Risiko Kemelesetan Ekonomi Dunia Kini Berada di Paras 90% – JP Morgan

Lihat saja mana-mana pasaran pada hari ini seperti indeks saham, bon, atau komoditi; kesemuanya menunjukkan kebarangkalian yang tinggi berlakunya kemelesetan ekonomi.

JP Morgan memberitahu pelanggannya pada minggu lalu bahawa pasaran menunjukkan peluang untuk kemelesetan berlaku kali ini berada di paras 90%. Kemelesetan secara umumnya adalah keadaan di mana berlakunya pertumbuhan ekonomi negatif selama enam bulan berturut-turut.

Keadaan semakin teruk kini apabila kita melihat pasaran bon. Minggu lalu pasaran panik apabila hasil bon 10-tahun kerajaan Amerika Syarikat jatuh di bawah paras satu peratus yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ia semakin teruk apabila ia jatuh lagi di bawah paras 0.5% pada hari Isnin (9 Mac 2020) yang menimbulkan seribu satu pertanyaan kerana ia tidak pernah berlaku dalam kemelesetan ekonomi sebelum ini.

Apa Sebenarnya Yang Berlaku?

Ekonomi dunia sebenarnya seakan diasak bertubi-tubi oleh risiko yang berlaku pada hari ini. Penularan koronavirus yang mencetuskan krisis kesihatan di seluruh dunia menjadi risiko kepada ekonomi kerana orang ramai takut untuk melakukan sebarang aktiviti di luar rumah.

Orang ramai membatalkan tiket penerbangan, perjalanan dan mengurangkan perbelanjaan untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan lebih buruk di masa hadapan.

Dunia pada hari ini juga menyaksikan lambakan bekalan minyak mentah di mana berita terbaru pada lewat Ahad (8 Mac 2020) menyatakan bahawa Arab Saudi tidak akan mengurangkan pengeluarannya selepas Rusia berdegil untuk tidak menyokong cadangan OPEC pada minggu lepas.

Hal ini telah menyebabkan harga minyak mentah menjunam sebanyak 30% pada pembukaan pasaran hari Isnin sehingga penanda aras West Texas Intermediate (WTI) mencecah harga serendah $US27 setong, satu harga di mana pengeluar di luar Arab Saudi akan mengalami kerugian dan gagal bertahan jika ia berterusan.

Setakat ini koronavirus di China menunjukkan tanda-tanda perlahan daripada segi tambahan kes positif setiap hari, tetapi di negara-negara lain seperti Itali, Amerika Syarikat dan Asia seakan baru bermula. Tambahan kes yang dicatatkan di Itali meningkat saban hari dan Malaysia juga mencatatkan tambahan kes yang semakin banyak.

Kita melihat kes koronavirus di negara-negara ini akan terus meningkat memasuki suku kedua tahun 2020 sebelum ekonomi dijangka naik semula pada musim panas nanti sekitar bulan Jun.

Sektor Pengguna Kian Merasai Tekanan

Ekonomi Amerika Syarikat bakal mendapat impak besar dan mencetuskan kemelesetan dunia berdasarkan pendapat pakar-pakar ekonomi. Sebab itulah, pelabur di seluruh dunia kini panik dengan keadaan semasa.

“Kita menuju ke arah yang semakin dekat dengan kemelesetan ekonomi”, demikian kata penganalisa ekonomi Claudia Sahm, salah seorang pakar dalam kajian kemelesetan ekonomi.

Industri pelancongan adalah yang paling berisiko ketika ini di mana sektor penerbangan dan perhotelan sudah merasai tekanan. Lapangan terbang kini tidak sesibuk dahulu dengan banyaknya pembatalan laluan penerbangan dan lebih teruk lagi tempahan di masa hadapan juga merosot. Di Malaysia, Malindo Air dilaporkan telah meminta stafnya untuk menerima 50% pengurangan gaji dan juga dua minggu cuti tanpa gaji.

Jika tekanan kepada ekonomi berterusan, ia akan menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan di seluruh dunia dan menyebabkan mereka tidak dapat berbelanja.

Di Amerika Syarikat, hasil kajian menunjukkan 40% rakyatnya mengalami kesukaran untuk membayar bil mereka sebelum menularnya koronavirus. Ini akan memberi lebih tekanan kepada mereka dengan Amerika Syarikat kini telah mencatat 708 kes positif setakat pada hari Selasa (10 Mac).

Perbelanjaan pengguna di Amerika Syarikat mewakili 70% daripada keseluruhan ekonomi. Jika ramai yang kehilangan sumber pendapatan atau ramai yang bimbang dengan keadaan semasa, mereka akan mengurangkan perbelanjaan dan seterusnya ia akan memberi impak negatif kepada keseluruhan ekonomi negara itu.

Risiko ‘Credit Crunch’ Yang Dahsyat

Nourel Roubini yang digelar sebagai “Dr. Doom” kerana ramalan pesimistik beliau menyatakan kejatuhan pasaran pada Isnin (9 Mac 2020) adalah satu lagi amaran bahawa ekonomi global menghampiri kemelesetan. Apa yang berlaku pada Isnin adalah kejatuhan harga minyak mentah sebanyak 30% dengan saham-saham Eropah, Asia dan Amerika Syarikat merekodkan kejatuhan lebih daripada 5%. Dalam masa yang sama hasil bon 10-tahun AS jatuh di bawah paras 0.5%.

Roubini berkata dalam tempoh beberapa hari lagi tajuk utama berita akan melaporkan penularan koronavirus yang semakin meningkat di Eropah dan Amerika Syarikat. Hal ini katanya akan menyebabkan junaman aset-aset berisiko seperti saham dan komoditi. Dalam masa yang sama tambahnya, harga emas dan bon akan melonjak.

Bagi Roubini, krisis kredit yang akan berlaku pada tahun 2020 adalah lebih buruk kerana ia bukan hanya disebabkan kejatuhan harga minyak mentah tetapi juga sektor-sektor lain.

Majalah The Economist meramalkan berlakunya ‘credit crunch’ yang dahsyat. Credit crunch di sini bermaksud ketiadaan wang untuk dipinjam atau pengetatan syarat secara tiba-tiba untuk mendapatkan pinjaman daripada bank.

Pihak berautoriti seperti bank pusat telah bertindak melonggarkan dasar kewangan seperti yang dilakukan oleh Federal Reserve (The Fed), Bank of Canada (BoC) termasuk juga Bank Negara Malaysia (BNM).

The Fed pada 3 Mac 2020 telah mengumumkan pemotongan kadar faedah dasar (Fed Fund Rate) sebanyak 50 mata asas yang membawa kadar ke paras 1.25%. Bank pusat Kanada juga mengikuti jejak langkah The Fed dengan menurunkan kadar faedahnya sebanyak 0.50% kepada 1.25%.

Ini adalah usaha bank pusat untuk menyediakan satu keadaan pasaran kewangan yang terus akomodatif untuk menyokong aktiviti ekonomi dengan risiko pasaran yang kian meningkat.

Namun, pakar berpendapat ia tidak cukup untuk menggerakkan ekonomi kerana risiko penularan koronavirus menyebabkan orang ramai takut untuk melakukan aktiviti di luar rumah.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Photo by Zdeněk Macháček on Unsplash

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

MGB Raih Kontrak RM34.76 Juta Bina Vila Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: MGB Bhd melalui anak syarikat milik penuh secara tidak langsung, MGB International For Industry memperoleh kontrak bernilai RM34.76 juta bagi pembinaan 75 unit vila di Arab Saudi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGB berkata MGB International menerima surat lantikan daripada ROSHN Group Company, pemaju hartanah berpangkalan di Arab Saudi yang dimiliki oleh dana kekayaan berdaulat negara itu, Public Investment Fund bagi projek berkenaan.

“Nilai keseluruhan kontrak projek ini berjumlah 32.98 juta riyal Saudi (RM34.76 juta),” katanya.

Menurut MGB, tarikh permulaan projek akan ditentukan selepas notis untuk memulakan kerja dikeluarkan oleh majikan, manakala tempoh pembinaan ditetapkan selama 242 hari atau kira-kira lapan bulan dari tarikh pembinaan bermula.

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan serta mengukuhkan nilai perolehan kontrak kumpulan.

“Projek ini juga merupakan langkah strategik dalam memperluas penyertaan kumpulan dalam sektor pembinaan di Arab Saudi, selaras dengan strategi pertumbuhan serantau jangka panjang,” katanya.

MGB berkata kontrak itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Dalam pada itu, katanya, tiada pengarah, pemegang saham utama atau ketua pegawai eksekutif serta pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.