Bayar Zakat Fitrah Tanpa Tunai di Bulan Ramadan dengan Boost

Aplikasi e-dompet gaya hidup tempatan Boost dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bekerjasama untuk menawarkan rakyat Malaysia pengalaman yang mudah, lebih selamat dan lancar untuk memenuhi tanggungjawab zakat di bulan Ramadan yang bakal disambut umat Islam di negara ini. Dalam usaha sama ini, Boost dilantik oleh LZS sebagai agen pengumpulan zakat rasmi, memberikan orang Islam di Selangor kemudahan membuat pembayaran di mana sahaja, pada bila-bila masa, dengan mudah dan efisien.

Sepanjang tempoh rakyat Malaysia memerangi wabak COVID-19 dengan mengamalkan penjarakan social (social distancing) serta mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ternyata penerimaan pembayaran tanpa tunai terutamanya penggunaan applikasi e-dompet untuk membuat pembayaran meningkat hari demi hari. Langkah ini sejajar dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk mengelakkan menggunakan wang kertas yang boleh memindahkan bakteria dan virus. Usaha sama antara Boost dan LZS diharapkan memberi ketenteraman hati kepada masyarakat Islam di Selangor dengan keyakinan bahawa kewajipan agama boleh dipenuhi dari persekitaran selamat di rumah sewaktu krisis coronavirus melanda.

“Dengan pelantikan sebagai agen pengumpulan zakat rasmi, Boost bukan sahaja menyokong matlamat LZS untuk menginovasi dan memacu bayaran zakat di dalam negeri, malah ini juga dapat menjadi peluang kami untuk mengembangkan dan memperkasakan ekosistem tanpa tunai menggunakan e-dompet di Selangor. Kami turut berharap kerjasama ini akan mendedahkan lebih ramai rakyat Malaysia kepada e-dompet sebagai kaedah pembayaran yang mudah dan selamat, menjadikan proses pembayaran zakat lebih efisien dan mudah di bulan mulia ini,” kata Mohd Khairil Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif di Boost.

Di dalam aplikasi Boost, tile zakat telah diperkenalkan bagi mempermudahkan orang Islam di Selangor untuk membayar dua jenis zakat iaitu Zakat Fitrah dan Zakat Harta, hanya dengan beberapa ketikan di skrin. Berkuat kuasa hari ini, pengguna boleh mula membayar Zakat Harta, namun pembayaran Zakat Fitrah akan tersedia pada 24 April yang merupakan hari pertama bulan Ramadan. Pengguna dapat menambah akaun zakat dengan hanya menyediakan nombor kad pengenalan, nama dan nombor telefon bimbit sebelum membuat pembayaran. Pengguna juga dapat melihat maklumat harga beras dari aplikasi Boost. Setelah pembayaran dilakukan, pengguna akan menerima resit melalui e-mel yang boleh digunakan untuk memohon rebat cukai individu

“Lembaga Zakat Selangor berbesar hati untuk membolehkan rakyat Malaysia memenuhi tuntutuan Islam dengan cara mudah, ringkas dan berinovasi. Dalam persiapan kita untuk menyambut kedatangan Ramadan di mana ramai kelompok rentan terjejas oleh pandemik sedunia, tugas kami semakin penting untuk saling bantu-membantu lebih lagi ketika mengharungi tempoh kesukaran. Saya berharap kerjasama ini membolehkan rakyat Selangor untuk mempraktikan amalan dengan mudah tanpa halangan,” kata Tuan Haji Saipolyazan M Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif di Lembaga Zakat Selangor.

Tambahnya, “Zakat yang anda tunaikan amat penting bagi memastikan kebajikan dan keperluan hidup asnaf di Selangor terpelihara dan seterusnya dapat menikmati hidup yang lebih baik terutama dalam waktu krisis ini.”

Seiring dengan langkah menjadikan e-dompet sebahagian daripada gaya hidup kita yang semakin meningkat, Boost sedang membangunkan proses pembayaran dan pengumpulan yang lebih efisien merentasi pelbagai perkhidmatan. Kerjasama antara Boost dan LZS juga diharapkan akan segera berkembang dengan persediaan yang sedang dikendalikan.

“Kami berharap usaha sama ini akan meningkatkan keterangkuman, penggunaan dan kepekaan digital di Selangor. Kami juga menantikan peluang mengukuhkan kerjasama ini dengan rencana akan datang untuk menjadikan Boost kaedah pembayaran di laman sesawang Lembaga Zakat Selangor, kaunter pembayaran di setiap cawangan dan ‘Zakat on Wheels’,” menurut Khairil.

Selain Lembaga Zakat Selangor, Boost bakal menyediakan pilihan pembayaran zakat untuk Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Mengenai Boost

Boost adalah aplikasi e-dompet gaya hidup ‘homegrown’ yang bertujuan merevolusi cara pengguna melakukan transaksi harian. Menggabungkan keperluan gaya hidup dan teknologi digital masa kini, Boost berusaha untuk memudahkan transaksi, lebih pantas, lebih selamat & memberi lebih manfaat kepada pengguna secara keseluruhan.

Boost dilancarkan secara rasmi pada Januari 2017, sebagai satu platform mendigitalkan salah satu perkhidmatan teras syarikat telekomunikasi – cara pengguna menambah kredit prabayar mereka. Boost membolehkan pengguna membuat pembayaran dengan telefon bimbit di rakan kongsi Boost tanpa tunai atau kad kredit. Pada akhir bulan Mac 2020, 7.3 juta pengguna Boost kini boleh membayar di lebih daripada 152,000 rakan niaga di seluruh negara.

Ciri-Ciri Utama

  • Ganjaran melalui BoostUP
  • Ganjaran untuk belanja dalam talian melalui CashUp
  • Bayar di peniaga QR UnionPay di Malaysia
  • Membayar bil utiliti dengan rakan kongsi seperti Telekom Malaysia, Astro dan Syabas
  • Membayar tempat letak kereta di tepi jalan dan berpagar
  • Perkhidmatan bantuan tepi jalan dan penyelenggaraan kereta
  • Tempahan dan pembelian tiket pengangkutan awam – KLIA Ekspres, KTM, EzCab, CatchThatBus dan Firefly
  • Derma tanpa tunai #DoGoodWithBoost
  • Membeli dan menawarkan baucar digital untuk kedia F&B, hiburan, kesihatan & kecantikan
  • Pemisahan bil melalui ciri unik “Go Dutch”
  • Membeli prabayar
  • Pemindahan wang dengan percuma
  • Perkhidmatan penghantaran makanan melalui DeliverEat, dahmakan dan Eatigo

Pengguna Android boleh memuat turun Boost dari Play Store manakala pengguna iOS boleh memuat turun dari App Store.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web at https://www.myboost.com.my/ atau ‘follow’ Boost di Facebook (https://www.facebook.com/myboostapp/) dan Instagram (https://www.instagram.com/myboostapp/).

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.