Proton Bakal Lancar EV Kedua, e.MAS 5 Pada Suku Keempat 2025

SERDANG, 8 Mei (Bernama) — Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net), anak syarikat milik penuh Proton Holdings Bhd, bakal melancarkan model kenderaan elektrik (EV) terbarunya, e.MAS 5 pada suku keempat 2025.

Ketua Pegawai Penjenamaan Pro-Net Salawati Mohd Yusoff berkata EV terkini itu berbeza daripada model pertama mereka iaitu e.MAS 7, dari segi segmen kerana EV sebelumnya adalah kenderaan utiliti sukan kompak (C-SUV), manakala e.MAS 5 dikategorikan sebagai hatchback segmen B.

“Sehubungan itu, dari segi saiz, e.MAS 5 adalah jauh lebih kompak berbanding e.MAS 7… dan kami akan menawarkan lima pilihan warna yang berbeza untuk model ini.

“Dari segi harga, kami belum boleh mendedahkannya buat masa ini, tetapi secara amnya model-model e.MAS kami berharga melebihi RM100,000. Kami berharap untuk menetapkan harga EV terbaru ini dengan lebih baik dan mampu milik,” katanya kepada Bernama pada acara Malaysia Autoshow 2025 di sini hari ini.

Salawati berkata e.MAS 5 akan ditawarkan dalam dua varian — model Prime dengan jarak perjalanan sejauh 345 kilometer dan model Premium yang menawarkan jarak sehingga 410 kilometer.

Beliau berkata syarikat yakin EV terbaharu itu akan diterima baik di pasaran memandangkan sambutan yang menggalakkan terhadap model EV pertamanya.

Ini kerana rakyat Malaysia semakin menunjukkan minat dan keterbukaan untuk beralih kepada EV, katanya.

Setakat ini, sebanyak 2,700 unit e.MAS 7 telah terjual sejak pelancarannya pada Disember tahun lalu, katanya.

Malaysia Autoshow 2025 yang memasuki tahun ketiga penganjurannya, menampilkan 200 pempamer dan lebih 500 kenderaan.

— BERNAMA

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.