Apa Yang Sebenarnya Kita Mahu Betulkan Sepanjang Hidup?

Setiap kali tahun baharu tiba, kita sering disajikan dengan naratif yang sama iaitu azam baharu, sasaran lebih besar, gaya hidup luar biasa dan motivation quote. Namun, realiti di Malaysia kini jauh lebih rumit berbanding senarai azam yang cantik di media sosial.

Bagi ramai rakyat Malaysia, tajuk “Tahun Baharu” bukan lagi tentang menjadi lebih hebat tetapi tentang berhenti mengulangi kesilapan kewangan yang sama kerana ramai yang terasa tekanan kos hidup makin berat, simpanan tipis, dan hutang rumah tangga semakin membebankan.

1. Realiti Kewangan Isi Rumah: Gaji Kurang Tumbuh, Kos Hidup Meningkat

Kos sara hidup di Malaysia terus menjadi isu utama. Indeks harga pengguna (CPI) meningkat lebih cepat berbanding kenaikan gaji sebenar, dan itu memberi kesan terus kepada kuasa beli rakyat. Dalam tempoh lima tahun, CPI keseluruhan Malaysia naik hampir 10%, dengan harga makanan dan minuman yang melonjak lebih tinggi membantu menunjukkan bagaimana inflasi memakan kuasa beli gaji yang stagnan.

Sementara itu, hampir separuh rakyat Malaysia (sekitar 41%) dilaporkan sukar menabung secara konsisten kerana tekanan perbelanjaan harian, dengan banyak isi rumah terpaksa mengutamakan perbelanjaan cashflow jangka pendek.

Ini menunjukkan bahawa ramai yang bukan sahaja tidak mempunyai lebihan untuk disimpan, tetapi sesetengahnya juga terpaksa berjuang setiap bulan hanya untuk memastikan belanja harian mencukupi.

2. Hutang Isi Rumah Dan Risiko Kewangan Yang Menghantui

Salah satu isu paling besar dalam kewangan peribadi rakyat Malaysia ialah hutang isi rumah.

Menurut data rasmi:

  • Jumlah hutang isi rumah Malaysia kini sekitar RM1.65 trilion, bersamaan kira-kira 84.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).
  • Dalam erti kata lain, hutang isi rumah dalam negara masih tinggi berbanding banyak negara ASEAN lain, menjadikan leverage domestik sebagai cabaran berterusan.

Walaupun hutang dalam negara ini didapati masih mempunyai buffer melalui aset kewangan keseluruhan isi rumah yang lebih tinggi, nisbah hutang kepada pendapatan masih menjadi faktor risiko apabila berlaku kejutan kewangan seperti hilang pekerjaan, kecemasan perubatan atau kenaikan kadar faedah.

Tambahan pula, jenis hutang yang dominan adalah pinjaman perumahan dan kenderaan, yang membuatkan banyak isi rumah terikat dengan pembayaran tetap setiap bulan.

3. Simpanan Dan Ketahanan Kewangan: Tidak Mantap

Walaupun kadar hutang boleh diuruskan secara agregat, simpanan peribadi rakyat Malaysia masih kelihatan rapuh.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa:

  • Lebih separuh rakyat Malaysia (sekitar 52%) tiada simpanan kecemasan yang mencukupi jika berlaku kecemasan, mereka perlu menggunakan simpanan bulanan atau bergantung kepada bantuan lain.
  • Simpanan yang mencukupi untuk bertahan beberapa bulan tanpa pendapatan hanya mampu dilakukan oleh sebilangan kecil isi rumah.

Tambahan pula, kajian mendapati ramai pula B40 dan M40 hidup ‘paycheck to paycheck’, dengan hampir separuh mengatakan mereka tidak mempunyai lebihan besar untuk menampung kecemasan sekiranya pendapatan terputus.

Ini menggambarkan bahawa walaupun ada usaha untuk menabung, ketahanan kewangan peribadi masih lemah dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia.

4. Trend Simpanan Menurun Di Kalangan Kelas Pertengahan

Satu data menarik menunjukkan bahawa ketahanan simpanan dalam kalangan pendapatan sederhana (M40) sebenarnya berada pada tahap yang merosot:

  • Hanya sekitar 23% daripada kumpulan ini mampu menyimpan lebih RM1,000 sebulan, turun dari sebelumnya.
  • Hampir 47% di antara mereka melaporkan hidup paycheck to paycheck.

