Malaysia Tidak Akan Alami Kemelesetan, Pertumbuhan Berterusan Sepanjang 2023 – BNM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) — Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menegaskan Malaysia dijangka tidak mengalami kemelesetan memandangkan permintaan dan perbelanjaan domestik yang mampan akan terus menyediakan asas yang kukuh bagi pertumbuhan.

Beliau berkata walau bagaimanapun, unjuran rasmi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkini hanya akan dikeluarkan menerusi pembentangan semula Belanjawan 2023 pada 24 Feb ini.

Setakat ini, prestasi suku pertama 2023 menunjukkan pertumbuhan lebih kukuh berbanding dengan pertumbuhan 7.0 peratus yang dicatatkan semasa suku keempat 2022, katanya.

“Kita mengunjurkan pertumbuhan berterusan pada 2023 namun pada kadar yang lebih sederhana ekoran permintaan luar yang perlahan.

“Perkara penting yang ingin saya tekankan adalah kita mencatatkan peningkatan berterusan dalam pasaran kerja dan kita akan meraih manfaat daripada kesan positif susulan pembukaan semula China,” katanya kepada pemberita semasa sidang media mengenai perangkaan suku keempat dan setahun penuh 2022 di sini pada Jumaat.

Beliau berkata kerajaan juga menekankan angka pelaburan yang tinggi serta pemulihan berbentuk ‘V’ yang dicatatkan aktiviti pelancongan sudah cukup untuk mengimbangi penyederhanaan eksport yang berpunca daripada pertumbuhan permintaan global yang lembap.

Pada masa sama, pertumbuhan ekonomi turut dijangka di peringkat global, malah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah menaikkan unjuran KDNK bagi 2022 dan tahun ini, katanya.

Berdasarkan unjuran terkini, IMF menjangkakan pertumbuhan sebanyak 2.9 peratus pada 2023 berbanding 2.7 yang dibuat sebelum ini.

Bag suku keempat 2022, pertumbuhan global terus perlahan dalam keadaan kadar faedah lebih tinggi dan kegiatan perdagangan yang lembap.

Peningkatan semula kes COVID-19 di China yang teruk juga menjejaskan perbelanjaan dan aktiviti pengeluaran.

Ekonomi Malaysia bagi 2022 berkembang pada kadar tertinggi dalam tempoh 22 tahun iaitu 8.7 peratus berbanding dengan 3.1 peratus yang dicatatkan tahun sebelumnya, dipacu oleh pertumbuhan positif dalam semua sektor.

Walau bagaimanapun, berasaskan suku ke suku, angka KDNK menguncup 2.6 peratus pada suku keempat 2022 berbanding suku ketiga tahun yang sama.

Sementara itu, Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penyederhanaan pada suku keempat berbanding pertumbuhan tinggi semasa suku ketiga menunjukkan sokongan daripada langkah rangsangan telah berkurangan.

Beliau berkata walaupun ekonomi pada 2022 telah mengatasi kadar prapandemik 2019 namun tiga sektor ekonomi utama masih kekal di bawah paras prapandemik, iaitu perlombongan dan pengkuarian, pembinaan dan pertanian.

“Pada 2021, bilangan pekerja bagi ketiga-tiga sektor ini adalah 2.8 juta, iaitu masih 0.1 juta lebih rendah daripada data prapandemik.

“Makanan dan minuman, penginapan, hartanah, perkhidmatan perniagaan, pendidikan swasta dan aktiviti perkhidmatan lain masih di bawah data prapandemik, walaupun keseluruhan sektor perkhidmatan telah mengatasi data yang direkodkan 2019,” katanya.

Pada 2022, perbelanjaan perjalanan dalam negara meningkat kepada RM27.9 bilion daripada RM0.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, perjalanan dalam negara masih di bawah paras prapandemik, dengan ketibaan pelancong berjumlah 26.1 juta.

“Sebagai perbandingan, perbelanjaan perjalanan ke luar negara meningkat kepada RM29.6 bilion, lebih separuh daripada RM51.3 bilion yang dicatatkan semasa prapandemik,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

WE2025 Umum Berjaya Food Sebagai Penaja Korporat

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) — Berjaya Food Bhd (BFood) diumumkan sebagai penaja korporat bagi Persidangan Kepimpinan WE2025: Future in Motion, yang akan diadakan pada 25-26 Nov, 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Selain itu, turut diumumkan rakan kongsi strategik baharu persidangan termasuk Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia, Polity, Peniagawati, Jawatankuasa Usahawan Wanita Dewan Perniagaan Malaysia-China, Persatuan Perkapalan dan Perdagangan Antarabangsa Wanita (WISTA Malaysia), WEConnect International serta rakan media Ekonomi Rakyat.

Pengarah Projek WE2025 Michelle Lau berkata kisah BFood sentiasa berkaitan dengan prinsip kemampanan dan keterangkuman sambil menyokong inisiatif yang mewujudkan penanda aras baharu bagi tanggungjawab korporat.

“Ia menunjukkan bagaimana perniagaan boleh memberi inspirasi kepada orang lain dan mencetuskan perkongsian yang melangkaui sempadan mana-mana kedai atau pejabat apabila mereka menerapkan unsur keterangkuman dalam nilai utama mereka.

“Atas sebab itulah, perkongsian mereka dengan WE2025 sebagai entiti korporat amat penting,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman penajaan, rakan kongsi dan inisiatif komuniti WE2025 di sini hari ini.

WE2025 dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia (Qube Integrated), dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta disokong oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Dalam satu kenyataan, ia berkata acara julung kali itu menyasarkan untuk menarik 10,000 penyertaan dan menyelaraskan potensi pelaburan serta perdagangan berjumlah RM100 juta.

“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyumbang sebanyak 39.5 peratus daripada ekonomi negara, dengan usahawan wanita memainkan peranan yang semakin penting iaitu setakat 2022 lebih 20 peratus daripada perniagaan dimiliki oleh golongan wanita.

“Dalam konteks ini, WE2025 menjadi platform penting untuk menyediakan PKS dengan pendedahan peringkat kebangsaan sambil melengkapkan usahawan wanita dengan bimbingan dan pandangan bersesuaian daripada pemimpin industri yang berkongsi kisah yang sama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Qube Integrated Jessie Tan berkata WE2025 mempunyai potensi dan berpeluang menjadi titik perubahan penting bagi wanita yang terlibat dalam perdagangan dan kepimpinan, kerana ia membolehkan perniagaan, pembuat dasar dan media bekerjasama bagi mewujudkan peluang dan menyuarakan pandangan yang penting.

Beliau berkata persidangan itu akan menjadi acara penting bagi keusahawanan dan kepimpinan wanita di Malaysia – yang terbesar seumpamanya-kerana ia dapat memacu hasil bagi memupuk perkongsian rentas sempadan dan antara industri, mengukuhkan kepimpinan dan mempamerkan inovasi yang inklusif.

“Dengan gabungan suara dan peluang yang akan dipamerkan, kami yakin WE2025 boleh membuktikan bahawa ia penting dalam membentuk masa depan dan gerakan perdagangan, kepimpinan dan pelaburan di Malaysia,” katanya.

WE2025 menampilkan empat komponen utama iaitu Ekspo Perdagangan dan Pelaburan WE2025 yang akan melibatkan lebih 100 pempamer, dan Persidangan Kepimpinan WE2025 yang mengumpulkan 1,000 delegasi dari pelbagai sektor.

Selain itu, ia turut melibatkan WE dalam Dialog dengan lebih 10 acara utama dan WE dalam Pertukaran, yang menawarkan padanan perniagaan terpilih bagi memupuk perkongsian dan perdagangan.
–BERNAMA