Kerajaan Tiada Rancangan Tambat Ringgit Buat Masa Ini – Menteri Kewangan II

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Kerajaan tidak merancang untuk menambat ringgit pada masa ini, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata melihat kepada penambatan ringgit yang dibuat sekitar tahun 1998, keadaan ekonomi ketika itu berbeza berbanding sekarang.

Menurutnya dari segi kedudukan ekonomi pada 1998, pasaran saham pada masa itu jatuh sebanyak 76 peratus tetapi sekarang jika dilihat dari awal tahun ini pasaran saham sudah naik sebanyak enam peratus.

Selain itu, pinjaman daripada luar negara pada 1998 adalah pada 16 peratus daripada pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding pinjaman daripada luar negara ketika ini hanya pada dua atau satu peratus.

“Kita lihat dari segi reserve (rizab) negara…rizab Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah sekitar AS$114 bilion, ia lebih baik berbanding AS$26 bilion pada 1998.

“Sehubungan itu, tiada keperluan untuk kita react (bertindak balas) dengan tergesa-gesa mengenainya. Memang kerajaan peka terhadap isu ringgit dan akan berusaha untuk menanganinya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh yang ingin mengetahui adakah kerajaan merancang untuk menambat ringgit bagi mengekang atau menjaga aset negara.

Amir Hamzah berkata penganalisa juga berpendapat bahawa ringgit akan mengukuh pada tahun ini ke tahap yang lebih baik dan diunjurkan meningkat kepada RM4.50.

“Menerusi Kerangka Ekonomi MADANI kita yakin ringgit akan berada pada kedudukan lebih baik pada masa depan,” katanya. 

 — BERNAMA

Previous ArticleNext Article

SC Perkenal Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 (CMP), satu pelan tindakan strategik untuk memposisikan pasaran modal Malaysia sebagai pemacu utama pertumbuhan negara dan kemakmuran ekonomi.

Dengan visi jangka panjang 20 tahun, CMP menyokong transformasi ekonomi dengan mempercepatkan pertumbuhan dalam sektor baru muncul sambil memperkukuh peranan pasaran dalam membina ekonomi yang lebih maju, inklusif, mampan dan bersepadu serantau.

Di bawah CMP, pasaran modal Malaysia diunjurkan mengatasi pertumbuhan KDNK, berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 6-8%, kepada RM5.8-6.3 trilion menjelang 2030 daripada RM4.3 trilion pada tahun 2025. Ini didorong oleh penyenaraian baharu, mobilisasi modal institusi, program penciptaan nilai dan pembiayaan bon korporat yang lebih kukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi masa hadapan.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, melancarkan CMP di SC hari ini dengan dihadiri oleh Menteri-menteri Kabinet utama dan pemimpin industri kewangan dan pasaran modal.

CMP merupakan usaha seluruh negara (whole-of-nation effort) yang selaras dengan keutamaan pertumbuhan negara termasuk rangka kerja Ekonomi MADANI, Rancangan Malaysia ke-13, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

CMP juga secara langsung menyokong aspirasi Malaysia untuk menaikkan siling bagi prestasi ekonomi dan menaikkan lantai bagi kualiti hidup rakyat, dengan pasaran modal sebagai asas kepada ekosistem yang berkesan untuk pengumpulan dana dan pelaburan.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata CMP mencerminkan usaha kolektif oleh pembuat dasar dan peserta pasaran modal untuk memajukan pasaran modal Malaysia dan menyokong aspirasi negara.

“Pelan Induk ni merupakan pelan yang bercita-cita tinggi. Kami menyasarkan untuk mengembangkan saiz pasaran modal sebanyak RM1.5 hingga RM2 trilion dalam tempoh lima tahun. Ia mencerminkan kepercayaan bahawa kita mempunyai banyak ruang penambahbaikan dan keperluan untuk mengejar, dari segi pertumbuhan,” katanya.

Dengan mengambil kira aspirasi dan megatrend global Malaysia, CMP berlandaskan empat tema luas tetapi saling berkaitan iaitu kerancakan, keterangkuman, kemampanan dan peluang serantau. Ini akan memanfaatkan pasaran modal Islam Malaysia serta kekuatan kawal selia dan tadbir urus:

1) Kerancakan

CMP bertujuan untuk meningkatkan dengan ketara penilaian pasaran Malaysia, aktiviti dagangan dan akses untuk syarikat yang ingin mendapatkan modal. Kunci kepada matlamat ini adalah mengoptimumkan penilaian pasaran ekuiti serta memperkukuh cadangan nilai untuk bon dan sukuk dalam pasaran modal Malaysia.

Inisiatif bersasar akan dilaksanakan untuk meningkatkan keterlihatan syarikat awam tersenarai (PLC) berkualiti tinggi melalui inovasi yang lebih besar dan kecekapan modal yang lebih baik, yang membawa kepada penciptaan nilai yang lebih baik.

2) Keterangkuman

Bagi memastikan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat secara saksama daripada pertumbuhan negara, CMP bertujuan untuk meningkatkan lantai dengan meluaskan akses kepada produk dan perkhidmatan pasaran modal untuk penciptaan kekayaan jangka panjang. Usaha ini akan disokong dengan meningkatkan literasi kewangan, dengan memanfaatkan teknologi digital untuk keberkesanan.

3) Kemampanan

Bagi menyokong komitmen pembangunan mampan Malaysia, CMP menyasarkan untuk menggerakkan pembiayaan bagi mitigasi iklim, peralihan, penyesuaian, daya tahan dan hasil sosial yang lebih luas. Ini menyokong agenda kemampanan Malaysia dan memperkukuh peranan pasaran modal dalam memajukan memajukan peralihan ke arah sifar bersih dan daya tahan jangka panjang negara.

4) Peluang Serantau

Bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk serantau yang dipercayai, CMP akan menyokong pengembangan serantau juara tempatan, memudahkan penerbitan produk khusus dan kompetitif yang berasaskan aset asas asing, menarik lebih banyak penyenaraian dan penerbitan bon/sukuk oleh syarikat asing.

Hasil ini diperkukuh lagi oleh kepimpinan global Malaysia dalam kewangan Islam, menerapkan prinsip Maqasid Al-Syariah (objektif Syariah yang lebih tinggi) ke dalam penawaran yang boleh dilaburkan dan berdaya saing di peringkat global.

Di samping itu, kecemerlangan pengawalseliaan dan tadbir urus adalah penting untuk memastikan pasaran modal kekal adaptif, stabil dan bersedia untuk masa hadapan.

Bagi memastikan penyampaian dan akauntabiliti yang berkesan, Jawatankuasa Pemandu Pelan Induk Modal, yang terdiri daripada pegawai kerajaan utama dan wakil sektor swasta, akan ditubuhkan untuk menyelia pelaksanaan CMP. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang CMP, sila layari https://www.sc.com.my/capitalmarket-masterplan