4 Sebab Mengapa Minyak Mentah WTI Menjadi Serendah Negatif $40 USD Setong

Pasaran dunia dikejutkan dengan kejatuhan harga minyak mentah ke paras negatif pada awal minggu ini sehingga ke paras -US$40 setong. Secara spesifiknya kejatuhan mendadak ini berlaku kepada penanda aras minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) yang didagangkan di Amerika Syarikat.

Bezanya dengan satu lagi penanda aras yang biasa kita dengar iaitu Brent-oil adalah, minyak WTI sumbernya dari Amerika Syarikat terutamanya Texas, Lousiana dan North Dakota. Manakala Brent-oil didapati di Laut Utara antara Pulau Shetland dan Negara Norway. Bukan itu sahaja, terdapat beberapa lagi perbezaan di antara kedua-duanya yang tidak sempat kita bincangkan dalam artikel kali ini.

Berbalik kepada isu kejatuhan WTI hingga ke paras terendah dalam sejarah, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan hal ini berlaku antaranya permintaan dan penawaran yang gagal diseimbangkan, kepadatan pusat penyimpanan minyak mentah dan juga aktiviti spekulator dalam pasaran minyak mentah.

1. Permintaan Global Merosot Akibat Penularan Covid-19

Kita sedia maklum bahawa penularan wabak Covid-19 telah menyebabkan permintaan minyak mentah dunia jatuh mendadak. Hampir keseluruhan negara di dunia memerintahkan kawalan pergerakan atau pun lebih ketat lagi perintah berkurung bagi membendung wabak ini. Ia secara langsung menyebabkan aktiviti-aktiviti ekonomi seperti perkilangan, pelancongan, penerbangan, pengangkutan dan sebagainya tidak dapat dijalankan.

China yang terkenal dengan jolokan ‘enjin pertumbuhan ekonomi dunia’ terpaksa menghentikan sebahagian besar aktiviti ekonominya dalam tempoh Januari hingga Mac. Negara yang berkepadatan penduduk paling tinggi di dunia ini juga merekodkan penurunan mendadak dalam data perjalanan penduduknya dan juga membatalkan penerbangan dari dalam dan keluar negara.

Dalam data yang dikeluarkan pada 17 April, China buat pertama kalinya merekodkan kemelesetan ekonomi sejak suku pertama tahun 1992 apabila keluaran dalam negara kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan negatif 6.8%.

Bacaan ini sudah cukup menggambarkan bagaimana aktiviti ekonomi di negara itu terhenti disebabkan kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19. Ia sekaligus memberi kesan kepada permintaan minyak mentah dunia yang mana China adalah pengguna minyak mentah ketiga terbesar dunia di belakang Amerika Syarikat dan Eropah.

Amerika Syarikat dan Eropah yang berada dalam tempoh sukar ketika ini sudah pasti memburukkan lagi keadaan dalam pasaran minyak mentah. Walaupun ekonomi China kini telah dibuka secara berperingkat disebabkan kejayaan mereka membendung wabak Covid-19, tetapi ia perlu bergantung kepada permintaan barangan dari seluruh dunia yang kini masih berhadapan tempoh sukar.

2. Lambakan Bekalan Gagal Diatasi Oleh OPEC+

Kejatuhan mendadak harga minyak mentah mungkin tidak akan berlaku jika pengeluar-pengeluar minyak mentah berjaya mengimbangi kejatuhan permintaan dengan mengurangkan pengeluaran mereka.

Penganalisa mengunjurkan permintaan global merosot sebanyak 30 juta tong daripada paras biasa 100 juta tong sehari disebabkan penularan wabak koronavirus. Ia tidak diimbangi dengan serius terutamanya oleh negara-negara OPEC, Russia dan Amerika Syarikat.

Walaupun OPEC dan Russia bakal mengurangkan pengeluaran sebanyak 10 juta tong sehari bermula bulan Mei, harga minyak terus jatuh kerana pasaran merasakan ia masih tidak dapat megimbangi pengurangan permintaan sebanyak 30 juta tong.

OPEC seharusnya tidak dipersalahkan dalam hal ini kerana ia hanya mewakili 30% daripada pengeluaran dunia. OPEC dan Russia adalah dua entiti yang telah lama bekerjasama untuk menaikkan harga minyak mentah dikala harga jatuh merudum.

Sejak 2016, OPEC dan Russia telah bersetuju sebanyak tiga kali untuk memotong pengeluaran minyak mentah.  Dalam tempoh itu juga, Amerika Syarikat menjadi pengeluar terbesar dunia dengan jumlah tertinggi direkodkan adalah 13.1 juta tong sehari.

3. Kepadatan Pusat Penyimpanan Minyak Mentah WTI

Dengan lambakan bekalan minyak mentah yang ada di pasaran, lebihan bekalan yang ada perlu disimpan di pusat penyimpanan. Masalahnya bagi minyak WTI, kapasiti pusat penyimpanan di Amerika Syarikat adalah terhad khususnya di Cushing, Oklahoma disebabkan pengeluaran yang tidak terkawal ditambah pula dengan permintaan yang merudum.

Cushing yang merupakan hab penyimpanan minyak mentah di AS telah menyimpan lebih daripada 15 juta tong minyak mentah sejak beberapa bulan lalu. Kini data terbaru menunjukkan 70% daripada kapasiti di pusat tersebut telah penuh iaitu 53 juta tong daripada kapasiti penuh 76 juta.

Walaupun masih ada 30% ruang yang boleh diisi, tetapi ia telah ditempah oleh pengeluar dan pedagang yang mana akan dipenuhkan dalam masa terdekat. Penganalisa berpendapat hub penyimpanan di Cushing bakal penuh pada pertengahan bulan Mei.

Ketiadaan ruang untuk menyimpan minyak mentah fizikal yang dibeli menambah lagi tekanan kepada minyak WTI dan mengurangkan citarasa pembeli kepada komoditi tersebut.

4. Aktiviti Spekulator Harga Minyak Mentah WTI

Kebanyakan daripada pemain pasaran bukanlah dari kalangan pedagang fizikal yang menguruskan pengangkutan minyak yang mereka beli. Mereka ini adalah pedagang yang cuba membuat keuntungan daripada naik-turun harga komoditi ini tanpa mendapatkan minyak mentah dalam bentuk fizikal.

Mereka sama seperti pedagang dalam pasaran saham yang membeli dan menjual saham. Bezanya di sini, minyak mentah diniagakan dalam bentuk ‘kontrak hadapan’ (futures contract). Bayar hari ini dapat minyak mentah yang dibeli pada bulan hadapan.

Kebanyakan spekulator akan mengelak daripada mendapat minyak mentah fizikal dengan menjual kontrak hadapan yang mereka beli sebelum tarikh luput kontrak itu tiba.

Ia seperti yang berlaku pada sesi dagangan hari Isnin (20 April 2020) di mana penanda aras WTI jatuh ke paras negatif US$40 setong. Kenapa hal ini berlaku? Perlu diingat pasaran ini berlaku dalam bentuk fizikal di mana penjual akan menghantar minyak mentah kepada pembeli dalam bentuk fizikal.

Bagi spekulator yang tidak berniat untuk menggunakan minyak mentah tersebut, mereka perlu menjual semula kontrak yang mereka beli sebelum tarikh luput bagi mengelak daripada menerima ribuan tong minyak mentah dihantar kepada mereka.

Bagi setiap kontrak terdapat 1,000 tong minyak mentah. Bayangkan jika spekulator tersebut membeli 10 kontrak, di manakah ia perlu disimpan atau dihantar jika beliau tidak melepaskan kontrak tersebut sebelum tarikh luput.

