
Photo by D'Vaughn Bell from Pexels
Sub Topik
Forex Trading Online merupakan isu yang tidak asing lagi di negara kita. Walaupun secara rasmi telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2012, masih ramai lagi yang tanpa rasa bersalah menjadikannya sumber pendapatan.
Ketika musim PKP yang lalu, banyak iklan yang mempromosikan Forex Trading Online berlegar di media sosial terutamanya Facebook. Lebih parah, majoriti merupakan broker CFD. Mereka mengajak orang ramai untuk membuat side income bagi menampung kehidupan mereka ketika ramai yang terjejas daripada segi pendapatan.
Apa Itu Forex?
Bagi yang belum mengetahui apa itu Forex, ia merupakan singkatan kepada perkataan Foreign Exchange. Ianya merupakan proses pertukaran mata wang asing di antara dua buah negara.
Pasaran Forex sama seperti pasaran saham daripada segi waktu operasi di mana ianya berlaku lima hari dalam dan akan ditutup pada hari Sabtu dan Ahad, serta cuti umum.
Secara asasnya, Forex di Malaysia terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
- Forex melibatkan kadar tukaran matawang dengan pihak money changer
- Forex yang melibatkan pihak bank yang dilantik oleh kerajaan yang mempunyai lesen yang sah
- Forex yang melibatkan online trading.
Dua Forex pertama di atas adalah dibenarkan mengikut syariah islam manakala yang terakhir itu adalah diharamkan di dalam Islam.
Baca: Betul Ke Perbankan Islam Trade Forex?
Hujah Yang Mengatakan Forex Trading Halal

Forex Trading Online ini sangat popular di kalangan rakyat Malaysia walaupun sudah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Terdapat mereka di luar sana mempertahankan tindakan mereka.
Di antara hujah yang mereka sering gunakan untuk menghalalkan untuk mereka melakukan Forex Trading Online adalah salah seorang ustaz selebriti telah mengeluarkan fatwa bahawa Forex Trading Online ini adalah halal di sisi syarak asalkan mereka faham dengan ilmu technical analysis.
Disebabkan kemahsyuran ustaz selebriti tersebut yang mengatakan Forex Trading Online adalah halal, maka ianya dijakdikan sebagai ‘dalil’ yang mengatakan Forex Trading Online adalah halal.
Tiada bukti yang jelas mengatakan ustaz selebriti tersebut mempunyai kepakaran yang khusus di dalam bidang Muamalat Islam, tetapi ianya dijadikan hujah yang kukuh. Selain itu juga, mereka sering menggunakan hujah rokok sebagai salah satu sebab mengapa Forex Trading Online boleh diklasifikasikan sebagai halal.
Mereka berpendapat bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa bahawa rokok adalah haram, tetapi masih ramai lagi orang Islam yang tanpa segan silu menghisap rokok di Malaysia.
Kenapa Forex Trading Online Adalah Haram?

Forex Trading Online telah difatwakan haram adalah disebabkan berlakunya penangguhan jual beli mata wang terbabit atau dalam bahasa yang mudah, serahan tangan ke tangan atau transasksi tidak berlaku secara on the spot di antara pembeli dan juga penjual.
Di dalam sistem Forex, perkara ini berlaku apabila kita membeli sesebuah mata wang sesuatu negara tetapi mata wang tersebut tidak dikreditkan ke dalam akaun kita, sebaliknya hanya bebas bergerak mengikut kadar tukaran semasa.
Bahasa mudahnya Forex Trading Online berdasarkan perbezaan harga seperti konsep CFD. Berbeza dengan bank, dia boleh beli USD, dia boleh tukar USD tu menjadi JPY kemudian tukar jadi NZD on the spot dan dapat gunakan NZD itu untuk transaksi. Broker Forex di luar sana takkan boleh buat pun senario sebegini.
Perkara ini telah menjadikan sistem Forex terdedah kepada riba yang dikenali sebagai Riba’ an-Nasa’. Riba ini berlaku apabila jual beli atau pertukaran dua barangan riwabi yang sama jenis dan pertukaran tersebut dibuat secara tangguh (tidak sempurna dalam 1 masa).
Selain itu juga, Forex Trading Online ini turut menyediakan leverage kepada orang ramai. Leverage di dalam Forex Trading Online ini berlaku apabila platform atau broker memberikan pinjaman yang lebih tinggi daripada nilai yang dikreditkan ke dalam akaun Forex Trading Online para pelabur.
Sebagai contoh, seseorang memasukkan wang pelaburan sebanyak USD100 ke dalam akaun mereka, jika leverage yang dikenakan bersamaan 1:100, maka beliau boleh melakukan trading sehingga USD10,000. Sedangkan modal tadi hanyalah USD100.
Perkara ini bertentangan dengan syariat Islam yang dikategorikan sebagai ‘Bay wa salaf’, iaitu jual beli berserta dengan pinjaman kerana perkara ini adalah riba di dalam islam.
Cara Mensucikan Duit Haram Forex Trading Online

Jika salah seorang daripada kita telah terjebak dalam dunia Forex Trading Online, masih tidak terlewat untuk kita bertaubat selagi nyawa belum berada di hujung halkum. Islam merupakan agama yang tidak membebankan penganutnya.
Perkara ini telah dijelaskan di dalam Al-Quran di dalam Firman Allah yang bermaksud:
“Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”
(Surah Al-Baqarah Ayat 279)
Kita boleh mengambil kembali modal pelaburan yang telah dimasukkan ke dalam akaun Forex Trading Online kita. Keuntungan yang diperolehi hasil daripada pelaburan Forex Trading Online yang kita jana, boleh disalurkan kepada badan kebajikan, baitulmal atau untuk tujuan kemaslahatan awam, rumah anak yatim dan juga kepada mana-mana pihak yang berhak mendapat zakat.
Wang haram ini tidak boleh diniatkan sebagai sedekah kerana sedekah merupakan wang daripada hasil yang halal. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang lepas hasil daripada terjebak dalam Forex Trading Online ini.

Hasil olahan penulis berdasarkan perbincangan yang dilakukan oleh Ustaz Lokmanulhakim Hussain di dalam temubual bersama TV Alhijrah baru-baru ini.
Sumber Rujukan: Facebook TV Alhijrah