Petronas Nilai Langkah Penyusunan Semula Tenaga Kerja


KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang menilai langkah penyusunan semula saiz tenaga kerjanya yang turut melibatkan pendekatan daripada peringkat tertinggi hingga peringkat terendah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata syarikat itu berhasrat untuk memuktamadkan strategi penyusunan semula saiz tenaga kerjanya menjelang pertengahan 2025.

“Pada separuh kedua tahun ini, anda akan menyaksikan struktur organisasi ini dilaksanakan secara berperingkat. Saya ingin menegaskan bahawa langkah ini tidak bertujuan untuk mengurangkan pekerjaan sebanyak 15,000 hingga 16,000,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman prestasi kewangan Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 hari ini, beliau menafikan dakwaan bahawa langkah penyusunan semula ini akan memberi keutamaan kepada pengurusan atasan sehingga menjejaskan pekerja lain.

Menurutnya penyusunan semula ini akan membabitkan seluruh peringkat.

“Sebahagian pihak mengatakan ini merupakan langkah perlindungan, dengan pengurusan atasan akan dilindungi manakala mereka yang tidak mempunyai kuasa dalam keputusan berkenaan akan terkesan jika kami memutuskan pelaksanaan penyusunan semula ini.

“Kumpulan pertama yang akan terkesan adalah daripada pihak pengurusan dan seterusnya,” katanya.

Mengulas kebimbangan mengenai langkah mengurangkan pekerjaan, Tengku Muhammad Taufik menegaskan bahawa tidak ada perancangan untuk memberhentikan pekerja secara besar-besaran.

“Seperti yang dilaporkan banyak pihak, kami mempunyai 15,000 hingga 16,000 ‘pemangkin’ yang merangkumi semua fungsi sokongan. Adakah anda membuat kesimpulan bahawa laporan yang mendakwa saya akan menghapuskan 16,000 (pekerjaan) itu tepat?

“Ini adalah mustahil. Kami perlu melihat perkara ini dengan bijak dan memberi ruang kepada perniagaan untuk menyatakan apa yang diperlukan,” katanya sambil memaklumkan pekerja yang terjejas atau dipindahkan akan diberikan layanan yang adil.

Ketika ditanya sama ada hasil dan pembayaran dividen kepada kerajaan pada masa akan datang akan terjejas berikutan strategi peruntukan modal Petronas, Tengku Muhammad Taufik menegaskan bahawa pembayaran dividen akan bergantung kepada kemampuan syarikat dan kelulusan lembaga pengarah.

“Kami akan memenuhi dividen yang dicadangkan dan diperlukan berdasarkan kemampuan. Ia akan mengambil kira keperluan kami untuk terus beroperasi.

“Oleh itu, perlu ada penampan tunai yang mencukupi untuk menampung keperluan modal kami dalam tempoh tiga hingga enam bulan,” katanya.

Petronas dijangka membayar dividen sebanyak RM32 bilion kepada kerajaan berdasarkan prestasinya pada tahun kewangan 2024.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

5 Faktor Harga Emas Boleh Terus Jatuh

Ramai orang melihat emas sebagai aset yang sentiasa selamat dan nilainya hanya akan meningkat dari masa ke masa. Persepsi ini menyebabkan ramai menganggap emas sebagai “simpanan kebal” yang tidak terkesan dengan keadaan ekonomi.

Namun hakikatnya, harga emas tetap bergerak mengikut kitaran pasaran dan boleh jatuh untuk tempoh yang panjang jika faktor-faktor tertentu berlaku serentak.

USD Menguat Akan Tekan Harga Emas

Harga emas mempunyai ‘hubungan songsang’ dengan kekuatan dolar Amerika Syarikat. Apabila USD mengukuh, emas menjadi lebih mahal kepada pelabur di luar Amerika, sekali gus mengurangkan permintaan global. Dalam keadaan ini, tekanan jualan akan meningkat dan harga emas boleh menurun.

Sebagai contoh, apabila nilai USD meningkat dengan ketara berbanding ringgit Malaysia, pelabur tempatan mungkin melihat harga emas dalam USD tidak banyak berubah, tetapi dari sudut global, permintaan semakin lemah. Situasi ini pernah berlaku apabila USD berada dalam fasa pengukuhan agresif, menyebabkan harga emas global bergerak mendatar atau menurun walaupun sentimen terhadap emas masih positif.

Kadar Faedah Tinggi Kurangkan Tarikan Emas

Emas tidak memberikan sebarang pulangan berkala seperti dividen atau faedah. Oleh itu, apabila kadar faedah meningkat, pelabur akan mula beralih kepada instrumen yang menawarkan pulangan tetap dan lebih stabil. Ini menjadikan emas kurang menarik dalam persekitaran kadar faedah tinggi.

Sebagai contoh, ketika kadar faedah meningkat dan bank menawarkan pulangan simpanan tetap sekitar 4 hingga 5 peratus setahun, pelabur konservatif mungkin memilih untuk mengunci pulangan tersebut berbanding memegang emas yang tidak memberikan sebarang aliran tunai. Peralihan ini secara berperingkat akan mengurangkan permintaan terhadap emas dan memberi tekanan kepada harganya.

Ekonomi Stabil Kurangkan Keperluan “Safe Haven”

Emas biasanya mendapat permintaan tinggi ketika berlaku ketidaktentuan ekonomi atau krisis geopolitik. Namun apabila keadaan kembali stabil, pelabur cenderung untuk mengambil risiko dan beralih kepada aset yang menawarkan pulangan lebih tinggi seperti saham.

Sebagai contoh, dalam tempoh pasaran saham global sedang berkembang pesat, ramai pelabur akan mengalihkan dana daripada emas ke pasaran ekuiti untuk mengejar keuntungan yang lebih besar. Pergerakan dana ini menyebabkan permintaan terhadap emas menurun, sekaligus menekan harga walaupun tiada perubahan besar dalam penawaran fizikal.

Jualan Oleh Bank Pusat Tingkatkan Penawaran

Bank pusat merupakan antara pemegang emas terbesar di dunia. Sebarang perubahan dalam polisi pegangan emas oleh institusi ini boleh memberi kesan besar kepada pasaran. Jika bank pusat menjual sebahagian daripada rizab emas mereka, penawaran dalam pasaran akan meningkat dengan ketara.

Sebagai contoh, sekiranya sebuah negara besar membuat keputusan untuk mengurangkan pegangan emas dan menjual sebahagian rizabnya, lambakan emas dalam pasaran boleh berlaku dalam masa yang singkat. Jika permintaan tidak meningkat pada kadar yang sama, harga emas akan mengalami tekanan menurun.

Terkini, laporan Bloomberg menyatakan bank pusat Turki telah menjual dan menukar 60 tan emas bernilai lebih USD8 bilion sebagai sebahagian daripada usaha mempertahankan mata wang mereka. Menariknya, sebahagian daripada emas tersebut bukan sahaja dijual secara langsung, tetapi juga digunakan dalam bentuk “swap” untuk mendapatkan kecairan dalam mata wang asing.

Kes ini jelas menunjukkan bahawa emas bukan sekadar aset “disimpan”, tetapi boleh menjadi alat kecemasan yang digunakan oleh negara apabila berdepan tekanan ekonomi. Namun pada masa yang sama, apabila emas dilepaskan ke pasaran dalam jumlah besar, ia berpotensi menambah penawaran dan memberi tekanan kepada harga emas global.

Sentimen Pasaran dan Tindakan Pelabur Besar

Pergerakan harga emas dalam jangka pendek juga sangat dipengaruhi oleh sentimen pasaran dan tindakan pelabur institusi. Kadangkala, perubahan harga berlaku bukan kerana faktor ekonomi yang jelas, tetapi disebabkan oleh aliran keluar masuk dana dalam skala besar.

Sebagai contoh, apabila dana besar atau ETF emas mengalami pengeluaran dana secara mendadak, ia boleh mencetuskan gelombang jualan dalam pasaran. Pelabur lain yang melihat pergerakan ini mungkin turut mengambil tindakan sama, menyebabkan harga jatuh dengan lebih cepat walaupun asas ekonomi tidak berubah secara signifikan.

Kesimpulan

Emas bukanlah aset yang sentiasa meningkat nilainya tanpa risiko. Ia berfungsi dengan baik sebagai alat perlindungan nilai dalam jangka panjang, tetapi tetap terdedah kepada turun naik harga dalam jangka pendek. Memahami faktor-faktor ini penting supaya pelabur tidak meletakkan jangkaan yang tidak realistik terhadap emas.

Namun begitu, terdapat juga naratif yang sering dimainkan dalam kalangan ejen emas iaitu “jangan fokus kepada harga, tetapi fokus kepada jumlah gram yang dimiliki”. Walaupun pendekatan ini kelihatan menenangkan dan sesuai untuk membina disiplin simpanan, ia boleh menjadi mengelirukan jika difahami secara literal. Hakikatnya, setiap pembelian emas tetap melibatkan penggunaan wang dan harga memainkan peranan penting dalam menentukan nilai yang diperoleh pada sesuatu masa. Mengabaikan harga seolah-olah menafikan konsep asas dalam pelaburan, iaitu hubungan antara kos dan nilai.

Dalam dunia kewangan, tiada aset yang bergerak sehala sepanjang masa. Yang lebih penting adalah memahami peranan setiap aset dan bagaimana ia boleh digunakan secara strategik dalam membina portfolio yang seimbang.

Baca juga 7 Platform Yang Ada Untuk Kita Melabur Emas