Keputusan PRN Dijangka Tentukan Hala Tuju PRU16, Pasaran Saham – CGS International

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dijangka menjadi petunjuk penting terhadap kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan seawal suku keempat tahun ini, menurut penganalisis.

CGS International dalam nota penyelidikannya berkata, perhatian pelabur kini tertumpu kepada PRN Johor yang bermula pada 11 Julai 2026, diikuti PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026.

Menurut firma penyelidikan itu, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan meningkatkan kemungkinan PRU16 diadakan lebih awal, iaitu seawal tahun ini.

Buat masa ini, CGS International mengekalkan unjuran asas bahawa PRU16 akan berlangsung paling awal pada suku keempat 2026, namun lebih berkemungkinan diadakan pada suku pertama 2027.

Firma berkenaan berkata, jangkaan peningkatan ketidaktentuan politik menjelang PRU16 dijangka memberi tekanan kepada sentimen pasaran saham tempatan, sekali gus mendorong semakan semula sasaran Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada akhir 2026 kepada 1,780 mata berbanding unjuran terdahulu sebanyak 1,810 mata.

“Kami mengurangkan sasaran FBM KLCI bagi akhir 2026 kepada 1,780 mata dengan mengambil kira premium risiko yang lebih tinggi kepada pasaran apabila spekulasi PRU16 semakin memuncak.

“Pada pandangan kami, bergantung kepada keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan, PRU16 boleh diadakan seawal suku keempat 2026,” katanya.

CGS International juga berpandangan kemungkinan pembentukan pakatan yang lebih besar adalah tinggi pada PRU16 berikutan agihan kerusi Parlimen yang semakin berpecah selepas PRU15 serta perubahan landskap politik semasa.

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan sebarang penyimpangan ketara daripada dasar sedia ada adalah terhad, terutama dasar yang telah membantu mengukuhkan kedudukan fiskal negara dan kestabilan dasar Malaysia.

Sehubungan itu, CGS International mengesyorkan pelabur memanfaatkan tempoh turun naik pasaran untuk mengumpul saham berkualiti.

Menurutnya, keputusan pilihan raya yang pantas serta mesra pasaran berpotensi mengecilkan jurang hasil pendapatan kembali ke paras purata, sekali gus menyokong paras FBM KLCI pada 1,960 mata menjelang 2027.

CGS International berkata, sejarah menunjukkan pilihan raya lazimnya meningkatkan turun naik pasaran sebelum dan selepas pengundian, namun tiada corak yang konsisten untuk dijadikan panduan bagi PRU16.

Katanya, pada 1999, ledakan dotcom menyumbang kepada pulangan pasaran yang kukuh selepas PRU10, manakala Krisis Kewangan Global pada 2008 menjejaskan prestasi pasaran selepas PRU12.

Menurutnya, walaupun Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar pada PRU11 dan ekonomi domestik berada dalam keadaan kukuh, FBM KLCI susut 9.4 peratus dalam tempoh tiga bulan selepas pilihan raya, sekali gus menghapuskan sebahagian besar keuntungan yang dicatatkan sebelum pengundian.

“Pada pandangan kami, PRU13 merupakan contoh jelas bagaimana ketidaktentuan politik boleh menjejaskan pasaran.

“Perubahan kerajaan yang disambut baik oleh pengundi telah membawa perubahan dasar seperti pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pengurangan harga jalur lebar serta semakan semula konsesi tol, yang menggegarkan pasaran sehingga menyebabkan penurunan 8.5 peratus pasaran saham dalam tempoh sebulan selepas pilihan raya,” katanya.

— Berita Harian

Previous ArticleNext Article

Malaysian Resources Corp: Perjalanan Menaiki LRT3

Saranan BELI dan harga sasar (TP) MYR0.51 melalui SOP dikekalkan, dengan potensi kenaikan harga saham 55% dan kadar hasil dividen sekitar 3%

Kami menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) 3 pada hari pertama ia beroperasi (29 Jun) dan seterusnya memandang positif akan potensi kesan limpahan (iaitu pembangunan berasaskan transit (TOD)) di samping bakal pembinaan lima stesen yang dihidupkan semula. Rekod prestasi Malaysian Resources Corp dalamLRT3, selain projek-projek kereta api lain seperti Transit Aliran Massa (MRT) 2, mungkin membuka ruang untuk kumpulan ini meraih lebih banyak peluang daripada projek-projek berkaitan kereta api akan datang, khususnya LRT Pulau Pinang dan MRT3.

Imbasan berkenaan projek LRT3

LRT3 (juga dikenali sebagai LRT laluan Shah Alam) yang merangkumi jarak sepanjang 37.8km dan beroperasi dari Johan Setia di Klang hingga ke Bandar Utama di Petaling Jaya, mencatat kos MYR16.6bn dengan sejumlah 20 stesen. Kelajuan operasi maksimum ialah 80km/j dan kapasiti maksimum ialah seramai 624 penumpang. Perjalanan dari hujung ke hujung akan mengambil masa lebih kurang 70 minit dan kekerapannya ialah lapan minit semasa waktu puncak dan 10-15 minit pada luar waktu puncak.

MRC ditawarkan kontrak bernilai MYR2.5bn pada Feb 2025

Pembinaan lima stesen yang dihidupkan semula, pembinaan dua depoh bas EV di Shah Alam dan Johan Setia, bekalan kenderaan kereta api ringan, dan prasarana berkaitan lain dan kerja-kerja sistem. Lima stesen yang dihidupkan semula ini ialah Tropicana, Temasya, Raja Muda (Sirim), Bukit Raja, dan Bandar Botanik. Kami tidak menolak kemungkinan kontraktor pakej kerja yang terlibat dalam pembinaan stesen-stesen awal LRT3 untuk meraih mana-mana daripada lima stesen tersebut. Kontraktorkontraktor tersebut termasuklah Gabungan AQRS (AQRS MK, BELI, TP: MYR0.30), WCT Holdings (WCTHG MK, TIADA SARANAN), TRC Synergy (TRC MK, TIADA SARANAN) dan Mudajaya Group (MDJ MK, TIADA SARANAN).

Pembangunan TOD mungkin merangsang permintaan pembinaan

Semasa kami melalui stesen-stesen merentasi Shah Alam, kami melihat adanya beberapa pembangunan hartanah yang sedang dibina berhampiran stesen-stesen tersebut, iaitu Sena Residence (berhampiran stesen LRT3 Dato’ Menteri), iaitu projek yang melibatkan Geohan (GEOHAN MK, TIADA SARANAN) dalam kerja cerucuk dan projek-projek lain seperti Astrum Shah Alam dan Linkar 52 Shah Alam. Malahan, Kementerian Pengangkutan telah mengenal pasti kawasan-kawasan seperti stesen Sri Andalas, Kayu Ara, Bandar Bukit Tinggi dan Johan Setia yang dapat dibangunkan sebagai pusat komersial atau perumahan mampu milik.

MRC menerima notis untuk meneruskan pembinaan lima stesen LRT3 yang dihidupkan semula

Pada 1H26 dengan kerja-kerja mungkin bermula pada 3Q26. Oleh itu, kami menjangka MRC akan menyaksikan pengiktirafan bil peringkat siap yang lebih tinggi untuk bahagian pembinaannya khususnya bermula akhir 2026, di samping perkembangan kerja lebih baik bagi Kompleks Sukan Shah Alam (nilai: MYR2.9bn) (Rajah 13).

Tiada pindaan dibuat pada anggaran perolehan kami

Maka TP kami yang diperoleh melalui kaedah SOP sebanyak MYR0.51 dikekalkan, yang termasuk kiraan premium ESG 4% berdasarkan markah ESG 3.2. Faktor pemangkin jangka dekat adalah sekiranya MRC meraih kerja Segmen 2 (laluan Macallum ke Penang Sentral) dalam LRT Pulau Pinang. Risiko, tawaran kerja yang perlahan.

Faktor Pemacu Utama

i. Peningkatan jualan hartanah baharu
ii. Pelupusan aset
iii. Kontrak pembinaan baharu

Risiko Utama

Trend penambahan kerja yang perlahan

Profil Syarikat

Malaysian Resources Corp terbabit dalam pembinaan (kepakaran khusus dalam projek alam sekitar),
pembangunan dan pelaburan hartanah, dan operasi jalan raya bertol. Ia juga dikenali dengan pembangunan berteraskan transit, seperti Kuala Lumpur Sentral, Bukit Jalil City, Kwasa Damansara, dan Penang Sentral.

Carta Saranan