Perkenalkan Semula GST Boleh Tingkatkan Hasil Kerajaan Tetapi Perlu Lebih Jelas — Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) — Memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan meningkatkan hasil kerajaan, tetapi ia perlu lebih jelas untuk peserta  pasaran menyesuaikan keputusan pelaburan mereka dengan sewajarnya, kata pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun wajar untuk kerajaan mempertimbangkan semula GST kerana rejim cukai itu akan melonjakkan kutipan hasil, adalah juga penting untuk menjadikan sistem berkenaan lebih telus.

“Malah menjadikannya lebih telus adalah cara terbaik untuk menangani ekonomi bayangan, kerana semua perniagaan perlu mendaftar untuk menuntut kredit cukai input,” katanya kepada Bernama.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan berkata semalam bahawa kerajaan terbuka untuk memperkenalkan semula GST sebagai salah satu strategi untuk meluaskan asas hasil bagi mencapai kemampanan fiskal.

“Kami akan bersikap terbuka dan melalui apa sahaja cara yang kami boleh untuk mencapai kemampanan fiskal menerusi asas hasil yang lebih luas, sama ada cukai keuntungan modal, GST atau sebarang bentuk cukai langsung atau tidak langsung.

“Saya lebih suka untuk memastikan strategi itu terbuka dan akan memutuskan berdasarkan kes demi kes dan tahun ke tahun,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Firdaos Rosli turut berpendapat lebih banyak kejelasan diperlukan daripada kerajaan memandangkan pemain pasaran perlu bersedia dan menyesuaikan keputusan pelaburan mereka dengan sewajarnya.

“Idea untuk memperkenalkan semula GST mungkin lebih tepat berkaitan garis masa dan reka bentuk cukai. Saya rasa ahli ekonomi dan komuniti perniagaan boleh menjangkakan perkara yang lebih baik jika ada kejelasan mengenai isu ini,” katanya.

Namun apabila ditanya mengenai kadar GST baharu yang ideal berbanding enam peratus yang dilaksanakan sebelum ini, Afzanizam dan Firdaos enggan memberi sebarang ulasan.

“Tidak pasti berapa kadarnya, tetapi ia boleh bermula dengan angka kecil dan meningkatkannya mengikut masa.

“Tetapi sekiranya dapat dilaksanakan, ia akan memberikan kelebihan bagi pentadbiran semasa,” kata Afzanizam.

Sementara itu, Firdaos berkata masih terlalu awal untuk membincangkan kadar itu buat masa ini kerana keputusan untuk memulihkan GST masih belum muktamad.

GST sebanyak enam peratus diperkenalkan pada 2015, tetapi telah dimansuhkan pada 2018 dan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Inflasi Malaysia Meningkat 1.5 Peratus Pada September 2025 – DOSM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) — Inflasi Malaysia meningkat 1.5 peratus pada September 2025 dengan mata indeks mencatatkan 135.2 berbanding 133.2 pada tempoh sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam kenyataan Indeks Harga Pengguna (IHP) September 2025 hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan itu disumbangkan oleh peningkatan kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan dan perkhidmatan pada 4.8 peratus berbanding Ogos 2025 (4.0 peratus).

“Ini diikuti oleh makanan dan minuman pada 2.1 peratus (Ogos 2025: 2.0 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain 1.5 peratus (Ogos 2025: 1.2 peratus); kesihatan 1.3 peratus (Ogos 2025: 1.1 peratus) dan pengangkutan 0.7 peratus (Ogos 2025: 0.2 peratus)

“Selain itu, restoran dan perkhidmatan penginapan, 3.3 peratus (Ogos 2025: 3.5 peratus) dan minuman alkohol & tembakau 0.3 peratus (Ogos 2025: 0.4 peratus) mencatatkan peningkatan lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata sebanyak 59.9 peratus item (343 daripada 573) mencatat kenaikan harga.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu sebanyak 333 item atau 97.1 peratus mencatat peningkatan yang kurang atau sama dengan 10 peratus manakala hanya 10 item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada September 2025.

“Baki sebanyak 181 item (31.6 peratus) menunjukkan penurunan manakala 49 item kekal tidak berubah,” katanya.

Mohd Uzir berkata purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada September 2025 ialah RM3.19 seliter berbanding RM3.15 seliter pada Ogos 2025 (September 2024: RM3.28).

“Purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.91 seliter berbanding RM2.90 seliter pada Ogos 2025 (September 2024: RM3.04) manakala purata harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter,” katanya.

Menyentuh inflasi di peringkat negeri, sebanyak lima negeri mencatat peningkatan melebihi paras nasional (1.5 peratus) iaitu Johor (2.0 peratus), Negeri Sembilan (1.9 peratus), Melaka (1.8 peratus), Selangor (1.8 peratus) dan Terengganu (1.7 peratus).

“Baki sebanyak 11 negeri meningkat di bawah paras inflasi nasional dengan Kelantan mencatat inflasi terendah iaitu 0.5 peratus pada September 2025.

“Berbanding negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.5 peratus) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Vietnam (3.4 peratus), Indonesia (2.7 peratus) dan Republik Korea (2.1 peratus),” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata kadar berkenaan adalah lebih tinggi berbanding Thailand (-0.7 peratus) dan China (-0.3 peratus).
BERNAMA