previous ArticleNext Article

Organisasi Malaysia Terlepas Pandang Risiko AI Demi Mengejar Permintaan

KUALA LUMPUR, 23 April 2026 – Peneraju global keselamatan AI, TrendAI telah menerbitkan kajian baharu yang mendedahkan bahawa organisasi di seluruh dunia terus mempercepatkan pelaksanaan AI walaupun menyedari risiko keselamatan dan pematuhan yang terlibat.

Di Malaysia, kajian mendapati 75% pembuat keputusan IT dan 70% pemimpin perniagaan berasa tertekan untuk meluluskan penggunaan AI walaupun terdapat kebimbangan keselamatan, dengan satu daripada tujuh responden menyifatkan kebimbangan tersebut sebagai “sangat serius” tetapi tetap diketepikan demi mengejar pesaing dan memenuhi permintaan dalaman.

Penggunaan AI Mengatasi Kawalan

Dari segi kematangan tadbir urus, hanya 29% pembuat keputusan perniagaan di Malaysia berasa sangat atau amat yakin dalam memahami rangka kerja undang-undang berkaitan AI, berbanding 63% dalam kalangan pembuat keputusan IT.

Kira-kira separuh (52%) pembuat keputusan IT telah mempunyai dasar AI yang komprehensif, manakala 39% masih dalam proses merangka. Hampir separuh (51%) pemimpin IT menyatakan kekurangan kepakaran keselamatan atau data sebagai halangan utama kepada penggunaan AI yang selamat, diikuti kekurangan peraturan dan piawaian pematuhan (49%).

Pengarah Urusan Malaysia, TrendAI, Goh Chee Hoh berkata, “Organisasi di Malaysia melaksanakan AI lebih pantas daripada keupayaan mereka mengurus risiko berkaitan, sekali gus mewujudkan jurang yang semakin melebar antara aspirasi dan pengawasan. Jurang ini turut dipengaruhi oleh perbezaan tahap kematangan tadbir urus dalam kalangan pemimpin perniagaan. Untuk merapatkan jurang ini, kepimpinan perlu bergerak melangkaui pendekatan keselamatan reaktif. Ia bermula dengan keterlihatan menyeluruh mengetahui dengan tepat bagaimana AI berinteraksi dengan data serta mewujudkan kerangka berpusat yang menggabungkan akauntabiliti dan pengawasan risiko dalam seni bina sistem.”

Beliau turut menyatakan bahawa piawaian MY-AI adalah langkah positif dalam menangani risiko seperti deepfake dan bias algoritma. Namun, ketika Malaysia mempercepatkan usaha menjadi negara AI menjelang 2030, organisasi perlu memberi tumpuan kepada tadbir urus yang kukuh dan daya tahan defensif bagi memastikan penggunaan AI yang pesat dapat diterjemahkan kepada masa depan digital yang mampan.

Ketua Platform & Perniagaan TrendAI, Rachel Jin berkata, “Organisasi bukan tidak sedar akan risiko, tetapi kekurangan keupayaan untuk menguruskannya. Apabila pelaksanaan didorong tekanan persaingan dan bukannya kematangan tadbir urus, AI akan dimasukkan ke dalam sistem kritikal tanpa kawalan yang mencukupi. Kajian ini mengukuhkan fokus kami untuk membantu organisasi mencapai hasil perniagaan kukuh dengan AI sambil mengurus risiko dengan baik.”

Risiko Pelaksanaan AI Dipacu Tekanan Semakin Meningkat

Risiko ini diperburuk oleh ketidakkonsistenan tadbir urus dan ketidakjelasan tanggungjawab terhadap risiko AI, yang kini semakin meluas. Dalam banyak kes, pasukan keselamatan terpaksa bertindak secara reaktif terhadap keputusan pelaksanaan AI dari pihak atasan, yang sering membawa kepada penggunaan alat AI tidak rasmi atau “shadow AI”.

Kajian ancaman terkini TrendAI menunjukkan penjenayah siber sudah mula menggunakan AI untuk mengautomasikan proses pengintipan, mempercepat kempen phishing dan menurunkan halangan kemasukan kepada jenayah siber, sekali gus meningkatkan kelajuan dan skala serangan.

Keyakinan terhadap AI Autonomi Masih Rendah

Keyakinan terhadap sistem AI yang lebih maju dan autonomi masih berada pada tahap perkembangan. Kurang daripada separuh (44%) pembuat keputusan perniagaan di Malaysia percaya AI berasaskan agen (agentic AI) mampu meningkatkan pertahanan siber secara signifikan dalam jangka masa terdekat, dengan kebimbangan berterusan terhadap akses data, penyalahgunaan dan kekurangan pengawasan.

Data menunjukkan kebimbangan utama organisasi adalah:

  • 57% melihat akses AI kepada data sensitif sebagai risiko terbesar
  • 45% bimbang arahan berniat jahat boleh menjejaskan keselamatan
  • 37% risau penyalahgunaan status AI yang dipercayai dan risiko pelaksanaan kod autonomi

Selain itu, 36% mengakui mereka kekurangan keupayaan pemantauan dan audit terhadap sistem ini, menimbulkan persoalan serius tentang kawalan selepas AI digunakan.

Hampir separuh (48%) organisasi menyokong mekanisme “kill switch” AI untuk menutup sistem sekiranya berlaku kegagalan atau penyalahgunaan, manakala lebih separuh masih belum pasti. Ini menunjukkan organisasi sedang bergerak ke arah AI autonomi tanpa kesepakatan jelas tentang cara mengekalkan kawalan apabila diperlukan.

Rachel Jin menambah, “AI berasaskan agen membawa organisasi ke dalam kategori risiko baharu. Kajian kami menunjukkan kebimbangan sudah jelas daripada pendedahan data sensitif hingga kehilangan pengawasan. Tanpa keterlihatan dan kawalan, organisasi sebenarnya melaksanakan sistem yang mereka sendiri belum faham sepenuhnya dan risiko ini hanya akan meningkat jika tiada tindakan diambil.”

Untuk laporan global penuh: Securing the AI-Powered Enterprise – Governance Gaps, Visibility Challenges and Rising Risk

*TrendAI melantik SAPIO Research untuk meninjau 3,700 pembuat keputusan IT dan perniagaan di 23 negara seluruh dunia.