FDI Dari Jepun Dijangka Cecah Lebih US$30 Bilion Tahun Ini – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangkakan pelaburan langsung asing (FDI) dari Jepun melebihi US$30 bilion tahun ini, didorong oleh sokongan berterusan daripada syarikat Jepun.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sektor swasta di kedua-dua negara menyatakan keyakinan terhadap prospek perniagaan tahun ini, walaupun persekitaran perdagangan global mengalami kelembapan.

“Apabila kita melihat kepada ekonomi tempatan dan global, kita berharap pertumbuhan (perdagangan Malaysia-Jepun) akan berterusan, tetapi kita masih perlu melihat (kemajuan kerana terdapat) terlalu banyak ketidaktentuan sekarang dalam perdagangan global.

“Bagaimanapun, pelaburan adalah isu yang berasingan. Saya fikir (untuk) pelaburan, kami optimis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dialog Ekonomi Malaysia-Jepun di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata Malaysia benar-benar menghargai hubungan ekonomi yang erat dan kukuh dengan Jepun, yang juga salah satu rakan ekonomi penting Malaysia sejak beberapa dekad lepas.

Malah, beliau berkata Jepun telah menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia selama lapan tahun berturut-turut sejak 2015 dan, pada 2022, perdagangan dengan Jepun membentuk 6.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia berjumlah US$41.26 bilion (RM181.73 bilion) di tengah-tengah persekitaran global yang mencabar.

Beliau berkata sehingga Jun 2023 sebanyak 2,778 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan pelaburan berjumlah US$27.25 bilion (RM91.89 bilion), mewujudkan sebanyak 337,758 peluang pekerjaan.

“Kami berbesar hati apabila melihat minat berterusan pelabur Jepun terhadap Malaysia, justeru, kami terus mengalu-alukan lebih banyak FDI dari Jepun,” katanya.

Pada majlis itu, satu Memorandum Persefahaman (MOU) bagi mekanisme pengkreditan bersama telah ditandatangani antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jepun (JCCI) dengan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata MOU itu bertujuan memudahkan perusahaan kecil dan sederhana serta entiti besar kedua-dua negara untuk lebih berdaya saing di peringkat global, termasuk menyediakan akses pasaran ke destinasi masing-masing.

“Tahun lepas, kami mencapai kira-kira US$40 bilion perdagangan (dengan Jepun), tetapi tahun ini, kami berharap ia meningkat lebih 10 hingga 20 peratus.

“Dengan MOU ini, kita mampu meraih lebih banyak komunikasi perniagaan-ke-perniagaan secara langsung dan lebih banyak eksport dari Malaysia, manakala pada masa yang sama Jepun juga boleh mengeksport ke Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TNB Dan CET Dari China Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Grid Kuasa

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan State Grid Corporation of China (SGCC) yang juga syarikat utiliti awam terbesar dunia yang diwakili oleh anak syarikat milik penuhnya, China Electric Power Equipment and Technology Co Ltd (CET).

Dalam kenyataannya, TNB berkata kerjasama itu bertujuan memperkukuh kerjasama teknologi dalam memajukan grid kuasa dan rangkaian pembahagian, menyokong pemodenan grid Malaysia serta menyumbang kepada visi ASEAN yang lebih luas bagi mempertingkat keterhubungan tenaga serantau.

Menurut syarikat utiliti nasional itu, kerjasama berkenaan menumpukan tiga bidang teras iaitu perancangan dan integrasi sistem kuasa, rangkaian pintar dan berdaya tahan serta penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI).

Ini, katanya, bermatlamat untuk memanfaatkan kepakaran SGCC dan CET dalam bidang peralihan tenaga serta sistem kuasa baharu bagi memperkukuh operasi dan pengurusan sistem grid kuasa dan rangkaian pembahagian TNB.

“SGCC mempunyai rekod cemerlang dalam bidang tenaga dengan pembekalan elektrik kepada lebih 1.1 bilion pelanggan serta rangkaian operasi antarabangsa di lebih 40 buah negara melalui CET sebagai cabang perniagaan globalnya,” katanya. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof telah menyaksikan pemeteraian MoU itu yang dilakukan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengerusi CET Yu Jun pada satu majlis di Shah Alam, Selangor.

TNB menjelaskan di bawah MoU itu, TNB dan SGCC CET akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi memantau kemajuan kerjasama kedua-dua pihak.

“Antara akitiviti utama adalah sesi pembangunan kapasiti, laporan kajian teknikal serta sokongan reka bentuk konsep bagi projek rintis dengan TNB menyediakan maklumat teknikal diperlukan bagi menyokong kerjasama itu manakala CET berkongsi keupayaan teknologi, piawaian dan pengalaman pengurusan projek melalui operasi global SGCC,” katanya.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata MoU itu membolehkan TNB memanfaatkan amalan terbaik global dalam perancangan sistem kuasa, teknologi grid pintar dan penyelesaian digital yang penting bagi mengintegrasikan tenaga boleh baharu serta memperkukuh peranannya dalam Grid Kuasa ASEAN (APG).

“Kerjasama itu juga menekankan komitmen TNB dalam menyokong masa depan Malaysia yang lebih mampan melalui teknologi AI, khususnya menerusi inisiatif Grid Pintar,” katanya.

Dalam pada itu, Yu berkata kerjasama itu ini tidak hanya memperkukuh hubungan dua hala China-Malaysia, tetapi juga menyumbang kepada visi keterjaminan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN.
— BERNAMA