Rakan Liat Bayar Hutang, Bolehkah Ambil Wangnya Secara Sembunyi?

Soalan:

Rakan serumah saya merupakan seorang yang sangat liat membayar hutang, sedangkan saya tahu dia mampu membayarnya. Pelbagai cara telah saya lakukan untuk mendesaknya membayar hutang, namun tidak membuahkan hasil. Bolehkah saya secara senyap-senyap mengambil wang daripada dompetnya sekadar nilai hutangnya daripada saya?

Berdasarkan kepada IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-743: RAKAN LIAT BAYAR HUTANG, BOLEHKAH AMBIL WANGNYA SECARA SEMBUNYI? yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Ringkasan Jawapan:

Seseorang itu dibenarkan untuk mengambil semula harta yang diyakini menjadi miliknya yang dipinjam oleh orang lain, atau yang dirampas tanpa keredaannya. Hal ini setelah dia telah mencuba pelbagai cara lain untuk mendapatkannya semula namun tidak membuahkan hasil. Maka dalam hal ini, seseorang itu dibolehkan untuk mengambil semula hartanya daripada rakannya yang terlalu liat untuk membayar hutang, meskipun secara sembunyi dan tanpa pengetahuannya. 

Namun disyaratkan supaya dia tidak mengambil melebihi kadar haknya, tidak mengambil barang yang berlainan jenis dan perbuatan tersebut tidak membawa kemudaratan kepadanya.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Kewajipan membayar hutang

Hutang itu wajib dibayar berdasarkan banyak ayat al-Quran dan hadis. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ

Maksudnya: Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya.

Riwayat al-Bukhari (2387)

Abu Hurairah R.A pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ، حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Roh orang yang beriman itu tergantung (ditangguhkan hisab amalannya) disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya hutang tersebut.

Riwayat al-Tirmizi (1078)

Islam juga memandang buruk perbuatan menangguh-nangguhkan pembayaran hutang dan menganggapnya sebagai satu kezaliman. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ

Maksudnya: Menangguh pembayaran hutang bagi orang yang mampu ialah satu kezaliman.

Sahih al-Bukhari (2287)

Rakan liat bayar hutang, bolehkah ambil secara sembunyi?

Dalam keadaan di mana seseorang itu dinafikan haknya, maka hukum asalnya adalah dia perlu membawa perkara tersebut ke muka pengadilan. Namun dalam sesetengah keadaan, dia dibenarkan untuk mengambil semula haknya itu secara sembunyi dan tanpa pengetahuan orang yang memegang atau menahan haknya itu. 

Perkara ini dibincangkan oleh para ulama dan diistilahkan sebagai al-zafr bi al-haq, yang bermaksud mengambil semula hak yang ditahan atau dirampas. Antara dalil yang mensyariatkan perkara ini ialah firman Allah SWT:

وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا ۖ فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ 

Maksudnya: Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.

Surah al-Syura (40)

Begitu juga hadis daripada Aisyah R.Anha, bahawa suatu hari Hindun R.Anha datang mengadu kepada Nabi SAW tentang suaminya Abu Sufyan yang merupakan seorang yang kedekut, lalu dia menyatakan bahawa dia ingin mengambil harta suaminya, lalu Baginda bersabda:

خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَوَلَدَكِ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Ambillah daripada hartanya sekadar yang mencukupkan keperluanmu dan anakmu.

Riwayat al-Bukhari (7180)

Begitu juga dengan hadis riwayat ‘Uqbah bin ‘Amir, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنْ نَزَلْتُمْ بِقَوْمٍ، فَأُمِرَ لَكُمْ بِمَا يَنْبَغِي لِلضَّيْفِ فَاقْبَلُوا، فَإِنْ لَمْ يَفْعَلُوا فَخُذُوا مِنْهُمْ حَقَّ الضَّيْفِ

Maksudnya: Jika kamu tinggal bersama satu kaum, lalu diberikan hak yang patut diberikan kepada tetamu, maka terimalah. Jika mereka tidak berbuat demikian, maka ambillah daripada mereka hak yang patut diterima oleh tetamu.

