Arunachalam Muruganantham (Padman), Pencipta Tuala Wanita Untuk Masyarakat Miskin Di India

Kita sering mendengar tokoh-tokoh dari negara barat yang berjaya mengubah dunia dengan hasil ciptaan mereka. Kebanyakan mereka memperkenalkan teknologi baru dan terdiri daripada golongan yang berpendidikan tinggi.

Kali ini kita akan melihat bagaimana seorang pencipta dari Asia yang berjaya membantu berjuta-juta penduduk negaranya untuk mendapatkan tuala wanita dengan harga yang murah.

Insan tersebut adalah Arunachalam Muruganantham yang berasal dari India. Beliau kini merupakan ikon yang terkenal di India kerana berjaya menghasilkan tuala wanita yang mampu dimiliki.

Ini kerana kebanyakan penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman India tidak mampu untuk membeli tuala wanita dengan harga yang tinggi.

Bagaimana Kisah Padman Bermula?

Arunachalam Muruganantham dilahirkan pada tahun 1961 dalam golongan kelas bawahan. Beliau merupakan anak yatim apabila bapanya meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya.

Pada usia 14 tahun, beliau telah berhenti sekolah dan menggalas tugas sebagai ketua keluarga. Banyak kerja yang dilakukannya termasuklah bekerja kilang dan menjadi petani. Pada tahun 1998, beliau bertemu jodoh dan berkahwin.

Kisahnya bermula di sini apabila pada ketika itu, isterinya yang didatangi haid telah menggunakan kain buruk sebagai tuala wanita. Beliau terkejut dengan tindakan isterinya itu lalu bertanya hal tersebut kepada isterinya.

Isterinya pula memarahinya kerana sibuk untuk mengetahui hal peribadi wanita. Kedatangan haid merupakan perkara yang tabu di India dan kaum wanita di sini terutamanya di kawasan pedalaman, memang tidak gemar untuk berbincang tentang perkara tersebut.

Kredit Gambar: The Guardian

Dari situlah lahirnya idea untuk menghasilkan tuala wanita yang lebih murah untuk kegunaan kaum wanita yang berpendapatan rendah. Arunachalam Muruganantham telah membeli tuala wanita dan mengkaji apa yang terdapat di dalam tuala tersebut sehinggakan harga yang dijual adalah tinggi.

Beliau mendapati hanya lapisan kapas sahaja yang di sulam. Beliau juga telah mendapati bahawa bahan mentah untuk menghasilkan tuala wanita sangat murah tetapi ianya dijual dengan berpuluh kali ganda daripada harga asal bahan tersebut.

Cabaran Yang Dihadapi Daam Menghasilkan Tuala Wanita

Cabaran bermula apabila menghasilkan tuala wanitanya sendiri. Apa yang mencabar adalah tiada wanita yang sanggup untuk menggunakan tuala wanita yang dihasilkannya dan memberi maklum balas kepada dirinya mengenai tuala wanita yang dihasilkan.

Akhirnya Arunachalam Muruganantham menggunakan isterinya sendiri untuk dijadikan bahan ujikaji. Pada mulanya, isterinya bersetuju untuk memberi maklum balas kepadanya namun akhirnya belilau tidak tahan dan enggan memberi kerjasama.

Kredit Gambar: The Hindu Business Line

Arunachalam Muruganantham terpaksa akur dengan keputusan isterinya lalu menggunakan sendiri untuk menguji produk buatannya.

Beliau sendiri memakai tuala wanita yang dihasilkannya itu dan menggunakan darah kambing untuk melihat tahap kebocoran darah yang dapat diserap oleh tuala wanita tersebut.

Beliau melakukan pelbagai ujikaji dan akhirnya telah berjaya menemui cara terbaik untuk menghasilkan tuala wanita yang berkualiti tinggi setaraf dengan jenama antarabangsa. Arunachalam Muruganantham mengambil masa selama 6 tahun untuk menemui teknik sebenar menghasilkan tuala wanita yang betul dan murah.

Kredit Gambar: India Express

Selepas berjaya menemui kaedah tersebut, masalah lain pula timbul iaitu harga mesin untuk menghasilkan bahan mentah berkualiti tinggi adalah sangat mahal. Dianggarkan sebuah mesin tersebut berharga USD500,000 dan perlu diimport.

Arunachalam Muruganantham kemudian mencari jalan dan berjaya menghasilkan sesuatu yang berharga USD950 untuk membuat tuala wanita.

Beliau kini merupakan tenaga pengajar yang penting di India. Pihak kerajaan menyediakan mesin tersebut di sesebuah kampung dan Arunachalam Muruganantham merupakan orang yang bertanggungjawab untuk mengajar penduduk kampung pedalaman untuk menghasilkan tuala wanita mereka sendiri.

Selain itu juga, mereka boleh menjana ekonomi penduduk setempat dengan menjual tuala wanita buatan mereka.

Banyak pihak yang menawarkan untuk bekerjasama dengan Arunachalam Muruganantham untuk membuat tuala wanita secara komersial, tetapi beliau menolak kerana ingin membantu golongan miskin.

Kini kaedah pembuatan tuala wanita dipraktikkan di beberapa buah negara miskin.

Arunachalam Muruganantham merupakan ikon yang berpengaruh di India dan pada tahun 2014, beliau merupakan salah seorang daripada 100 orang yang paling berpengaruh di dunia.

Kehebatannya itu telah dijadikan beberapa buah filem dan yang paling terkenal bertajuk Padman lakonan Akshay Kumar.

Sumber Rujukan:

Sesiapa yang rasa nak mulakan perubahan tetapi masih rasa kurang keyakinan diri. Rasa lemah semangat untuk bertindak. Rasa macam semua benda dia buat, tak menjadi. Penat buat kerja. Pernah rasa nak GIVE UP! Hampir BURN OUT!

Dapatkan buku “Percaya Sebelum Berjaya” Edisi Terkini. Apa bestnya buku ni?

InsyaAllah, Buku PSB ni telah terbukti membantu beribu pembacanya untuk:

🔥 Lebih bermotivasi untuk mengejar impian dan cita-cita

🔥 Lebih keyakinan untuk berhadapan dan mengatasi masalah yang menghalang impian tercapai

🔥 Lebih jelas bagaimana untuk mengatasi mental block yang menyebabkan usaha anda terbantut

🔥 Lebih konsisten dengan usaha dan tindakan agar pantas mencapai kejayaan.

🔥 Mencapai ketenangan yang luar biasa kerana mampu berdamai dengan kekecewaan demi kekecewaan

Dapatkannya sekarang di -> www.PercayaBerjaya.com

Previous ArticleNext Article

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.