Ini bukan hanya angka ia menunjukkan bahawa walaupun golongan berpendapatan sederhana cuba mengurus kewangan secara aktif, realiti kos hidup dan komitmen bulanan menjadikan penyimpanan jauh lebih sukar daripada sebelum ini.

5. Apa Rakyat Malaysia Sebenarnya Mahu Betulkan

Daripada statistik di atas, kita boleh memahami bahawa rakyat Malaysia tidak lagi mencari azam tahun baharu yang dramatik seperti “jadi jutawan” atau “belajar ilmu kompleks pelaburan”.

Apa yang mereka benar-benar mahu betulkan ialah:

i) Mengurangkan tekanan kewangan bulanan

Alihkan fokus dari mengejar target besar kepada mengurus aliran tunai harian supaya tidak terbelit hutang tidak perlu setiap bulan.

ii) Meningkatkan ketahanan simpanan kecemasan

Bukan sebanyak yang dramatik, tetapi cukup supaya mereka tidak bergantung kepada credit atau bantuan pihak lain bila berlaku krisis kecil.

iii) Elakkan keputusan kewangan emosional

Daripada masuk pelaburan yang tidak difahami atau membeli barang atas FOMO, ramai mahu belajar buat keputusan berpandukan maklumat dan disiplin.

iv) Hidup lebih tenang dengan kewangan yang lebih stabil

Bukan lebih kaya, tetapi kurang tertekan apabila berdepan komitmen bulanan, hutang atau keadaan tidak terduga.

Jadi ia bukan tentang transformasi besar tetapi tentang ketahanan kewangan, realisme dan kematangan dalam membuat keputusan jangka panjang bukan sekadar azam yang hilang rentak.

Dalam konteks Malaysia hari ini, perubahan kecil yang berterusan bukannya janji besar yang tidak realistik tapi ia adalah langkah paling bermakna untuk membentuk kehidupan kewangan yang lebih stabil, berdaya tahan dan berfokus pada realiti harian.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Mencatat Keuntungan Sebelum Cukai Dan Zakat Sebanyak RM337.1 Juta Bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2025

Kuala Lumpur, 29 Januari 2026 — Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia” atau “Bursa”) mengumumkan prestasi yang berdaya tahan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (“TK2025”). Keputusan ini mencerminkan pelaksanaan operasi yang konsisten meskipun berdepan ketidaktentuan luaran yang mempengaruhi keadaan dagangan pasaran.

Bagi TK2025, Bursa mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (“PBT”) dan Zakat sebanyak RM337.1 juta, menurun 17.9% berbanding RM410.4 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (“TK2024”). Penurunan ini terutamanya disebabkan oleh hasil operasi yang lebih rendah sebanyak RM701.8 juta pada TK2025 berbanding RM757.7 juta pada TK2024, susulan penurunan volum dagangan sekuriti.

Sementara itu, jumlah perbelanjaan operasi meningkat secara sederhana sebanyak 4.5% kepada RM390.1 juta pada TK2025 berbanding RM373.4 juta pada TK2024, didorong terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan pentadbiran serta pelaburan dalam penyelesaian digital. Perbelanjaan ini selaras dengan disiplin kos yang diamalkan oleh Bursa.

Sejajar dengan prestasi Bursa Malaysia bagi TK2025, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 14.0 sen sesaham, berjumlah kira-kira RM113.3 juta, yang akan dibayar pada 27 Februari 2026. Digabungkan dengan dividen interim sebanyak 14.0 sen sesaham yang telah dibayar pada 27 Ogos 2025, jumlah dividen keseluruhan adalah 28.0 sen sesaham, bersamaan dengan agihan keseluruhan sebanyak RM226.6 juta dan nisbah pembayaran dividen sekitar 91%.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Farid Alias, berkata “Keadaan pasaran global kekal mencabar sepanjang 2025, dengan ketidaktentuan luaran terus mempengaruhi sentimen pelabur dan prestasi pasaran ekuiti. Walaupun berdepan persekitaran yang mencabar ini, Bursa Malaysia mengekalkan pelaksanaan operasi yang berdisiplin dan mencatatkan prestasi yang berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan stabil hasil bukan dagangan serta inisiatif pembangunan pasaran yang berterusan.”

Beliau menambah “Sebagai sebuah entiti tersenarai dan institusi utama dalam ekosistem kewangan negara, kami kekal fokus untuk mengekalkan penciptaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham dan ekonomi secara keseluruhan. Bursa Malaysia telah mengekalkan nisbah pembayaran dividen melebihi 90% sejak TK2020 dan mencatatkan jumlah pulangan pemegang saham sebanyak 455.6% sejak disenaraikan pada 2005, mencerminkan kekukuhan asas perniagaan serta komitmen kami dalam mengimbangi pelaburan berhemat dan pulangan konsisten kepada pemegang saham.”