Riwayat al-Bukhari (2461)

Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika memberi komentar terhadap hadis ini:

وَاسْتُدِلَّ بِهِ عَلَى مَسْأَلَةِ الظَّفَرِ وَبِهَا قَالَ الشَّافِعِيُّ فَجَزَمَ بِجَوَازِ الْأَخْذِ فِيمَا إِذَا لَمْ يُمْكِنْ تَحْصِيلُ الْحَقِّ بِالْقَاضِي كَأَنْ يَكُونَ غَرِيمُهُ مُنْكِرًا وَلَا بَيِّنَةَ لَهُ عِنْدَ وُجُودِ الْجِنْسِ فَيَجُوزُ عِنْدَهُ أَخْذُهُ إِنْ ظَفِرَ بِهِ 

Maksudnya: Hadith ini dijadikan dalil kepada isu al-Zafar dan ia disebut oleh Imam al-Syafie, dan beliau menegaskan keharusan hukum mengambil hak yang tidak mampu diambil melalui proses kehakiman. Contohnya jika penghutang menafikan bahawa dia berhutang dan pemiutang itu tidak mempunyai bukti, dalam keadaan dia mendapati harta yang sama jenis dengan haknya itu. Maka menurut al-Syafie, dia diharuskan untuk mengambilnya jika dia mendapatinya.[1]

Menurut al-Khatib al-Syarbini pula: 

)وَإِنْ) (اسْتَحَقَّ) شَخْصٌ (عَيْنًا) تَحْتَ يَدٍ عَادِيَةٍ (فَلَهُ) أَوْ وَلِيِّهِ إنْ لَمْ يَكُنْ كَامِلًا كَمَا نَصَّ عَلَيْهِ الشَّافِعِيُّ (أَخْذُهَا) مُسْتَقِلًّا بِالْأَخْذِ بِلَا رَفْعٍ لِقَاضٍ وَبِلَا عِلْمِ مَنْ هِيَ تَحْتَ يَدِهِ لِلضَّرُورَةِ (إنْ لَمْ يَخَفْ) مِنْ أَخْذِهَا (فِتْنَةً) أَوْ ضَرَرًا

Maksudnya: Jika seseorang itu mempunyai hak terhadap suatu barang yang berada di bawah penguasaan seseorang yang zalim, maka menurut nas Imam al-Syafie, jika dia tidak cukup syarat sempurna pemilikan, dia atau walinya berhak untuk mengambilnya semula atas inisiatifnya sendiri tanpa mengadukannya kepada hakim, dan tanpa pengetahuan orang yang menguasai hartanya itu; ini disebabkan oleh keadaan terdesak, dan dibolehkan jika tidak dibimbangi berlakunya fitnah atau kemudaratan disebabkan perbuatannya itu.[2]

Selain itu, Imam al-Qarafi pula meletakkan kaedah:

أَنَّ كُلَّ أَمْرٍ مُجْمَعٌ عَلَى ثُبُوتِهِ، وَتَعَيَّنَ الْحَقُّ فِيهِ، وَلَا يُؤَدِّي أَخْذُهُ لِفِتْنَةٍ، وَلَا تَشَاجُرٍ وَلَا فَسَادِ عَرْضٍ أَوْ عُضْوٍ فَيَجُوزُ أَخْذُهُ مِنْ غَيْرِ رَفْعٍ لِلْحَاكِمِ

Maksudnya: Sesungguhnya setiap perkara yang disepakati sabitannya dan diyakini haknya padanya, dan jika ia diambil tidak membawa kepada fitnah, perbalahan dan kerosakan pada harta atau tubuh badan, maka diharuskan ambi tanpa mengadukannya kepada hakim.[3]

Syeikh Muhammad Sidqi Aali Borno pula menyebutkan kaedah:

صاحِبُ الحَقِّ إِذا ظَفِرَ بِجِنْسِ حَقِّهِ كان لَهُ أَنْ يَأْخُذَهُ

Maksudnya: Pemilik hak itu apabila dia mendapati harta daripada jenis yang sama dengan haknya (yang ada pada orang lain), dia dibenarkan untuk mengambilnya.

Menurut beliau, berdasarkan kaedah ini:

أن من له حق مالي على غيره، ومَطَلَه المدين أو جحده حقه، ثم وجد صاحب الحق مالاً من جنس حقه يخص المدين أو الجاحد فللدائن أن يأخذ منه مقدار حقه، ولو خُفْيَةً وبغير إذن المدين، ولا إثم عليه فى ذلك، ولو اتّهم بسرقته فله أن يحلف على أنه ما سرق؛ لأنه مظلوم، واليمين نَّية الحالف إن كان مظلوماً

