Kerajaan Tidak Bercadang Tambat Ringgit — Steven Sim

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) — Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan tambatan ringgit dan langkah seiringnya iaitu kawalan pertukaran mata wang asing yang pernah dilakukan semasa negara menghadapi Krisis Kewangan Asia pada 1998, kata Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata pada masa ini ia dilihat bukan penyelesaian yang tepat, berikutan ekonomi dan sistem kewangan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi turun naik pasaran kewangan global dan pergerakan kadar pertukaran.

“Keduanya, Malaysia akan hilang kebebasan dasar monetari dan perlu mengikut kadar faedah mata wang yang menambat ringgit.

“Contohnya, jika ringgit ditambat dengan dolar Amerika Syarikat (AS) , kita perlu menaikkan kadar faedah selari dengan kadar faedah di AS dan tindakan ini akan memberi tekanan kepada kos pembiayaan yang lebih tinggi kepada rakyat,” katanya ketika menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau bertanya sama ada kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) bercadang untuk menambat nilai ringgit pada satu-satu nilai seperti yang dilakukan pada 1999 memandangkan kadar ringgit pada ketika ini rendah berbanding dolar AS.

Sim berkata selain itu, bagi mengekalkan tambatan, negara akan memerlukan rizab antarabangsa yang besar.

“Jika tidak, kita terpaksa memperkenalkan kembali langkah kawalan modal untuk mencegah dan mengatasi tekanan spekulatif terhadap ringgit.

“Sekiranya langkah kawalan modal ini diperkenalkan sekarang, kesan negatifnya terhadap keyakinan pelabur akan melibatkan kos yang sangat tinggi dan boleh menjejaskan aliran modal kerana Malaysia mempunyai pasaran modal yang jauh lebih besar pada hari ini berbanding 1998,” katanya.

Oleh yang demikian, sebagai bank pusat yang bertanggungjawab terhadap kestabilan pasaran kewangan dan mata wang, BNM akan memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur supaya tidak volatile bagi menangani risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS, katanya.

“Kerajaan melalui BNM akan terus mengurus risiko daripada perkembangan domestik dan luaran serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan keadaan pasaran yang lebih teratur,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian