Pusat Alat Ganti Serantau Proton Di Kuching Hampir Siap – Timbalan CEO

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) — Proton Holdings Bhd akan membuka Pusat Alat Ganti Serantau (RPC) baharu di Kuching, Sarawak untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada jumlah pelanggan yang juga kian bertambah di Malaysia Timur.

Menurut kenyataan pada Rabu, pembuat kereta itu menjelaskan kemudahan seluas 28,000 kaki persegi itu akan berfungsi sebagai pusat pengedaran alat ganti dan komponen selepas jualan untuk Sabah dan Sarawak.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton, Roslan Abdullah berkata RPC baharu itu hampir siap.

“Ia direka untuk memenuhi keperluan pengedar kami dan pelanggan di Malaysia Timur selain mengurangkan masa menunggu untuk alat ganti memandangkan logistiknya agak mencabar.

“Setelah siap, kami akan mempunyai keupayaan untuk menyimpan sehingga tiga bulan stok serta boleh menerima penghantaran terus alat ganti daripada vendor luar negara,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Proton menambah, RPC baharu itu juga akan dapat menyimpan sehingga enam kontena sekali gus membolehkannya menerima berbilang tempahan secara serentak.

Ia juga akan dapat mengendalikan peningkatan daya pengeluaran, mengurangkan masa yang diperlukan untuk memproses dan menghantar pesanan ke pusat servis/pengedaran, jelas Proton.

Roslan berkata pihaknya menjangkakan dapat mengurangkan masa menunggu secara ketara untuk pembaikan kenderaan kemalangan.

“Sebagai tambahan kepada tiga bulan stok yang dipegang RPC, pengedar kami juga dikehendaki mempunyai stok bahagian penyelenggaraan selama tiga bulan.

“Ini adalah contoh usaha Proton untuk terus menambah baik perkhidmatan selepas jualan bagi memberikan tahap kepuasan pelanggan yang tertinggi,” katanya.

Jualan Proton di Malaysia Timur telah meningkat sejak 2019, susulan pelancaran Proton X70 pada 12 Dis, 2018.

Jumlah jualan di Malaysia Timur meningkat sebanyak 120 peratus dari tahun 2018 hingga 2021, dan dengan angka tempahan yang memberangsangkan pada 2022, syarikat itu menjangkakan pertumbuhan sebanyak 20 peratus lagi bagi jualan tahun ke tahun.

Roslan berkata bagi pembeli kereta di Malaysia Timur, Proton Saga kekal sebagai model paling popular Proton, diikuti dengan Proton X50.

“Tahun lepas, kami menjual 8,692 unit Proton Saga dan 2,934 unit Proton X50. Berdasarkan trend tempahan semasa, kami menjangkakan jualan masing-masing melebihi 10,000 dan 4,200 unit,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/pusat-alat-ganti-serantau-proton-di-kuching-hampir-siap-timbalan-ceo/

Previous ArticleNext Article

Canon Memperluas Program EOS Master Untuk 2026 Dengan Pengenalan EOS Filmmaker

SHAH ALAM – Canon Marketing Malaysia (“Canon”) dengan bangganya memperkenalkan barisan tenaga pengajar Program EOS Master 2026, yang merangkumi EOS Master, EOS Mentor serta kategori baharu iaitu EOS Filmmaker, meneruskan komitmen berterusan syarikat tersebut dalam memperkasa komuniti fotografi dan videografi Malaysia melalui pendidikan, bimbingan serta perkongsian pengetahuan profesional.

Berpandukan kejayaan Program EOS Master yang dilancarkan pada tahun 2023, Canon terus menambah baik inisiatif tersebut, selari dengan perubahan landskap kreatif. Pada tahun 2026, program ini diperluaskan dengan pengenalan EOS Filmmaker, mencerminkan fokus strategik Canon terhadap videografi, penceritaan visual bergerak serta kepentingan kandungan berasaskan video yang semakin meningkat merentas pelbagai industri.

Barisan tenaga pengajar Program EOS Master 2026 terdiri daripada 11 EOS Master, 12 EOS Mentor dan 3 EOS Filmmaker. Barisan tahun ini menghimpunkan kumpulan profesional dengan pelbagai kepakaran iaitu dalam bidang astrofotografi, komersial, acara, kehidupan manusia, jurnalistik foto, potret, pelancongan, bawah air, hidupan liar dan perkahwinan. Kesemua mereka diiktiraf atas kecemerlangan kreatif, pengalaman industri serta sumbangan yang bermakna kepada komuniti pengimejan tempatan.

Pengenalan EOS Filmmaker mengukuhkan komitmen Canon dalam menyokong pencipta yang terlibat dalam penceritaan sinematik, penghasilan video komersial dan penciptaan kandungan digital, sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap platform berorientasikan video serta aliran kerja kreatif hibrid.

Melalui bengkel, sesi perkongsian, sesi latihan dan inisiatif yang diterajui Canon sepanjang tahun, EOS Master dan EOS Filmmaker akan memainkan peranan aktif dalam memupuk bakat kreatif, berkongsi pandangan praktikal serta mempamerkan bagaimana ekosistem pengimejan Canon menyokong penceritaan visual dalam bentuk imej statik dan video pada tahap tertinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Masato Yoshiie berkata, “Program EOS Master Canon mencerminkan komitmen jangka panjang kami dalam memupuk komuniti kreatif yang kukuh dan berwibawa di Malaysia. Seiring evolusi ekspresi kreatif, adalah penting untuk kami turut berkembang bersama para pencipta. Pengenalan EOS Filmmaker membolehkan kami menyokong pencerita yang menggabungkan fotografi dan videografi, sambil memperkasakan mereka dengan peralatan, pengetahuan dan platform untuk menginjak sempadan kreativiti.”

Ketua Bahagian Perniagaan Komunikasi Imej Canon Marketing Malaysia, Edward Chang menambah, “Videografi kini menjadi elemen penting dalam penceritaan visual, dan para pencipta semakin kerap bekerja dengan pelbagai format. Dengan memperkenalkan EOS Filmmaker dalam Program EOS Master, kami menguatkan sokongan terhadap golongan profesional yang berfokuskan video, di samping terus menyediakan pengalaman pembelajaran yang bermakna serta pandangan praktikal melalui ekosistem EOS Canon.”

Program EOS Master Canon dipandu oleh falsafah Kyosei, yang menekankan kerjasama demi kebaikan bersama. Melalui kolaborasi, bimbingan dan inovasi, Canon kekal komited dalam memupuk komuniti kreatif Malaysia yang dinamik dan bersedia menghadapi masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut mengenai bengkel, sesi latihan dan acara akan datang yang menampilkan EOS Master dan EOS Mentor 2026, sila layari laman web rasmi Canon di my.canon/en/consumer/event