Maksudnya: Sesungguhnya seseorang yang mempunyai hak dari sudut harta terhadap orang lain, dan penghutang menangguhkan pembayaran hutang atau menafikan haknya, lalu pemilik hak itu mendapati harta dari jenis yang sama milik penghutang atau yang menahan haknya, maka pemiutang itu berhak untuk mengambilnya dengan kadar haknya, meskipun secara sembunyi dan tanpa izin penghutang, dan dia tidak dikira berdosa atas perbuatan tersebut. Sekiranya dia dituduh mencuri, maka dia boleh bersumpah bahawa dia tidak mencuri, kerana dia dizalimi, dan sumpah itu dikira berdasarkan niat orang yang bersumpah sekiranya orang yang bersumpah itu dizalimi.[4]

Namun Darul Ifta’ Jordan (Badan Fatwa Jordan) meletakkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum mengambil tindakan ini, antaranya:

  • Hendaklah tidak mengambil melebihi daripada kadar haknya
  • Dipastikan selamat daripada terkena hukuman
  • Perbuatan ini mesti dilakukan oleh pemilik hak itu sendiri dan tidak boleh diwakilkan kepada orang lain
  • Tidak boleh mengambil harta yang berlainan jenis daripada haknya, meskipun nilainya sama.
  • Tindakan ini diambil setelah dia tidak mampu mendapatkan semula haknya kerana ketiadaan bukti, atau kerana sukarnya proses kehakiman yang perlu dilalui.[5]

Kesimpulan

Tuntasnya, seseorang itu dibenarkan untuk mengambil semula harta yang diyakini menjadi miliknya yang dipinjam oleh orang lain, atau yang dirampas tanpa keredaannya. Hal ini setelah dia telah mencuba pelbagai cara lain untuk mendapatkannya semula namun tidak membuahkan hasil. Maka dalam hal ini, seseorang itu dibolehkan untuk mengambil semula hartanya daripada rakannya yang terlalu liat untuk membayar hutang, meskipun secara sembunyi dan tanpa pengetahuannya. Namun disyaratkan supaya dia tidak mengambil melebihi kadar haknya, tidak mengambil barang yang berlainan jenis dan perbuatan tersebut tidak membawa kemudaratan kepadanya.

Wallahu a’lam.

[1] Rujuk al-‘Asqalani, Ahmad bin Ali ibn Hajar (1959) Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Beirut: Dar al-Ma’rifah, 5/109

[2] Rujuk al-Khatib al-Syarbini, Syamsuddin Muhammad bin Ahmad (1994) Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Cetakan Pertama, 6/400

[3] Rujuk al-Qarafi, Abu al-‘Abbas Syihabuddin (t.t) Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, ‘Alam al-Kutub, 4/76-77

[4] Rujuk Muhammad Sidqi Aali Borno (2003) Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Beirut: Muassasah al-Risalah, Cetakan Pertama, 6/209-210

[5] Rujuk fatwa Dar al-Iftaa’ Jordan pada pautan: https://www.aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=3004#.XrofpWgzY2y

Previous ArticleNext Article

Bukan Semua Masalah Hutang Bermula Dengan Sikap Boros

Apabila kita membincangkan isu hutang, tanggapan yang sering muncul ialah seseorang itu mungkin terlebih berbelanja, tidak pandai mengurus wang, atau mengambil pinjaman tanpa berfikir panjang.

Namun, daripada pengalaman saya sendiri dan kerja harian kami bersama peminjam, realitinya tidak semudah itu.

Belakangan ini, ramai yang terperangkap dalam hutang bukan kerana mereka sengaja mahu hidup di luar kemampuan. Sebaliknya, masalah sering bermula daripada perkara yang nampak biasa, seperti kad kredit, bayaran minimum, ansuran kecil, pinjaman peribadi, atau kemudahan Beli Sekarang, dan Bayar Kemudian atau Buy Now, Pay Later (BNPL). Pada awalnya, angka pinjaman kelihatan kecil dan masih terkawal. Walau bagaimanapun, apabila faedah, caj lewat bayar dan komitmen bulanan mula bertambah, hutang yang kecil boleh menjadi suatu beban yang berat.

Inilah jurang yang jarang dibincangkan secara terbuka. Akses kepada kredit semakin mudah, tetapi kefahaman tentang kos sebenar hutang masih belum berkembang pada kadar yang sama.

Menurut Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah kekal tinggi pada 84.8% daripada KDNK, bersamaan RM1.67 trilion pada akhir 2025. Angka ini menunjukkan betapa besarnya kebergantungan rakyat Malaysia terhadap kredit. Dalam masa yang sama, AKPK juga menekankan bahawa kad kredit dan pinjaman peribadi menyumbang kepada sebahagian besar kes pelanggan yang berhadapan kesukaran kewangan.

Bagi saya, isu ini bukan sekadar tentang berapa banyak peminjam, sebaliknya tentang berapa ramai yang benar-benar faham apa yang berlaku selepas mereka meminjam.

Sebagai contoh, bayaran minimum kad kredit. Ramai menganggap selagi mereka membayar jumlah minimum setiap bulan, status masih terkawal. Secara teknikal, akaun mungkin tidak tertunggak. Tetapi dari sudut kewangan, baki hutang masih berjalan, faedah masih dikira, dan tempoh pembayaran boleh menjadi jauh lebih panjang daripada yang dijangka.

Begitu juga dengan BNPL. Kemudahan ini boleh membantu jika digunakan secara berdisiplin, terutamanya untuk pembelian yang benar-benar perlu. Walaupun begitu, apabila seseorang mula mengambil beberapa komitmen kecil pada masa yang sama, jumlah keseluruhan boleh menjadi sukar dipantau. RM50 di satu platform, RM80 di platform lain, dan RM120 di tempat lain. Jumlah ini mungkin nampak kecil secara berasingan. Tetapi apabila digabungkan dengan sewa, ansuran kereta, bil telefon, pinjaman peribadi dan kad kredit, tekanan aliran tunai mula terasa.

Apa yang saya lihat adalah ramai peminjam sebenarnya bekerja, mempunyai pendapatan tetap, dan cuba memenuhi komitmen mereka sebaik mungkin. Mereka bukan tidak mahu membayar. Masalahnya, mereka lambat sedar bahawa struktur hutang mereka sudah tidak lagi sihat.

Di BlueBricks, kami menerima sekitar 30 hingga 40 pertanyaan penyatuan hutang setiap hari. Sebahagian besar datang daripada golongan bekerja yang pada awalnya menyangka hutang mereka masih boleh dikawal. Hal ini dapat kita lihat, apabila satu pinjaman digunakan untuk menutup pinjaman lain, atau kad kredit digunakan untuk menampung perbelanjaan asas, itu biasanya tanda bahawa masalah sudah masuk ke peringkat yang lebih serius.

Saya sendiri pernah melalui tekanan hutang yang besar selepas satu pelaburan gagal. Pengalaman itu mengajar saya bahawa tekanan kewangan bukan hanya soal nombor. Implikasinya, dari sudut emosi, keluarga, keyakinan diri dan cara seseorang membuat keputusan. Apabila seseorang berada dalam keadaan terdesak, mereka lebih mudah percaya kepada tawaran yang nampak cepat, mudah dan terlalu baik untuk menjadi benar.

Oleh itu, literasi kewangan tidak boleh berhenti pada nasihat umum seperti “jangan berhutang” atau “belanja ikut kemampuan”. Nasihat itu betul, tetapi tidak cukup. Pengguna perlu faham bagaimana faedah dikira, apa kesan bayaran minimum, bagaimana caj penalti terkumpul, dan bila sesuatu komitmen itu sudah mula menjejaskan kestabilan kewangan mereka.

Kita juga perlu lebih jujur bahawa celik kewangan bukan hanya penting untuk mereka yang berpendapatan rendah. Golongan profesional juga boleh terperangkap, terutamanya apabila gaya hidup, komitmen keluarga, kos sara hidup dan akses mudah kepada kredit bertembung pada masa yang sama.

Pada akhirnya, kad kredit, pinjaman dan BNPL boleh menjadi alat yang berguna jika dimanfaatkan dengan kefahaman dan disiplin. Tetapi tanpa pengetahuan yang mencukupi, alat yang sama boleh menjadi permulaan kepada kitaran hutang jangka panjang.

Jika Malaysia mahu membina masyarakat yang lebih stabil dari segi kewangan, kita perlu bergerak daripada sekadar memberi akses kepada kredit kepada memastikan pengguna benar-benar faham tanggungjawab yang datang bersamanya.

Kerana selalunya, masalah hutang tidak bermula apabila seseorang gagal membayar. Ia bermula lebih awal, apabila seseorang tidak benar-benar tahu berapa mahal harga sebenar hutang yang mereka ambil.

Penafian: Pandangan yang disediakan dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan. Harap maklum bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BlueBricks Holdings adalah tidak patuh Syariah.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Karl Ng, Pengarah BlueBricks Holdings