Bagi TK2025, Pasaran Sekuriti merekodkan hasil dagangan sebanyak RM308.2 juta berbanding RM381.5 juta pada TK2024, susulan penurunan 19.8% dalam Purata Nilai Dagangan Harian (“ADV”) merangkumi Dagangan Pasaran Terbuka dan Dagangan Perniagaan Langsung, ketika sentimen pelabur kekal lemah akibat ketidaktentuan pasaran global yang meningkat.

Bagi Pasaran Derivatif pula, hasil dagangan mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.9% kepada RM112.8 juta daripada RM113.8 juta pada TK2024, disebabkan oleh yuran pengurusan cagaran yang lebih rendah.

Dalam segmen Pasaran Islam, hasil operasi meningkat ketara sebanyak 31.2% kepada RM23.5 juta pada TK2025 berbanding RM17.9 juta pada TK2024. Peningkatan ini didorong terutamanya oleh hasil dagangan Bursa Suq Al-Sila’ (“BSAS”) yang lebih tinggi sebanyak RM20.2 juta pada TK2025 berbanding RM16.9 juta pada TK2024. Hasil dagangan Bursa Gold Dinar pula meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM3.3 juta pada TK2025 berbanding RM1.0 juta pada TK2024.

Selain itu, hasil Perniagaan Data meningkat kepada RM81.4 juta pada TK2025, naik 3.9% daripada RM78.3 juta pada TK2024, disokong oleh permintaan berterusan dan peningkatan asas langganan. Bursa terus menggalakkan penerapan amalan ESG yang kukuh serta pendedahan berkualiti tinggi melalui Penyelesaian CSI.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed, berkata “Pada TK2025, Bursa Malaysia kekal fokus dalam mengekalkan keyakinan pasaran dan memastikan kelangsungan jangka panjang Bursa. Aktiviti pengumpulan dana kekal stabil apabila Bursa mendahului pasaran ASEAN dengan merealisasikan 60 IPO. Kami juga disokong oleh saluran penyenaraian yang sihat serta minat berterusan daripada penerbit, mencerminkan daya tahan syarikat domestik dan keyakinan berterusan terhadap pasaran modal Malaysia.”

Beliau menambah “Pasaran modal Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada 2026, disokong oleh permintaan domestik yang stabil, aktiviti pelaburan berterusan serta hala tuju dasar yang jelas daripada Kerajaan dan Bank Negara Malaysia. Walaupun pertumbuhan global dijangka sederhana, Bursa kekal fokus untuk mengukuhkan kemeriahan pasaran dan memastikan ekosistem yang mantap merentasi semua segmen.”

“Menuju 2026, berpandukan Pelan Hala Tuju Strategik 2024–2026, Bursa Malaysia akan terus memacu aspirasi kami untuk memperluaskan landskap produk, meningkatkan kebolehcapaian pasaran dan memperkasa keupayaan digital. Inisiatif ini bertujuan membuka penyertaan baharu, memperdalam pasaran serta memastikan Bursa Malaysia kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan negara dan keyakinan pelabur.”

Keputusan kewangan Bursa Malaysia bagi TK2025 serta slaid pembentangan boleh didapati di laman Perhubungan Pelabur Bursa Malaysia https://bursa.listedcompany.com/home.html

PerkaraTK2025
(RM juta)
TK2024
(RM juta)
Perubahan (%)
Hasil operasi701.8757.7(7.4)
Pendapatan lain25.926.6(2.5)
Jumlah hasil727.7784.3(7.2)
Kos kakitangan(195.1)(193.8)0.7
Susut nilai dan pelunasan(36.7)(35.4)3.7
Perbelanjaan pemasaran dan pembangunan(21.8)(23.4)(6.8)
Penyelenggaraan teknologi maklumat(48.1)(42.5)13.3
Yuran perkhidmatan(24.3)(26.2)(7.3)
Perbelanjaan operasi lain(64.1)(52.1)23.0
Keuntungan daripada operasi337.6410.9(17.8)
Kos kewangan(0.5)(0.5)
Keuntungan sebelum cukai dan zakat337.1410.4(17.9)
Perbelanjaan cukai pendapatan dan zakat(89.1)(101.8)(12.4)
Keuntungan selepas cukai248.0308.6(19.7)
Kepentingan minoriti2.21.546.4
Keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti250.2310.1(19.3)