Sokongan Kerajaan Dan Kelancaran AHTV Jadi Contoh Pendekatan Malaysia Memudahcarakan Pelaburan — PM Anwar

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) — Sokongan kerajaan serta kelancaran Projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) akan menjadi contoh kepada pelabur terhadap pendekatan Malaysia dalam memudah cara pelaburan dengan cekap dan pantas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat berkaitan Projek AHTV bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang di Proton City, Tanjong Malim, hari ini, berharap agar projek ini berjaya seperti yang dirancang.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Anwar berkata, AHTV adalah satu projek mega membabitkan pelaburan berjumlah RM32 bilion yang dipelopori syarikat Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd bersama-sama DRB-Hicom Bhd. 

“Ia bakal mengubah Tanjong Malim menjadi sebuah hab automotif global untuk kenderaan tenaga baharu (NEV) sambil dikembangkan mencakupi pembangunan tenaga kerja, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembandaran. 

“Usai mesyuarat, saya menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kolaborasi Utama antara DRB-HICOM dan Geely sebagai komitmen kedua-dua pihak dalam sama-sama menjayakan AHTV,” katanya. 

Selain itu, Perdana Menteri turut menyaksikan pemeteraian Dasar-Dasar Utama Perjanjian antara Altel dan Geespace Technology, syarikat pelaburan strategik Geely, yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan sistem teknologi tinggi serta memangkin pelaksanaan penyelesaian inovatif bagi sektor seperti pelabuhan pintar. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TNB Dan CET Dari China Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Grid Kuasa

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan State Grid Corporation of China (SGCC) yang juga syarikat utiliti awam terbesar dunia yang diwakili oleh anak syarikat milik penuhnya, China Electric Power Equipment and Technology Co Ltd (CET).

Dalam kenyataannya, TNB berkata kerjasama itu bertujuan memperkukuh kerjasama teknologi dalam memajukan grid kuasa dan rangkaian pembahagian, menyokong pemodenan grid Malaysia serta menyumbang kepada visi ASEAN yang lebih luas bagi mempertingkat keterhubungan tenaga serantau.

Menurut syarikat utiliti nasional itu, kerjasama berkenaan menumpukan tiga bidang teras iaitu perancangan dan integrasi sistem kuasa, rangkaian pintar dan berdaya tahan serta penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI).

Ini, katanya, bermatlamat untuk memanfaatkan kepakaran SGCC dan CET dalam bidang peralihan tenaga serta sistem kuasa baharu bagi memperkukuh operasi dan pengurusan sistem grid kuasa dan rangkaian pembahagian TNB.

“SGCC mempunyai rekod cemerlang dalam bidang tenaga dengan pembekalan elektrik kepada lebih 1.1 bilion pelanggan serta rangkaian operasi antarabangsa di lebih 40 buah negara melalui CET sebagai cabang perniagaan globalnya,” katanya. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof telah menyaksikan pemeteraian MoU itu yang dilakukan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengerusi CET Yu Jun pada satu majlis di Shah Alam, Selangor.

TNB menjelaskan di bawah MoU itu, TNB dan SGCC CET akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi memantau kemajuan kerjasama kedua-dua pihak.

“Antara akitiviti utama adalah sesi pembangunan kapasiti, laporan kajian teknikal serta sokongan reka bentuk konsep bagi projek rintis dengan TNB menyediakan maklumat teknikal diperlukan bagi menyokong kerjasama itu manakala CET berkongsi keupayaan teknologi, piawaian dan pengalaman pengurusan projek melalui operasi global SGCC,” katanya.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata MoU itu membolehkan TNB memanfaatkan amalan terbaik global dalam perancangan sistem kuasa, teknologi grid pintar dan penyelesaian digital yang penting bagi mengintegrasikan tenaga boleh baharu serta memperkukuh peranannya dalam Grid Kuasa ASEAN (APG).

“Kerjasama itu juga menekankan komitmen TNB dalam menyokong masa depan Malaysia yang lebih mampan melalui teknologi AI, khususnya menerusi inisiatif Grid Pintar,” katanya.

Dalam pada itu, Yu berkata kerjasama itu ini tidak hanya memperkukuh hubungan dua hala China-Malaysia, tetapi juga menyumbang kepada visi keterjaminan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN.
— BERNAMA