Awas Penipuan Kewangan Melibatkan Perlindungan PIDM!

Pernahkah anda menerima satu panggilan daripada nombor yang tidak dikenali? Anda seolah-olah  sudah bersedia untuk panggilan penipuan kerana semua liputan tentang scam telah dibaca. Jadi anda jawab juga panggilan tersebut. Anda tidak mungkin terpedaya kerana sudah bersedia, kan?  

Pemanggil dalam talian memperkenalkan diri beliau sebagai pegawai Perbadanan Insurans Deposit Malaysia atau PIDM. PIDM? Macam selalu dengar di radiolah, iklan pun ada. Oh! maka benarlah  pegawai ini berkata PIDM memberi perlindungan insurans. Daripada perbualan tentang satu perkara  membawa kepada yang lain, akhirnya anda bersetuju untuk mendaftar dan membayar yuran bagi  perlindungan PIDM. 

Awas, anda baru sahaja di SCAM! Scammer memang bijak menyamar sebagai pegawai PIDM sehingga anda terpedaya. Ya benar, panggilan scam sebegini memang selalu menyalahgunakan nama pihak  berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan lain-lain lagi  termasuk PIDM. Jenis scam ini dirujuk sebagai Macau Scam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, 

PDRM.  

Fungsi PIDM melindungi simpanan di bank dan manfaat takaful dan insurans  

Anda mungkin tahu secara asas bahawa peranan PIDM adalah melindungi simpanan di bank dan  manfaat takaful dan insurans sekiranya ahli PIDM muflis. Namun, alangkah baiknya jika anda tahu tentang perlindungan ini secara lebih terperinci agar tidak mudah terpedaya oleh scammer. 

Adakah PIDM ini berfungsi seperti syarikat insurans dan orang ramai perlu membayar premium? Jawabnya, TIDAK. PIDM bukan syarikat insurans dan anda tidak perlu membayar apa-apa pun.  

PIDM ialah sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 2005 di bawah Akta PIDM bagi  mentadbir dua sistem perlindungan iaitu: 

1. Sistem Insurans Deposit (DIS)  

DIS melindungi deposit yang disimpan di bank ahli PIDM sekiranya berlaku kegagalan bank  (muflis) sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli. Jika anda ingin  membaca lebih lanjut mengenai bagaimana deposit anda dilindungi, klik di sini. 

2. Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (TIPS).  

Manakala, TIPS melindungi manfaat takaful dan insurans pemegang sijil takaful atau polisi  insurans sekiranya pengendali takaful atau syarikat insurans mengalami kegagalan (muflis).  Bergantung kepada sijil takaful atau polisi insurans anda, PIDM melindungi manfaat takaful  atau insurans anda yang layak sehingga RM500,000. Untuk maklumat lanjut mengenai TIPS,  klik di sini. 

Tetapi ingat! Perlindungan PIDM ini bersifat automatik dan percuma. Ini bermakna anda tidak perlu  mendaftar dan membayar untuknya. Ia berkuat kuasa sebaik sahaja akaun bank anda dibuka dan sijil  takaful atau polisi insurans anda diaktifkan. Jadi anda harus waspada tentang penyamaran scam yang  menuntut bayaran yuran bagi perlindungan PIDM. 

Selain itu, terdapat beberapa bentuk penipuan kewangan lain yang melibatkan PIDM. Antaranya ialah:

1. Menyamar sebagai entiti pelaburan sah yang terkemuka dan meyakinkan mangsa dengan sijil sijil perlindungan pelaburan beserta logo yang kononnya dikeluarkan oleh PIDM . Namun, itu  semua adalah scam kerana PIDM tidak melindungi sebarang skim pelaburan. 

2. Dividen pelaburan anda kononnya disekat oleh PIDM dan anda perlu membayar wang  perlindungan insurans bagi meluluskan pemindahan wang ke akaun anda walhal pelaburan  itu sendiri adalah scam.  

3. Menyamar sebagai pemberi pinjaman wang yang meminta mangsa membayar perlindungan  PIDM sebelum mereka meluluskan pinjaman. Perkara utama di sini ialah PIDM tidak  melindungi pinjaman, PIDM melindungi deposit atau simpanan di bank. Pinjaman yang  ditawarkan juga selalunya adalah scam semata-mata.  

Sekiranya anda mendengar arahan ‘bayar’ untuk perlindungan PIDM, anda tahu bahawa ini adalah  satu perkara yang tidak boleh percayai. 

Menurut statistik aduan yang diterima oleh PIDM, terdapat sejumlah 380 aduan untuk tahun 2021 dan 2022, dan 312 daripadanya melibatkan salah guna nama dan logo PIDM untuk tujuan penipuan.  

Beberapa contoh bahan pemasaran palsu yang mempunyai maklumat tidak tepat mengenai PIDM  juga boleh lihat di pautan ini: Penyalahgunaan Logo PIDM 

Maka, yang penting untuk kita ingat: 

1. PIDM hanya akan membayar balik simpanan bank atau memenuhi tuntutan manfaat takaful  atau insurans yang layak sekiranya bank ahli atau ahli penginsurans PIDM mengalami  kegagalan atau jatuh bankrap. 

2. PIDM TIDAK akan membayar balik simpanan yang hilang akibat penipuan kewangan termasuk  juga kecuaian dan serangan siber.  

Sebelum anda membuat apa-apa bayaran yang melibatkan nama PIDM, apa kata anda hubungi pihak  PIDM secara terus di talian bebas tol 1800 88 1266 atau e-mel kepada [email protected] bagi  mendapatkan kepastian. Hah! barulah jika scammer bijak, anda lebih bijak. 

Jika PIDM mengesahkan bahawa anda telah menjadi mangsa atau anda sendiri menyedari yang anda  telah discam, jangan berlengah lagi. Hubungi SEGERA Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di nombor 997 untuk melaporkan sebarang kejadian penipuan kewangan.  

Namun, bagi mendepani isu scam ini, kepekaan kita dan keprihatinan konsumer itu sendiri adalah  lebih penting walaupun agensi penguatkuasaan telah diwujudkan. Bak kata pepatah Inggeris  “prevention is better than cure” yang bermaksud mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. 

Previous ArticleNext Article

Mastercard Memperkenalkan Penyelesaian Risikan Ancaman Pertama Untuk Memerangi Penipuan Pembayaran Secara Besar-Besaran

MALAYSIA – 30 Oktober 2025 – Hari ini, Mastercard mengumumkan pelancaran Mastercard Threat Intelligence, penawaran risikan ancaman pertama yang digunakan secara meluas dalam pembayaran. Penyelesaian ini menggabungkan pandangan global Mastercard mengenai penipuan dengan risikan ancaman siber daripada Recorded Future, bagi memperkasa institusi kewangan di seluruh Asia Pasifik (APAC) untuk mengesan, mencegah dan bertindak balas terhadap penipuan yang didayakan oleh siber dengan lebih pantas dan tepat.

Jurang risikan antara pasukan siber dan pasukan penipuan kekal kritikal. 60% eksekutif global dalam bidang penipuan dan risiko hanya dimaklumkan mengenai pelanggaran data siber selepas kerugian penipuan bermula, angka ini meningkat kepada 67% di seluruh APAC. Begitu juga, 83% pemimpin institusi kewangan APAC melaporkan rasa kecewa terhadap kekurangan integrasi risikan ancaman siber masa nyata (CTI).

“Penipuan pembayaran kini bukan lagi sekadar isu sistem pembayaran — ia adalah cabaran keselamatan siber yang memberi kesan langsung terhadap keuntungan sesebuah organisasi,”
kata Matthew Driver, Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan, Asia Pasifik di Mastercard.
“Mastercard Threat Intelligence menjembatani jurang komunikasi, membolehkan pasukan penipuan dan keselamatan bekerjasama dengan lancar untuk menghentikan penipuan sebelum ia berlaku.”

“Asia Pasifik sedang menyaksikan lonjakan dalam penipuan yang didayakan oleh siber, dan keperluan untuk risikan bersepadu tidak pernah begitu mendesak,”
kata Aditi Sawhney, Naib Presiden Kanan Penyelesaian Keselamatan, Asia Pasifik di Mastercard.
“Kami membantu pelanggan kami beralih daripada tindak balas yang terpecah-pecah kepada strategi pertahanan bersepadu berasaskan risikan yang memperkukuh daya tahan dalam keseluruhan ekosistem pembayaran.”

Mastercard Threat Intelligence menawarkan kepada pelanggan beberapa ciri utama berikut:

  • Pengesanan ujian kad: Amaran masa nyata dan penolakan proaktif terhadap transaksi ujian palsu, mengurangkan penipuan susulan dan melindungi pemegang kad.
  • Risikan pengimbasan digital: Data kuantitatif untuk menilai kesan pengimbas dan menghapuskan perisian hasad berkaitan kad dengan memanfaatkan kerjasama industri Mastercard.
  • Risikan ancaman peniaga: Pandangan sasaran untuk menilai risiko peniaga dan membolehkan tindak balas insiden yang lebih pantas.
  • Risikan ancaman ekosistem pembayaran: Laporan mingguan mengenai ancaman dan kelemahan baharu merentasi landskap pembayaran global.
  • Laporan risikan pembayaran: Kajian kes yang boleh diambil tindakan dan analisis trend penipuan untuk memaklumkan strategi dan memperkukuh pertahanan.

Silo operasi terus mencabar daya tahan risiko. Dua daripada tiga pemimpin penipuan dan risiko di seluruh dunia menyorot silo sebagai kebimbangan utama, dengan 72% pemimpin APAC menganggap isu berakar ini sebagai keutamaan tertinggi mereka.

“Silo operasi dalam pasukan penipuan dan siber terus membelenggu pemimpin risiko sebagai kebimbangan besar,” kata Driver.
“Dengan Mastercard Threat Intelligence, kami memberikan pelanggan kami keupayaan pandangan global, risikan ancaman, dan alat untuk mencegah penipuan serta beroperasi dengan selamat dalam dunia yang saling berhubung.”

Walaupun terdapat cabaran, pemimpin APAC turut menyaksikan manfaat daripada integrasi yang dipertingkatkan. Sebilangan besar (89%) institusi di rantau ini melaporkan tindak balas pertahanan penipuan yang lebih pantas selepas usaha integrasi dijalankan, mendahului semua rantau global dari segi peningkatan kelajuan.

Pelancaran Mastercard Threat Intelligence hadir kurang daripada setahun selepas Mastercard memuktamadkan pengambilalihan Recorded Future, dan menunjukkan komitmen kedua-dua syarikat untuk menyampaikan pendekatan bersepadu berasaskan risikan bagi melindungi ekonomi digital.

Sepanjang tempoh ujian pasaran selama enam bulan, data risikan Mastercard telah membantu rakan-rakan ekosistem mengenal pasti dan menutup domain berniat jahat yang dikaitkan dengan kecurian data kad pembayaran, yang menjejaskan hampir 9,500 laman e-dagang dan dianggarkan menyebabkan kerugian penipuan sebanyak USD120 juta.

Mastercard Threat Intelligence kini tersedia untuk penerbit dan pemeroleh di seluruh dunia. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Mastercard.