Dengan pusat penyimpanan yang sudah penuh seperti di Cushing, Oklahoma, spekulator ini terpaksa melepaskan kontrak minyak mentah yang mereka beli dalam apa jua harga sekalipun.

Disebabkan masa yang begitu suntuk kerana tarikh luput kontrak bulan Mei bakal tiba pada keesokan hari Selasa (21 April) waktu Amerika Syarikat, dagangan minyak WTI jatuh sehingga paras negatif pada hari Isnin (20 April).

Ini bermakna spekulator melepaskan kontrak mereka dalam apa jua harga bagi mengelak menerima komoditi tersebut dalam bentuk fizikal. Harga negatif US$40 disini bermaksud, mereka yang menjual kontrak tersebut perlu membayar orang yang membeli pada harga US$40 setong.

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna harga WTI kekal di paras negatif kerana pasaran hadapan bagi kontrak bulan Jun dan seterusnya masih berada di paras positif. Untuk kontrak-kontrak minyak mentah WTI bulan Jun 2020 dan seterusnya anda boleh lihat seperti dalam jadual di bawah. Harga tersebut adalah setakat pada hari Rabu (22 April 2020).

Jadual harga kontrak bulanan WTI. Sumber: barchart.com

Sumber Rujukan:

Disediakan oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini berkhidmat di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kerajaan Baharu Argentina Harap Projek LNG Dengan Petronas Akan Diteruskan – Mondino

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Kerajaan baharu Argentina berharap projek gas asli cecair (LNG) bersama yang bernilai berbilion dolar dengan syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas, akan diteruskan.

“Kami berharap dapat memberikan semua jaminan yang diperlukan untuk pelaburan ini diteruskan,” kata Menteri Luar, Perdagangan Antarabangsa dan Ibadat Argentina Diana Mondino kepada Bernama.

Mondino, yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi sulungnya, dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Petronas pada Isnin 18 Mac, 2024 untuk membincangkan aktiviti Petronas di Argentina.

Pada 1 Sept, 2022 Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat minyak dan gas bersepadu terbesar Argentina, YPF, untuk meneruskan kerjasama di negara Amerika Selatan itu dalam projek LNG bersepadu serta bidang lain termasuk minyak huluan, petrokimia dan penyelesaian tenaga bersih.

Selain MoU itu, YPF dan entiti operasi Petronas di Argentina, Petronas E&P Argentina S.A., memeterai perjanjian kajian dan pembangunan bersama ke arah pelaksanaan kajian dan pembangunan potensi projek LNG Bersepadu Argentina.

Perkara itu akan merangkumi pengeluaran gas huluan khusus, pembangunan saluran paip dan infrastruktur khusus, pengeluaran LNG serta pemasaran dan penghantaran.

Keputusan pelaburan akhir (FID) untuk projek itu akan dilaksanakan selepas penilaian teknikal dan komersial yang teliti dijalankan, disokong oleh terma, perundangan dan dasar fiskal yang kondusif.

Pakatan strategik Petronas dengan YPF bermula pada 2014 melalui perkongsiannya dalam projek La Amarga Chica, Vaca Muerta, sebagai sebahagian daripada aspirasi pertumbuhannya di benua Amerika.

Mondino berkata negara itu boleh mengeksport banyak produk gas dan minyak ke peringkat dunia.

“Argentina boleh mengeksport banyak gas kepada dunia namun kami belum mempunyai teknologi untuk mencairkan gas dan pengangkutan…bukan di tahap yang sepatutnya.

“Banyak perubahan politik berlaku di negara saya dan kini, kami jauh lebih pantas. Sebenarnya, perkara ini boleh bermula bertahun-tahun yang lepas namun tidak berlaku. Kami akan memajukan pelaburan seperti ini,” katanya.

Dilaporkan pada 13 Mac, 2024 YPF dan Petronas telah membuat penangguhan selama setahun untuk memuktamadkan FID bagi fasa pertama projek itu.

— BERNAMA