Fleksibiliti Pembiayaan Margin Bagi Peserta Pasaran Modal

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan bahawa ia telah meluluskan langkah tambahan oleh Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) untuk membantu peserta pasaran dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu dan mencabar ini.

Para broker, atas budi bicara mereka, tidak boleh membuat panggilan margin atau mengenakan pengurangan nilai ke atas apa-apa cagaran dan sekuriti yang dibeli dan dibawa ke dalam akaun margin. Mereka juga diberi kuasa untuk menggunakan budi bicara sama ada hendak mengenakan langkah-langkah jualan paksa ke atas pelanggan atau tidak. Sebelum ini, broker dikehendaki secara automatik mencairkan akaun margin pelanggan sekiranya ekuiti dalam akaun tersebut jatuh di bawah 130% daripada baki tertunggak.

SC juga telah meluluskan senarai dengan tambahan cagaran yang diterima bagi pembiayaan margin. Dengan kelonggaran ini, broker kini boleh menerima cagaran lain seperti bon, unit amanah, emas dan harta tak alih untuk mengekalkan akaun margin pelanggan mereka, dan menilai cagaran ini dengan sewajarnya.

Kesemua langkah di atas yang berkuat kuasa 27 Mac – 30 September 2020, adalah tertakluk kepada broker yang memenuhi nisbah kecukupan modal dan dana pemegang saham masing-masing seperti yang dikehendaki oleh Bursa Malaysia. Mereka juga diharapkan menggunakan budi bicara mengikut polisi risiko kredit masing-masing.

“Langkah ini akan membantu para broker untuk terus memberi tumpuan kepada perniagaan mereka dan membantu pelanggan mereka dalam tempoh ketidaktentuan dan ketidakpastian yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang disebabkan oleh kesan Covid-19 yang lebih meluas terhadap pasaran,” kata Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar.

Sementara itu, untuk memudahcarakan pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), broker, peserta dagangan, peserta penjelasan dan ejen depositori yang diberi kuasa adalah digalakkan untuk menjalankan tempoh perkhidmatan kaunter yang lebih pendek kepada pelanggan mereka.

Butiran lanjut mengenai langkah tambahan ini akan diumumkan oleh Bursa Malaysia. SC turut mengesahkan bahawa pasaran modal akan terus beroperasi seperti biasa, dalam waktu dagangan biasa, semasa tempoh MCO yang dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Semua peserta pasaran modal berlesen dan berdaftar dikehendaki tetap dibuka dan beroperasi selaras dengan objektif MCO untuk mengekang penularan Covid-19.

SC telah secara proaktif memantau perkembangan berkaitan Covid-19 di peringkat negara dan global untuk menilai impaknya dan akan terus menilai dan menyelaras tahap responsnya demi mengekalkan integriti pasaran.

Ia telah memperkenalkan pelbagai langkah untuk membantu para peserta pasaran modal mengurangkan potensi risiko yang timbul daripada ketidaktentuan dan ketidakpastian global yang semakin meningkat.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI