iProperty.com.my: Permintaan Nasional Untuk Hartanah Kediaman Subsale Pada H1 2020 Cuma Susut -2.5% Walaupun Berdepan Dengan COVID-19

iProperty.com.my hari ini melancarkan laporan dwi tahunannya, H1 2020 Portal Demand Analytics, yang memberikan gambaran menyeluruh permintaan hartanah subsale berpandukan angka kunjungan iProperty.com.my dan data penyenaraian hartanah bagi hartanah subsale di Malaysia dengan tumpuan khusus pada Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Analisis ini dibentangkan oleh Premendran Pathmanathan, Pengurus Besar Penyelesaian Data Pelanggan REA Group Asia, dalam satu sidang video dalam talian. Analisis tersebut melihat kepada tiga jenis hartanah iaitu rumah teres, kondominium dan kediaman servis.

Ekoran penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membantutkan aktiviti hartanah selama lebih lapan minggu, permintaan hartanah negara bagi separuh pertama 2020 (H1 2020) menurun sebanyak -2.5%. Berbanding H1 2019 Portal Demand Analytics yang diterbitkan untuk tahun lepas, permintaan bagi kediaman servis menguncup sebanyak -7.2% manakala permintaan bagi kondominium masih negatif dengan penurunan kedua-dua angka kunjungan dan penyenaraian hartanah

Median harga dan pertumbuhan modal bagi kedua-dua jenis hartanah ini turut menurun seiring dengan penularan wabak COVID-19 dan kekangan pergerakan yang disebabkan oleh PKP pada suku kedua 2020. Penurunan ini berpunca daripada ketidaktentuan sentimen pengguna seperti kehilangan punca pendapatan dan perubahan mendadak pada gaya hidup, keutamaan dan keadaan semasa individu.

Walau bagaimanapun, angka kunjungan dan penyenaraian hartanah bagi rumah teres meningkat pada H1 2020 dengan pertumbuhan modal sebanyak +2.21%. Ini menjadikan rumah teres satu-satunya jenis hartanah yang merekodkan pertumbuhan modal positif dalam tempoh yang sama. Walau bagaimanapun, pertumbuhan penyenaraian hartanah lebih tinggi berbanding pertumbuhan angka kunjungan. Ini membawa kepada penurunan permintaan keseluruhan sebanyak -3.3%

Analisis oleh iProperty.com.my ini juga menunjukkan penurunan angka pertumbuhan modal di bandar-bandar utama di Malaysia pada H1 2020. Pusat Bandaraya Kuala Lumpur merekodkan penurunan terbesar iaitu -7.07%, diikuti George Town (-5.42%), Petaling Jaya (-2.59%), Johor Bahru (-1.73%) dan Shah Alam (-1.11%). Trend ini memang telah dijangka memandangkan hartanah di kawasan bandar raya utama mempunyai harga tinggi dan akan paling terkesan apabila berlakunya peristiwa luar biasa seperti COVID-19.

Di Kuala Lumpur, COVID-19 telah menjejaskan permintaan terhadap kesemua jenis bangunan. Paling ketara, terdapat permintaan negatif terhadap rumah teres. Ini jauh berbeza dengan separuh pertama 2019 (H1 2019) apabila rumah teres berada pada tangga teratas pertumbuhan modal dan merupakan satu-satunya jenis bangunan yang merekodkan pertumbuhan positif. Begitu juga kondominium dan kediaman servis, kedua-duanya mencatatkan penurunan ketara bagi permintaan dan pertumbuhan modal. Walau bagaimanapun, permintaan keseluruhan terhadap hartanah subsale di ibu negara hanya mencatatkan penurunan yang kecil iaitu -0.3% pada H1 2020. Kedua-dua angka kunjungan dan penyenaraian hartanah bagi hartanah di Kuala Lumpur hanya menurun sedikit sahaja, di bawah garis trend positif.

Selangor merupakan satu-satunya negeri utama yang merekodkan permintaan positif pada H1 2020 iaitu +3.5% di samping peningkatan kunjungan secara keseluruhan dari tahun ke tahun. Walaupun bandar-bandar utama lain di Malaysia merekodkan permintaan yang negatif terhadap rumah, ibu negeri Selangor, Shah Alam, memperoleh angka permintaan +7.63% disebabkan banyaknya hartanah mampu milik di pinggir Lembah Klang. Di Selangor, permintaan terhadap rumah pada H1 2020 beralih ke bandar-bandar lebih kecil dan kawasan subbandar seperti Puncak Alam, Dengkil, Semenyih dan Cyberjaya. Trend ini didorong oleh pencarian rumah-rumah lebih besar disebabkan trend bekerja dari rumah yang semakin berterusan sejak PKP dikuatkuasakan.

Pulau Pinang mengalami kemerosotan kecil apabila permintaan hartanah subsale di negeri tersebut menurun sebanyak -6.5% pada H1 2020 akibat PKP dan penutupan kedua-dua sempadan negeri dan antarabangsa yang menjejaskan industri pelancongannya. Ini membawa kepada carian dan minat yang lebih rendah dalam kalangan pelabur luar negara. Permintaan hartanah di negeri utara ini merekodkan trend menurun pada ketiga-tiga jenis hartanah pada H1 2020. Namun, dari aspek positifnya, harga rumah teres di tanah besar masih lebih rendah berbanding harga rumah di pulau. Ini menandakan ada potensi untuk pertumbuhan modal di tanah besar pada masa hadapan.

Di Johor, pasaran hartanah memang sedia lembap sejak sebelum penularan COVID-19 lagi dan masih suram pada H1 2020. Negeri di selatan tanah air ini dibelenggu masalah lambakan hartanah tertinggi di Malaysia. Angka kunjungan yang berkurang ditambah dengan peningkatan yang banyak dalam penyenaraian telah menurunkan permintaan hartanah sebanyak -22.8%. Penutupan sempadan antara Johor dan Singapura semasa PKP mungkin telah memudarkan sentimen pembelian dalam kalangan pengguna dan menjurus kepada penurunan dua digit pada H1 2020.

“Perlu diingat bahawa kesan pandemik ini terhadap pasaran hartanah tidaklah seteruk yang kita jangka pada awalnya. Ketika COVID-19 mula melanda Malaysia, laman web kami menunjukkan pengurangan kunjungan dan penyenaraian hartanah pada peringkat awal PKP. Namun angka kunjungan kami kembali pulih berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pada akhir minggu pertama Jun, carian organik bagi penyenaraian hartanah subsale menyaksikan pemulihan sebanyak +41%,” kata Premendran Pathmanathan, Pengurus Besar Penyelesaian Data Pengguna REA Group Asia.

Tambah beliau, “Dengan kejatuhan aktiviti pasaran akibat PKP, pengumuman pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) memang tepat pada masanya. Pengecualian duti setem di bawah Kempen Pemilikan Rumah (Home Ownership Campaign atau HOC), pelonggaran Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) bagi yang ingin menjual rumah dan nisbah Pinjaman Untuk Nilai (Loan-to-Value atau LTV) yang lebih tinggi dijangka membantu memulihkan sektor hartanah dalam bulan mendatang.”

Menyentuh mengenai penerbitan H1 2020 Property Demand Analytics, Premendran berkata, “Mengambil kira suasana pandemik COVID-19 sekarang, memang besar sekali peranan yang dimainkan oleh data yang didorong permintaan kami ini. Data yang didorong permintaan (demand-driven data) di Malaysia penting dalam pembentukan dasar dan membuat keputusan subsidi berdasarkan bukti. Bagi pemaju, mereka boleh memanfaatkan data ini untuk merangka strategi bagi projek seterusnya dan memantau trend pengguna. Dengan adanya data ini, kami berharap semua pihak berkepentingan dapat menganalisis maklumat yang diberikan bagi memahami kehendak pasaran tempatan dengan lebih baik, yang juga merupakan gambaran permintaan pasaran. Penerbitan kami ini bertujuan memberi manfaat buat semua pihak berkepentingan supaya wujud keserasian antara pemain industri dan sentimen pasaran bagi membantu membuat keputusan. Apabila sudah ada keserasian antara semua pihak, usaha merangsang semula sektor hartanah di Malaysia dapat dijalankan.”

Mengenai REA Group & iProperty.com.my

REA Group di Asia mengendalikan laman web, pemasaran dan acara harta tanah digital yang menawarkan set perkhidmatan hartanah dan pemasaran projek paling komprehensif di Asia Tenggara termasuk di Malaysia (iProperty.com.my), Thailand (thinkofliving.com dan Prakard) serta seluruh wilayah China termasuk Tanah Besar China (myfun.com) dan Hong Kong (squarefoot.com.hk dan SMARTExpo).

iProperty.com.my berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia dengan bilangan pekerjanya melebihi 200 orang. Dengan lebih 3 juta lawatan setiap bulan, iProperty.com.my merupakan portal hartanah pendahulu pasaran yang menawarkan carian dalam dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. iProperty.com.my juga menawarkan aplikasi penyelesaian kepada konsumer seperti LoanCare, penunjuk kelayakan pinjaman perumahan; saluran News & Lifestyle dengan pelbagai kandungan berkaitan hartanah yang bermanfaat kepada pengguna; acara-acara yang menghubungkan pembeli hartanah dengan ejen dan pemaju; dan banyak lagi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.