MIHAS: Platform Halal Premium Global Catat Jualan RM 3.11 Bilion, 24 Peratus Atasi Sasaran – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) — Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2023) edisi ke-19, yang merupakan pameran halal terbesar di dunia, berjaya mencatat jualan RM3.11 bilion, melebihi sasaran awal RM2.5 bilion sebanyak 24 peratus, sekali gus menekankan kepentingannya sebagai platform perdagangan global terulung bagi industri halal.

MIHAS, yang berlangsung selama lima hari bermula 11 Sept 2023, dihoskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Dalam satu kenyataan, MATRADE berkata jualan itu disumbangkan oleh perjanjian perniagaan daripada dua program utama MIHAS, iaitu Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang dianjurkan pada 11 Sept 2023 untuk pengeksport Malaysia, dan pameran perdagangan utama yang melibatkan pempamer dari 40 negara.

“Pencapaian jualan RM3.11 bilion yang membanggakan, melepasi sasaran kami sebanyak 24 peratus, membuktikan MIHAS masih menjadi platform halal global yang terulung,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Pelan Induk Industri Halal Malaysia 2030 menyasarkan sumbangan industri sebanyak RM266 bilion, atau 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030.

“Dalam mencapai matlamat ini, kami akan terus membina momentum yang dijana oleh MIHAS 2023, terutamanya dalam memudahkan akses pasaran untuk pemain industri halal kami kepada rantaian bekalan utama di seluruh dunia.

“Paling penting, selaras dengan agenda menjamin keselamatan ekonomi dan keterangkuman Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 kita, platform seperti MIHAS juga menyumbang dengan ketara kepada objektif kerajaan untuk mengantarabangsakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal di Asia,” katanya.

Tumpuan MIHAS 2023 terhadap elemen kemampanan dan pendigitalan telah meningkatkan lagi nilainya kepada komuniti halal global, dengan memudahkan dan mempercepatkan proses mengarusperdanakan ekosistem halal dalam rantaian bekalan global.

Anggaran awal menunjukkan program perdana INSP-MATRADE mencapai jualan bernilai RM1.22 bilion, manakala pempamer memperoleh jumlah jualan RM1.89 bilion. Angka jualan awal ini berpotensi meningkat apabila pemadanan perniagaan INSP maya berlangsung sehingga 30 Nov 2023.

Sementara itu, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican  menegaskan bahawa MIHAS 2023 turut menekankan kerjasama dengan pelbagai pihak.

“Sebagai contoh, lebih daripada 30 MoU telah bertukar antara organisasi Malaysia dan asing ketika MIHAS berlangsung. MATRADE juga melaksanakan banyak usaha untuk menarik penyertaan organisasi kerajaan lain, dan sebanyak 34 agensi Persekutuan dan negeri menyertai MIHAS tahun ini,” katanya.

MIHAS 2024 

Reezal Merican berkata lebih 800 peserta pameran telah menyatakan minat mereka untuk menyertai MIHAS 2024 yang dijadualkan pada 17 – 20 September 2024, membuktikan peranan utamanya dalam memajukan dan meningkatkan industri halal global.

MIHAS 2023 menarik seramai 38,566 pelawat dari lebih 100 negara, melepasi sasaran 35,000 pelawat. Antaranya, 29,090 hadir sendiri, manakala 9,476 menyertainya secara maya.

Acara INSP yang berlangsung di MATRADE, menghubungkan 469 syarikat Malaysia dengan 231 pembeli antarabangsa dari 44 negara, termasuk 11 pembeli premium. Inisiatif ini memudahkan sebanyak 2,788 mesyuarat perniagaan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TNB Dan CET Dari China Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Grid Kuasa

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan State Grid Corporation of China (SGCC) yang juga syarikat utiliti awam terbesar dunia yang diwakili oleh anak syarikat milik penuhnya, China Electric Power Equipment and Technology Co Ltd (CET).

Dalam kenyataannya, TNB berkata kerjasama itu bertujuan memperkukuh kerjasama teknologi dalam memajukan grid kuasa dan rangkaian pembahagian, menyokong pemodenan grid Malaysia serta menyumbang kepada visi ASEAN yang lebih luas bagi mempertingkat keterhubungan tenaga serantau.

Menurut syarikat utiliti nasional itu, kerjasama berkenaan menumpukan tiga bidang teras iaitu perancangan dan integrasi sistem kuasa, rangkaian pintar dan berdaya tahan serta penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI).

Ini, katanya, bermatlamat untuk memanfaatkan kepakaran SGCC dan CET dalam bidang peralihan tenaga serta sistem kuasa baharu bagi memperkukuh operasi dan pengurusan sistem grid kuasa dan rangkaian pembahagian TNB.

“SGCC mempunyai rekod cemerlang dalam bidang tenaga dengan pembekalan elektrik kepada lebih 1.1 bilion pelanggan serta rangkaian operasi antarabangsa di lebih 40 buah negara melalui CET sebagai cabang perniagaan globalnya,” katanya. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof telah menyaksikan pemeteraian MoU itu yang dilakukan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengerusi CET Yu Jun pada satu majlis di Shah Alam, Selangor.

TNB menjelaskan di bawah MoU itu, TNB dan SGCC CET akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi memantau kemajuan kerjasama kedua-dua pihak.

“Antara akitiviti utama adalah sesi pembangunan kapasiti, laporan kajian teknikal serta sokongan reka bentuk konsep bagi projek rintis dengan TNB menyediakan maklumat teknikal diperlukan bagi menyokong kerjasama itu manakala CET berkongsi keupayaan teknologi, piawaian dan pengalaman pengurusan projek melalui operasi global SGCC,” katanya.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata MoU itu membolehkan TNB memanfaatkan amalan terbaik global dalam perancangan sistem kuasa, teknologi grid pintar dan penyelesaian digital yang penting bagi mengintegrasikan tenaga boleh baharu serta memperkukuh peranannya dalam Grid Kuasa ASEAN (APG).

“Kerjasama itu juga menekankan komitmen TNB dalam menyokong masa depan Malaysia yang lebih mampan melalui teknologi AI, khususnya menerusi inisiatif Grid Pintar,” katanya.

Dalam pada itu, Yu berkata kerjasama itu ini tidak hanya memperkukuh hubungan dua hala China-Malaysia, tetapi juga menyumbang kepada visi keterjaminan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN.
— BERNAMA