Intipati Laporan Tinjauan Ekonomi & Fiskal Dan Anggaran Hasil 2023 Terkini

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) — Berikut adalah intipati laporan Tinjauan Ekonomi dan Fiskal dan Anggaran Hasil 2023:

  • Peruntukan Belanjawan 2023 disemak naik kepada RM386.14 bilion berbanding RM372.3 bilion pada Oktober 2022 berbanding RM385.3 bilion pada 2022.
  • Ekonomi dijangka berkembang sederhana pada 4.5 peratus berbanding unjuran awal antara 4.0 dan 5.0 peratus pada 2023 berbanding 8.7 peratus pada 2022.
  • Sektor perkhidmatan dijangka menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2023, yang diramal berkembang 5.3 peratus pada 2023.
  • Sektor pembinaan akan berkembang sebanyak 6.1 peratus pada 2023, pembuatan 3.9 peratus, pertanian 1.1 peratus dan perlombongan 1.2 peratus.
  • Jumlah perdagangan dijangka berkembang kepada RM2.887 trilion pada 2023 dengan anggaran lebihan RM264.33 bilion.
  • Hasil kerajaan Persekutuan dijangka merosot 1.0 pada 2023 kepada RM291.5 bilion daripada pertumbuhan 25.9 peratus (RM294.35 bilion) pada 2022.
  • Pinjaman bagi 2023 dijangka 12.2 peratus daripada KDNK, lebih rendah berbanding unjuran awal 14 peratus (2022: 12.9 peratus).
  • Defisit fiskal dijangka berkurangan kepada 5.0 peratus daripada KDNK pada 2023.
  • Kadar inflasi akan kekal mudah diurus dan dijangka pada julat antara 2.8 peratus dan 3.8 peratus pada 2023.
  • Harga minyak mentah dijangka pada purata pada US$80 setong.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Inflasi Malaysia Meningkat 1.5 Peratus Pada September 2025 – DOSM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) — Inflasi Malaysia meningkat 1.5 peratus pada September 2025 dengan mata indeks mencatatkan 135.2 berbanding 133.2 pada tempoh sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan Indeks Harga Pengguna (IHP) September 2025 hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan itu disumbangkan oleh peningkatan kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan dan perkhidmatan pada 4.8 peratus berbanding Ogos 2025 (4.0 peratus).

“Ini diikuti oleh makanan dan minuman pada 2.1 peratus (Ogos 2025: 2.0 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain 1.5 peratus (Ogos 2025: 1.2 peratus); kesihatan 1.3 peratus (Ogos 2025: 1.1 peratus) dan pengangkutan 0.7 peratus (Ogos 2025: 0.2 peratus)

“Selain itu, restoran dan perkhidmatan penginapan, 3.3 peratus (Ogos 2025: 3.5 peratus) dan minuman alkohol & tembakau 0.3 peratus (Ogos 2025: 0.4 peratus) mencatatkan peningkatan lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata sebanyak 59.9 peratus item (343 daripada 573) mencatat kenaikan harga.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu sebanyak 333 item atau 97.1 peratus mencatat peningkatan yang kurang atau sama dengan 10 peratus manakala hanya 10 item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada September 2025.

“Baki sebanyak 181 item (31.6 peratus) menunjukkan penurunan manakala 49 item kekal tidak berubah,” katanya.

Mohd Uzir berkata purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada September 2025 ialah RM3.19 seliter berbanding RM3.15 seliter pada Ogos 2025 (September 2024: RM3.28).

“Purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.91 seliter berbanding RM2.90 seliter pada Ogos 2025 (September 2024: RM3.04) manakala purata harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter,” katanya.

Menyentuh inflasi di peringkat negeri, sebanyak lima negeri mencatat peningkatan melebihi paras nasional (1.5 peratus) iaitu Johor (2.0 peratus), Negeri Sembilan (1.9 peratus), Melaka (1.8 peratus), Selangor (1.8 peratus) dan Terengganu (1.7 peratus).

“Baki sebanyak 11 negeri meningkat di bawah paras inflasi nasional dengan Kelantan mencatat inflasi terendah iaitu 0.5 peratus pada September 2025.

“Berbanding negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.5 peratus) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (3.4 peratus), Indonesia (2.7 peratus) dan Republik Korea (2.1 peratus),” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata kadar berkenaan adalah lebih tinggi berbanding Thailand (-0.7 peratus) dan China (-0.3 peratus).
BERNAMA