SC keluarkan Garis Panduan Aset Digital

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Guidelines on Digital Assets (Garis Panduan Aset Digital) (Garis Panduan) yang menggariskan rangka kerja bagi pengumpulan dana melalui penawaran token digital di Malaysia.

Seperti yang dinyatakan dalam kertas perundingan SC sebelum ini mengenai “Cadangan Rangka Kerja Pengawalseliaan bagi Penerbitan Aset Digital Melalui Tawaran Token Awal”, Tawaran Token Awal membolehkan sesebuah syarikat dengan cadangan perniagaan yang inovatif untuk menjana modal, sebelum ia mampu berbuat demikian melalui pemodal teroka atau pemberi pinjaman. Ia juga membolehkan syarikat mengumpul dana tanpa menjual ekuiti mereka atau berhutang untuk membangunkan idea inovatif mereka.

“Tawaran token digital menyediakan alternatif pengumpulan dana bagi perniagaan peringkat permulaan mereka. Inisiatif ini menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (SPV2030) Malaysia dengan membantu pertumbuhan PKS dan perniagaan mikro yang disasarkan untuk menyumbang sebanyak 50% kepada KDNK Malaysia. Ia juga sejajar dengan aspirasi SPV2030 untuk mewujudkan sebanyak 30% syarikat berteknologi tinggi di Malaysia,” menurut Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi SC.

Garis Panduan ini mengambil kira maklum balas yang diterima oleh SC susulan pengeluaran kertas perundingan. Berpandukan respons yang diterima, terdapat sokongan yang menggalakkan daripada industri terhadap cadangan SC untuk memanfaatkan kepakaran pengendali platform untuk menyemak permohonan bagi terbitan token digital bagi pengumpulan dana.

Oleh itu, Garis Panduan tersebut menetapkan keperluan bagi semua tawaran token digital dilaksanakan melalui pengendali platform yang berdaftar dengan SC. Tawaran ini akan dirujuk dalam Garis Panduan tersebut sebagai Tawaran Awal Bursa (Initial Exchange Offering – IEO). Sehubungan ini, pengendali platform dikehendaki menjalankan penilaian yang diperlukan dan usaha wajar, antara lain untuk, mengesahkan perniagaan penerbit dan kelayakan dan kesesuaian lembaga pengarah penerbit, serta memahami ciri-ciri token digital. Ketika fasa pertama pelaksanaan Garis Panduan tersebut, SC akan bekerjasama dengan pengendali platform yang berkaitan untuk menilai penerbit yang layak.

Bakal-bakal penerbit juga hendaklah memenuhi keperluan tadbir urus dan modal untuk layak mengumpul dana menerusi tawaran token digital. Penerbit dikehendaki menunjukkan bahawa projek atau perniagaan yang dicadangkan menyediakan penyelesaian inovatif atau cadangan nilai digital yang terbaik kepada Malaysia.

Penerbit boleh mengumpul dana sehingga RM100 juta dan memanfaatkan pelaburan daripada pelabur runcit, sofistikated dan juga pelabur syarikat peringkat permulaan, tertakluk kepada had pelaburan yang ditetapkan dalam Garis Panduan. Setiap terbitan hendaklah disertakan dengan Kertas Putih (Whitepaper), yang menyediakan kepada pelabur, antara lain, maklumat penting mengenai penerbit, token digital dan penggunaan dana yang diperolehi melalui pelaksanaan pengumpulan dana penerbit.Selepas tawaran dilaksanakan sepenuhnya, SC akan menjalankan pemantauan pascapenerbitan ke atas penggunaan hasil.

Garis Panduan ini juga menetapkan keperluan bagi pengendali platform IEO yang ingin memudahcarakan proses IEO dan proses mendapatkan kebenaran daripada SC.

Garis Panduan ini akan dikuatkuasakan pada separuh tahun kedua 2020 bagi membolehkan bakal penerbit, pengendali platform dan pelabur untuk membiasakan diri dengan keperluan Garis Panduan tersebut.

SC ingin mengingatkan orang ramai bahawa sehingga berkuatkuasanya Garis Panduan tersebut, sesiapapun tidak dibenarkan untuk menawarkan atau menerbitkan mana-mana token digital di Malaysia.

Mereka yang ingin membuat maklum balas mengenai hal-hal yang berkaitan dengan Garis Panduan tersebut boleh menghantar emel ke [email protected] sebelum 15 Mei 2020. Garis Panduan tersebut boleh didapati di laman sesawang SC di sini.

Baca juga: Aset Digital Menurut Perspektif Syariah (KEPUTUSAN MAJLIS PENASIHAT SYARIAH
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA 31 Disember 2020)

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

CIMB Securities Kekal Saranan ‘Neutral’ Ke Atas Sektor Hartanah

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) — CIMB Securities Sdn Bhd mengekalkan saran an ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, terutamanya di Johor, susulan pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, memandangkan keputusan itu memberikan mandat yang jelas kepada pentadbiran baharu untuk memastikan kesinambungan pembangunan.

CIMB Securities dalam nota penyelidikannya hari ini memaklumkan bahawa ia termasuk pengumuman rasmi pelan tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada suku keempat 2026, dengan sokongan daripada kerajaan perpaduan persekutuan.

Bank pelaburan itu juga menjangkakan pelancaran projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) Johor Bahru bernilai RM7 bilion pada separuh kedua 2026, berikutan pemberian surat hasrat kepada konsortium DOM Industries-MMC Engineering-Nylex- BTS Group Holdings.

Bagaimanapun, projek infrastruktur rentas sempadan yang lain, termasuk cadangan Laluan Link 2 Sistem Transit Rapid (RTS) Tuas-Iskandar Puteri dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, masih menunggu kejelasan dasar yang lebih lanjut.

“Walaupun kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, pelan tindakan JS-SEZ yang akan datang dan permulaan Laluan Link RTS pada suku pertama 2027 akan menyokong permintaan bagi hartanah kediaman bertanah dan perindustrian di Johor, dengan kesan limpahan faedah kepada aset komersial dan runcit di koridor pertumbuhan utama,” menurut nota penyelidikan itu.

Nilai tanah industri utama dilaporkan telah meningkat dua kali ganda kepada RM150 bagi setiap kaki persegi daripada RM 70-RM80 bagi setiap kaki persegi pada 2024, didorong oleh permintaan berterusan berkaitan pusat data, dengan pencarian tanah semakin beralih ke luar Johor Bahru disebabkan oleh kekangan bekalan tenaga dan air.

Namun, CIMB Securities memberi amaran mengenai segmen kediaman bertingkat tinggi di Johor Bahru, di mana data suku pertama 2026 daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) menunjukkan stok sedia ada sebanyak 108,863 unit pangsapuri perkhidmatan, serta bekalan masuk dan dalam perancangan masing-masing sebanyak 41,832 dan 18,712 unit sehingga 2030/2031.

Ia meningkatkan risiko lambakan bekalan sekiranya permintaan gagal seiring dengan bekalan tambahan tersebut.

Dalam senarai analisisnya, UEM Sunrise kekal sebagai pilihan utama bagi peningkatan semula nilai tanah Johor, memandangkan simpanan tanah Iskandar Puteri yang luas dan pelan induk perindustrian Gerbang Nusajaya yang akan datang pada suku pertama
2027.

Pemaju lain yang mempunyai pendedahan ketara kepada kawasan sekitar Laluan Link R’TS termasuk Eco World, Mah Sing Sunway, SP Setia dan KSL Holdings.

Sementara itu, Perkhidmatan Tren Elektrik Kuala Lumpur-JB Sentral yang baharu telah meningkatkan ketersambungan dalam negeri dan membuka peluang pembangunan di daerah sekitar, sekali gus memberi manfaat kepada Matrix Concepts menerusi perbandaran Bandar Seri Impian miliknya di Kluang.

Dalam PRN diadakan pada 11 Julai, 2026, Barisan Nasional mengekalkan penguasaan di Johor dengan majoriti dua pertiga yang besar, selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi dipertandingkan.

BERNAMA