Adakah Kita Betul-Betul Selamat Di Ruang Siber? Ini 5 Tips Untuk Lindungi Diri Anda Daripada Hackers

Zaman sekarang merupakan zaman internet. WiFi atau pelan data untuk menghubungkan kita ke internet adalah merupakan perkara wajib sekarang ini. Ianya bukan lagi kehendak, tetapi telah menjadi satu keperluan dalam kehidupan.

Kerana dengan internet, kita dapat layari media sosial dan tahu perkembangan semasa dalam dan luar negara. Kerana dengan internet, kita dapat menjalankan aktiviti jual beli secara online. Kerana dengan internet, kita dapat belajar sesuatu yang kita tak tahu. Semuanya di hujung jari saja.

Sebab itulah pentingnya untuk kita pandai ‘jaga diri’ di zaman internet ini. Orang boleh buat apa saja jika kita tidak berhati-hati. Nak akses emel kita? Nak godam akaun media sosial kita? Nak korek kata laluan kita? Semuanya boleh, jika kita tidak ambil langkah yang sewajarnya.

Untuk itu, jom kita tengok tips-tips berikut.

1. Guna Kata Laluan Yang Kompleks

Untuk sebarang kemudahan yang kita gunakan di internet, pastikan kita mempunyai kata laluan yang kompleks. Gabungkan huruf besar (ABC), huruf kecik (abc), nombor (123) dan aksara khas (#*^) untuk membentuk kata laluan yang agak mustahil untuk orang teka.

Pasti penggodam akan pening kepala lepas ni.

2. Guna Kata Laluan Yang Berbeza-Beza

Ramai di kalangan kita yang menggunakan kata laluan yang sama di pelbagai tempat. Emel pun kata laluan sama, akaun media sosial pun kata laluan sama, perbankan internet pun pakai kata laluan yang sama.

Kalau penggodam dapat kata laluan kita, memang habislah semuanya pun dia dapat akses.

3. Tukar Kata Laluan Dengan Kerap

Seterusnya, kita disarankan untuk menukar kata laluan setiap 6 bulan sebagai langkah berjaga-jaga. Ini bagi memastikan akaun kita selamat, walaupun pangkalan data perkhidmatan emel atau media sosial yang kita guna tersebut digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ini kerana butiran kita seperti nama, alamat, kata laluan dan sebagainya disimpan di dalam pangkalan data. Habis semua maklumat kita nanti bocor jika pangkalan data dapat diceboroh.

4. Sentiasa Logout dan Kosongkan Cache

Mesti kita selalu tutup browser internet kita lepas kita guna kan? Atau tutup aplikasi telefon bimbit kita tanpa kita logout daripadanya?

Jangan ulangi kesilapan ini, kerana jika kita tidak logout, penggodam boleh ambil kesempatan untuk menggodam anda.

5. Lindungi Telefon Pintar dan Gajet Anda

Jika ditakdirkan kita kehilangan telefon pintar, pastikan kita telah mengambil langkah persediaan lebih awal. Sentiasa kunci telefon pintar kita dengan nombor pin atau gunakan pengimbas cap jari. Ini bagi menyukarkan orang yang tidak dikenali daripada mengakses telefon pintar kita.

Langkah terakhir adalah dengan menghapuskan (wipe) segala data yang ada.

Nak Tengok Hacking Secara Live?

Kini anda boleh saksikan depan mata anda sendiri! Ianya bakal berlangsung dalam sesi ‘Bersedia Untuk Di-hack’ oleh penggodam antarabangsa, Magda Lilia Chelly daripada Responsible Cyber Singapore yang akan manunjukkan aksi hacking beliau secara langsung di atas pentas.

Jemput Datang Ke BFF2019 Untuk Alaminya

Jangan lepaskan peluang untuk datang ke acara yang dianjurkan Securities Industry Development Corporation (SIDC), Business Foresight Forum (BFF) 2019; yang akan berlangsung pada hari Khamis, 19 September 2019 ini. Ianya bertemakan ‘New Business Directions 2025 – Catalysts for Change’ dan akan diadakan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara.

Sesi hacking secara live ini baru satu daripada banyak lagi kelebihan anda datang beramai-ramai ke acara yang diadakan setahun sekali ini. Jemput baca 7 Sebab Anda Kena Datang Business Foresight Forum (BFF) 2019, dan layari laman web BFF untuk maklumat lanjut.

Harga tiket adalah seperti berikut:
RM1,500 harga biasa untuk seorang
RM1,250 seorang untuk kumpulan tiga atau lebih orang
RM1,000 seorang untuk kumpulan lebih daripada 10 orang

Atau secara alternatif, alami BFF 2019 secara maya melalui strim secara langsung. Untuk sebarang pertanyaan mengenai pendaftaran atau strim secara langsung, sila hubungi SIDC di talian: +603 6204 8274 / 8439 / 8664.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pengurusan Kesihatan Mental Untuk Usahawanita Moden

usahawanita moden
  • Rutin pengurusan kesihatan mental untuk usahawanita moden
  • Usahawan wanita yang mengurus perniagaan sambil memikul tanggungjawab peribadi
  • Kehidupan moden yang pantas dan kompetitif menyebabkan wanita mudah kemurungan
  • Kesihatan mental yang baik membantu wanita urus tekanan & kekalkan produktiviti kerja

Wanita hari ini bukan lagi sekadar berada di belakang tabir dalam dunia perniagaan. Mereka menjadi pengasas syarikat, pelabur, profesional, pemilik SME dan peneraju pelbagai industri.

Namun, kejayaan tersebut datang bersama tekanan yang mungkin tidak kelihatan.

Bagi sesetengah wanita, selepas tamat waktu pejabat, tanggungjawab belum selesai. Masih ada anak yang perlu diurus, pasangan, keluarga, rumah dan pelbagai keputusan yang perlu dibuat.

Sebab itu kesihatan mental wanita tidak boleh dilihat sebagai isu sampingan.

Baca : Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

Data Kementerian Kesihatan Malaysia melalui NHMS 2023 menunjukkan kira-kira satu daripada lapan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dan prevalens kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding 2019.

Lebih menarik untuk konteks usahawan, satu kajian terhadap rakyat Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan simptom kemurungan yang lebih tinggi, manakala tekanan menjadi antara faktor penting yang berkait dengan simptom tersebut.

“Kajian terhadap 728 orang dewasa di Malaysia mendapati pemilik perniagaan menunjukkan tahap simptom kemurungan lebih tinggi, dengan tekanan & status sebagai pemilik perniagaan menjadi antara peramal signifikan simptom kemurungan.”National Library of Medicine

Baca : Pelaburan Bantu Wanita Boleh Wujud Kesan Beriak Bawa Pelbagai Manfaat

Ini bukan bermaksud menjadi usahawan menyebabkan kemurungan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa tekanan keusahawanan dan kesihatan mental wajar diberi perhatian.

Jadi, apakah rutin yang boleh membantu usahawanita moden menjaga kesihatan mental mereka?

1. Rutin Bersenam

Senaman bukan hanya untuk menurunkan berat badan.

Bagi usahawanita yang menghabiskan sebahagian besar hari di hadapan komputer, dalam mesyuarat atau mengurus operasi perniagaan, aktiviti fizikal boleh menjadi ruang untuk keluar seketika daripada tekanan kerja.

rutin bersenam wanita

Tidak semestinya perlu melakukan senaman berat.

Berjalan kaki, berenang, berlari, berbasikal atau melakukan latihan kekuatan secara konsisten sudah boleh menjadi sebahagian daripada rutin.

Yang penting ialah konsistensi, bukan intensiti semata-mata.

Bahkan, menjadikan senaman sebagai rutin mingguan boleh memberikan satu bentuk struktur kepada kehidupan yang mungkin dipenuhi jadual kerja yang tidak menentu.

2. Rutin Penjagaan Diri

Ada satu perkara yang sering berlaku kepada wanita yang terlalu sibuk.

Mereka menjaga semua orang kecuali diri sendiri.

rutin penjagaan diri wanita

Bagi sebahagian wanita, rawatan kecantikan bukan sekadar mahu kelihatan lebih muda atau cantik. Ia juga boleh menjadi masa untuk berhenti seketika daripada rutin kerja.

Namun, penting untuk membezakan self-care daripada tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna.

Penjagaan diri sepatutnya membantu seseorang berasa lebih baik tentang dirinya, bukan menambahkan tekanan untuk memenuhi standard kecantikan tertentu.

3. Rutin Tidur Awal

Usahawan mungkin terkenal dengan bekerja sehingga lewat malam.

Laptop dibuka selepas anak tidur. Telefon masih berbunyi dengan WhatsApp pelanggan. E-mel masih masuk. Idea perniagaan pula datang ketika semua orang sudah tidur.

rutin tidur awal

Masalahnya, otak juga memerlukan masa untuk berehat.

Rutin tidur yang konsisten boleh menjadi salah satu bentuk pengurusan diri yang paling mudah tetapi sering diabaikan.

Sebelum tidur, usahakan untuk mengurangkan penggunaan skrin dan cahaya terang, khususnya apabila ia menyebabkan kita terus terangsang dengan kerja, media sosial atau notifikasi.

Kadangkala masalahnya bukan kita tidak mempunyai masa untuk tidur.

Kita tidak pernah benar-benar berhenti bekerja.

4. Rutin Travel dan Melihat Dunia

Travel juga boleh menjadi satu bentuk “reset” daripada rutin.

Bagi usahawanita yang sentiasa membuat keputusan untuk syarikat, pekerja dan keluarga, perjalanan seorang diri boleh memberikan ruang untuk membuat keputusan berdasarkan diri sendiri.

Tidak perlu sentiasa memilih destinasi popular.

rutin melancong wanita

Asia Tengah, misalnya, menawarkan pengalaman yang berbeza, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan negara-negara lain mempunyai sejarah, budaya dan landskap yang jauh berbeza daripada destinasi pelancongan biasa.

Solo travel juga tidak semestinya bermaksud melarikan diri daripada kehidupan.

Kadangkala ia sekadar memberikan seseorang ruang untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Namun, perjalanan perlu dirancang mengikut kemampuan kewangan, keselamatan dan keadaan diri. Travel yang menambahkan hutang atau tekanan bukanlah self-care.

5. Rutin Beribadah & Kebajikan

Bagi wanita Muslim, pengurusan kehidupan tidak semestinya berhenti pada aspek fizikal dan psikologi.

Ia juga mempunyai dimensi spiritual.

rutin beribadah wanita

Solat, membaca al-Quran, menghadiri kelas ilmu, melakukan amal jariah, menunaikan umrah atau haji boleh menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan yang memberikan ruang untuk seseorang kembali mengingati tujuan hidup yang lebih besar daripada pekerjaan.

Ini juga memberikan perspektif kepada dunia keusahawanan.

Syarikat boleh berkembang. Duit boleh bertambah. Jawatan boleh berubah. Tetapi kehidupan tetap mempunyai dimensi yang lebih luas daripada keuntungan.

Baca : Perangai Wanita Malaysia Selepas Dapat Gaji

Bagi sesetengah usahawanita, amal jariah juga menjadi cara untuk menukar sebahagian daripada kejayaan material kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Alhasil

Menjadi usahawanita moden bukan sekadar tentang membina syarikat dan mencapai keuntungan.

Ia juga tentang kemampuan untuk terus berfungsi sebagai seorang individu, sebagai wanita, ibu, isteri, anak, pemimpin dan manusia yang mempunyai keperluan emosi serta fizikal sendiri.

Sebab itu rutin kecantikan, senaman, tidur, travel dan ibadah tidak sepatutnya dilihat sebagai aktiviti yang membuang masa daripada pekerjaan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada cara seseorang membina kehidupan yang lebih seimbang.

Pada akhirnya, perniagaan yang berjaya memerlukan seorang pemimpin yang mampu bertahan dalam jangka panjang.

Baca : Kisah Emas Dan Wanita Kelantan

Usahawanita tidak perlu memilih antara kejayaan dan kesejahteraan diri. Yang lebih penting ialah belajar mengurus kedua-duanya.