4 Pengajaran Daripada Drama ‘Itaewon Class’

Inspirasi dalam hidup boleh datang dari pelbagai sumber. Drama pun rupa-rupanya ada yang boleh beri input yang baik, di antaranya drama Itaewon Class dari Korea Selatan.

Drama ini mengisahkan tentang Sae-ro-yi yang bertekad menjatuhkan syarikat industri makanan #1 di Korea iaitu Jangga Co. Geun-won, anak kepada pengerusi Jangga Co telah terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan kematian bapa Sae-ro-yi namun atas pengaruh dan campurtangan bapanya, Geun-won telah terlepas dari hukuman dan sebaliknya Sae-ro-yi pula yang dipenjarakan.

Nama pun drama, memang tak lari daripada unsur-unsur fiksyen dramatik. Tapi banyak juga pengajaran berkaitan perniagaan, kewangan dan pelaburan yang boleh disesuaikan dalam dunia realiti kita pada hari ini.

1. Ketepikan Emosi Dalam Pelaburan

Walaupun Sae-ro-yi ingin melihat kejatuhan Jangga Co, tapi apabila harga saham Jangga Co merudum disebabkan isu moral Geun-won, Sae-ro-yi telah bertindak melaburkan wang pampasan insurans bapanya dengan membeli saham Jangga Co.

Apabila ditanya, Sae-ro-yi menjawab dia yakin Jangga Co adalah syarikat yang baik dan walaupun imejnya ketika itu sedikit tercalar, namun nilai terasnya tidak berubah. Saham Jangga Co akhirnya telah kembali melonjak dan memberi pulangan besar kepada Sae-ro-yi.

Dalam pelaburan, ketepikan soal emosi dan jangan biar perspektif peribadi yang tidak berkaitan dengan fundamental perniagaan mempengaruhi keputusan kita.

Dan tidak perlu pula terlalu sayang sesuatu pegangan sehingga kita membutakan mata apabila sampai masa ia perlu dilupuskan.

2. Kepentingan Takaful/Insurans

Apabila bapa Sae-ro-yi meninggal dunia, Sae-ro-yi kehilangan tempat bergantung dan tinggal sebatang kara. Apabila keluar dari penjara, dia meneruskan hidup dengan pampasan insurans bapanya dan wang tersebut juga menjadi salah satu faktor menjayakan rancangannya untuk tempoh 15 tahun ke hadapan dalam menumbangkan legasi keluarga Jang.

“Sanggupkah kita tinggalkan anak isteri yang kehilangan tempat bergantung dengan hutang apabila kita pergi nanti?”

Ayat keramat ejen-ejen takaful di luar sana. Kadang-kadang mungkin agak menjengkelkan tapi sebenarnya penting untuk kita fikirkan dan bertindak sebelum terlambat.

3. Masa Terbaik Untuk Mula Melabur Adalah SEKARANG

Sae-ro-yi yang berumur awal 20-an ketika menerima wang insurans bapanya tidak berfoya-foya dengan wang tersebut. Sebaliknya dia telah mendapatkan nasihat dari rakannya seorang pengurus dana lalu melaburkan sebahagian besar dari wang tersebut untuk jangka masa panjang.

Hasilnya, beberapa tahun kemudian pelaburan tadi telah meningkat nilai berlipat kali ganda dan telah menjadi senjata ampuh untuk Sae-ro-yi bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dalam melaksanakan misi menumbangkan Jangga Co.

Maka janganlah bertangguh untuk mula melabur. Ilmu, pengalaman beserta pulangannya sekali akan datang seiring dan pastinya lebih berharga dari yang mampu dikutip dari kelas berbayar.

4. Dengar Guruh Di Langit, Jangan Air Di Tempayan Dicurahkan

Apabila startup restoran yang diasaskan oleh Sae-ro-yi ditawarkan pelaburan bernilai billion Won, mereka terus mengambil keputusan untuk secara agresif membuka cawangan baru di banyak tempat sekaligus.

Namun apabila pembukaan cawangan baru telah mula berjalan dan jutaan Won telah dibelanjakan, pelaburan yang dinantikan tidak menjadi kenyataan menyebabkan situasi menjadi di luar kawalan.

Dalam dunia realiti, kita dapat melihat situasi hampir sama sedang menimpa syarikat-syarikat terkemuka dunia. Syarikat rangkaian perhotelan OYO sebagai contoh, baru sahaja pengasasnya diangkat sebagai billionair muda berwawasan dan dilihat terus agresif meluaskan empayarnya.

Namun kini banyak hotel-hotel persendirian yang bernaung di bawah rangkaian OYO sedang menghadapi masalah aliran tunai yang serius dan berisiko untuk bankrap akibat wabak Covid-19 yang melanda dunia.

Akhir kata, tak salah nak menonton drama. Tapi pilihlah drama yang berisi dan boleh memberi nilai tambah dalam kehidupan kita.

Ditulis oleh Izzudeen Razali. Artikel ini bukan saranan untuk menonton drama yang disebutkan kerana masa kita terutama di bulan Ramadan ini lebih selayaknya diisi dengan amalan-amalan kerohanian dan pemantapan diri. Tulisan Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana organisasi.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.