Misi Perdagangan Ke Turkiye Jana Nilai Dagangan Bernilai RM1.1 Bilion – SME Corp

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) — Misi perdagangan ke Turkiye melibatkan 10 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia baru-baru ini telah berjaya menjana jumlah nilai dagangan sebanyak RM1.1 bilion, di sebalik kesan pandemik dan cabaran global.

Misi ke Istanbul dan Sakary yang berlangsung dari 26 Februari hingga 6 Mac 2023 telah diketuai oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MIICCI).

“Sepanjang misi sembilan hari itu, sebanyak 97 siri perbincangan perniagaan mengenai penyumberluaran produk dan perkhidmatan telah diadakan, melibatkan 72 syarikat Turki dan 10 syarikat Malaysia dalam sektor makanan dan minuman, farmaseutikal, penjagaan kesihatan peribadi, minyak dan gas serta sistem solar,” kata SME Corp dalam satu kenyataan hari ini.

Inisiatif tersebut membuktikan usaha berterusan Malaysia untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi dengan mewujudkan peluang akses pasaran kepada usahawan tempatan untuk meneroka pasaran Turkiye.

Minat mendalam yang ditunjukkan oleh syarikat Turkiye semasa misi perdagangan tersebut menjadi pemangkin utama dalam menyokong pengantarabangsaan PKS kedua-dua negara.

Delegasi Malaysia juga diberikan pendedahan mengenai peraturan dan undang-undang import Turkiye, keperluan perniagaan serta ciri-ciri pasaran tempatan melalui siri seminar, lawatan tapak, sesi pemadanan perniagaan dan peluang rangkaian.

Pihak yang terlibat dari Turkiye adalah Small and Medium Enterprise Development Organisation of Turkiye (KOSGEB), Turkiye Halal Certification Body (GIMDES), Independent Industrialist and Businessmen’s Association (MUSIAD), Dewan Perdagangan GEBZE, Dewan Perdagangan KOCAELI dan Dewan Perdagangan SAKARYA.

Misi itu juga menyaksikan beberapa komitmen Usahasama (JV) dipersetujui melibatkan PS Polypack Sdn Bhd dengan Pimtas Plastik, Agym Nutrition Sdn Bhd dengan Yeni Elif dan Avecena Glove Sdn Bhd dengan Gebze Guzeller serta Memorandum Persefahaman (MoU) antara Petro Teguh (M) Sdn Bhd dan Asas Corporation dari Turkiye.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata: “Misi ini adalah sebahagian daripada usaha SME Corp. Malaysia untuk meningkatkan keupayaan praeksport PKS serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk komuniti perniagaan Malaysia menerokai pasaran global.”

SME Corp juga menawarkan beberapa inisiatif lain untuk menyokong pengantarabangsaan PKS melalui Program Pengukuhan Eksport PKS yang telah dibuka untuk permohonan mulai 15 Mac 2023

Program berkenaan menggalakkan transformasi PKS ke pasaran global dengan mewujudkan rangka kerja berasaskan pasaran melalui penyediaan bantuan kewangan dalam bentuk geran padanan untuk pelbagai aktiviti berkaitan eksport.

“Bagi meningkatkan penjenamaan di peringkat global, SME Corp juga melaksanakan program National Mark of Malaysian Brand (NMMB), satu program pensijilan yang melambangkan kualiti, kecemerlangan dan keunggulan produk dan perkhidmatan PKS Malaysia yang setanding dengan standard antarabangsa,” kata Rizal.

Malaysia dan Turkiye menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang dimeterai pada 1 Ogos 2015.

Setakat Disember 2022, kadar purata pertumbuhan tahunan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turki adalah 34 peratus, menunjukkan masih banyak ruang untuk sektor perniagaan memanfaatkan MTFTA.

Pada tahun 2022, Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Turkiye di ASEAN manakala Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keenam terbesar dalam kalangan negara Asia Barat dengan jumlah eksport Malaysia ke Turki berjumlah RM17.39 bilion pada 2022.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA