Malaysia Akan Perkenal Penukaran Tenaga, Dorong Eksport Tenaga RE – Nik Nazmi

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Malaysia akan memperkenalkan Penukaran Tenaga untuk menyokong eksport tenaga boleh baharu (RE) ke negara-negara jiran, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang merangka perinciannya untuk memudahkan penukaran tersebut yang akan diumumkan tahun ini.

“ST sedang menyediakan kertas kerja berhubung Penukaran Tenaga ini untuk kita meluluskannya di peringkat kerajaan.

“Kita akan meneliti beberapa model tersedia dan antara matlamatnya adalah untuk mendapat RE yang cukup untuk dibekalkan di negara ini dan seterusnya memastikan kita menerima nilai terbaik bagi jualan di luar negara dan membolehkan nilai itu dilaburkan semula demi merangsang sektor RE di Malaysia,” katanya dalam persidangan meja bulat Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) hari ini.

Nik Nazmi berkata bagi menyokong peralihan tenaga di negara ini, Malaysia perlu melihat sumber penjanaan tenaga lain seperti hidrokuasa berskala kecil.

“Kita tidak sewajarnya melihat kepada hidrokuasa berskala besar yang agak bermasalah untuk kita melaksanakannya kerana banyak tukar ganti,” katanya.

Nik Nazmi berkata Malaysia perlu mengkaji sistem storan bateri yang akan memainkan peranan penting untuk menyokong harga RE yang lebih rendah.

Mengulas pelaksanaan cukai karbon di Malaysia, beliau berkata negara memerlukan pembaharuan cukai untuk menyokong industri itu.

“Kementerian Kewangan adalah peneraju dalam aspek ini. Apabila kita bercakap dari segi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, cukai tersebut perlu menjalankan peranan kerana ada harga yang perlu dibayar untuk karbon,” kata Nik Nazmi.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA