Syarikat-Syarikat Jerman Di Malaysia Mahu Tingkat Pelaburan Pada 2023 – MGCC

KUALA LUMPUR, Nov 16 (Bernama) — Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) berkata 50 peratus daripada syarikat Jerman di Malaysia merancang untuk meningkatkan perbelanjaan berkaitan pelaburan tempatan pada tahun depan bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Dalam kenyataan hari ini, MGCC berkata syarikat terbabit akan terus meningkatkan kehadiran di negara ini selain memperkukuh hubungan dagangan biarpun ekonomi global dijangka lebih suram pada tahun depan.

Pendirian itu dipaparkan menerusi dapatan tinjauan terkini oleh AHK World Business Outlook Fall 2022.

Syarikat-syarikat tersebut juga merancang untuk menggaji lebih ramai pekerja tempatan dan meningkatkan perbelanjaan memajukan perniagaan pada tahun depan manakala 66.7 peratus daripada responden yakin keadaan ekonomi Malaysia tidak akan terjejas.

Pengarah Eksekutif Daniel Bernbeck berkata hasil tinjauan itu terus memaparkan bahawa Malaysia dilihat sebagai memberi manfaat besar untuk syarikat-syarikat Jerman, termasuk persekitarannya yang mesra pelabur, pekerja yang mahir selain rangkaian pembekal serba meluas dan kukuh.

“Ini merupakan satu potensi yang meyakinkan apabila adanya petunjuk bagi mewujudkan pekerjaan dan kesediaan meningkatkan perbelanjaan untuk memperkukuh kehadiran masing-masing di negara ini.

“Pada masa sama, ini juga menggambarkan pemulihan Malaysia yang kukuh dan berdaya tahan selepas berdepan gangguan selama dua tahun akibat COVID-19,” katanya.

 Bernbeck berkata sebagai wakil industri dan perdagangan Jerman di Malaysia, MGCC menyambut baik hasrat syarikat-syarikat terbabit untuk membuat perancangan pelaburan jangka panjang di sini.

“Keyakinan sedemikian daripada pelabur asing akan menyuntik pertumbuhan ekonomi yang dapat melonjakkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi menjalankan perniagaan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, tiga kebimbangan utama syarikat-syarikat Jerman pada tahun depan adalah kekurangan pekerja (58.3 peratus), kenaikan harga komoditi (54.2 peratus) serta gangguan rantaian bekalan yang berterusan (50 peratus).

Malah, gangguan bekalan rantaian itu akan terus menjadi halangan syarikat dan bagi menanganinya, 65.2 peratus telah melaksanakan pelan mencari atau menambah pembekal sedia ada.

Selain itu, 81 peratus responden berkata Asia Pasifik, tidak termasuk China, adalah rantau pilihan bagi mendapatkan pembekal baharu manakala 61.9 peratus memilih untuk mengenal pasti pembekal terbabit di Malaysia.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/syarikat-syarikat-jerman-di-malaysia-mahu-tingkat-pelaburan-pada-2023-mgcc/

Previous ArticleNext Article

TNB Dan CET Dari China Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Grid Kuasa

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan State Grid Corporation of China (SGCC) yang juga syarikat utiliti awam terbesar dunia yang diwakili oleh anak syarikat milik penuhnya, China Electric Power Equipment and Technology Co Ltd (CET).

Dalam kenyataannya, TNB berkata kerjasama itu bertujuan memperkukuh kerjasama teknologi dalam memajukan grid kuasa dan rangkaian pembahagian, menyokong pemodenan grid Malaysia serta menyumbang kepada visi ASEAN yang lebih luas bagi mempertingkat keterhubungan tenaga serantau.

Menurut syarikat utiliti nasional itu, kerjasama berkenaan menumpukan tiga bidang teras iaitu perancangan dan integrasi sistem kuasa, rangkaian pintar dan berdaya tahan serta penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI).

Ini, katanya, bermatlamat untuk memanfaatkan kepakaran SGCC dan CET dalam bidang peralihan tenaga serta sistem kuasa baharu bagi memperkukuh operasi dan pengurusan sistem grid kuasa dan rangkaian pembahagian TNB.

“SGCC mempunyai rekod cemerlang dalam bidang tenaga dengan pembekalan elektrik kepada lebih 1.1 bilion pelanggan serta rangkaian operasi antarabangsa di lebih 40 buah negara melalui CET sebagai cabang perniagaan globalnya,” katanya. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof telah menyaksikan pemeteraian MoU itu yang dilakukan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengerusi CET Yu Jun pada satu majlis di Shah Alam, Selangor.

TNB menjelaskan di bawah MoU itu, TNB dan SGCC CET akan menubuhkan jawatankuasa kerja bersama bagi memantau kemajuan kerjasama kedua-dua pihak.

“Antara akitiviti utama adalah sesi pembangunan kapasiti, laporan kajian teknikal serta sokongan reka bentuk konsep bagi projek rintis dengan TNB menyediakan maklumat teknikal diperlukan bagi menyokong kerjasama itu manakala CET berkongsi keupayaan teknologi, piawaian dan pengalaman pengurusan projek melalui operasi global SGCC,” katanya.

Sementara itu, Megat Jalaluddin berkata MoU itu membolehkan TNB memanfaatkan amalan terbaik global dalam perancangan sistem kuasa, teknologi grid pintar dan penyelesaian digital yang penting bagi mengintegrasikan tenaga boleh baharu serta memperkukuh peranannya dalam Grid Kuasa ASEAN (APG).

“Kerjasama itu juga menekankan komitmen TNB dalam menyokong masa depan Malaysia yang lebih mampan melalui teknologi AI, khususnya menerusi inisiatif Grid Pintar,” katanya.

Dalam pada itu, Yu berkata kerjasama itu ini tidak hanya memperkukuh hubungan dua hala China-Malaysia, tetapi juga menyumbang kepada visi keterjaminan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN.
— BERNAMA