CBP Kekal Utuh Pada Usia 73 Tahun, Aset Diunjur Cecah RM10 Bilion Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) — Co-opbank Pertama (CBP) yang ditubuhkan sebagai The Province Wellesley Co-operative Banking Union Limited pada 73 tahun lepas, hanyalah sebuah gabungan syarikat kerjasama kampung masyarakat Melayu.

Namun, berbekalkan perjalanan mengorak langkah merentasi era sebelum dan selepas kemerdekaan negara, CBP yang kini disokong oleh 90,000 anggota Bumiputera, telah memanfaatkan pengalaman dan prinsip memartabatkan ekonomi masyarakat Melayu yang membawa kejayaan dan muncul antara peneraju bank koperasi di Malaysia dengan keseluruhan aset dijangka mencecah RM10 bilion pada separuh kedua 2024.

Titik awal penubuhannya adalah untuk membantu ‘memerdekakan’ golongan pesawah daripada kemelut masalah pinjaman ‘padi kunca’ yang menindas ekonomi mereka dan seterusnya disusuli dengan perjumpaan sekumpulan masyarakat Melayu dengan sebahagian besarnya adalah ahli-ahli syarikat kerjasama kampung di Kampung Pertama, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Bermula daripada aktiviti membeli dan menjual baja bagi meningkatkan hasil pertanian di samping memberi pinjaman supaya ahlinya berupaya membeli ternakan, menyewa tanah, menebus atau membeli tanah, perjalanan ‘perjuangan’ CBP ternyata semakin luas apabila perlu bersaing dengan bank-bank komersial lain yang menawarkan perkhidmatan simpanan, pajak gadai Islam Ar-Rahnu dan perancangan kewangan.

Krisis Perkukuh CBP, Raih Pencapaian

Berkongsi kisah kejayaan CBP dengan Bernama baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata keupayaan menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti serta kadar keuntungan kompetitif menjadi tonggak kepercayaan masyarakat Melayu kepada CBP yang dijadikan pilihan utama untuk mendapatkan produk perbankan dan mengembangkan pelaburan mereka.

Ini terbukti menerusi sejarah kewangan CBP yang menunjukkan peningkatan saban tahun walaupun berdepan beberapa krisis seperti pandemik COVID-19.

Pencapaian itu membolehkan CBP mengumumkan pembayaran dividen tertinggi sejak penubuhannya pada 1950 yang mencecah RM58.93 juta pada tahun lepas.

CBP yang digerakkan oleh sokongan lebih 800 pekerja dan 30 cawangan termasuk outlet di seluruh Malaysia, juga terus mencatat peningkatan keuntungan iaitu sebanyak RM103.4 juta pada 2022, RM86.2 juta (2021), RM85.1 juta (2020), RM73.9 juta (2019) dan RM52.7 juta (2018).

Khairil Anuar berkata ketika institusi lain menghadapi kesukaran mengekalkan pertumbuhan selepas pandemik dan seterusnya tekanan inflasi dan kadar faedah, bank koperasi itu sebaliknya dapat melonjakkan keseluruhan aset sebanyak RM3 bilion kepada RM9 bilion setakat Julai 2023.

“Dalam tempoh kurang daripada dua tahun, kami berjaya mencatat pertumbuhan bersih RM3 bilion iaitu secara kasar kira-kira RM6 bilion. Ini bermakna, kami dapat bergerak pantas dan mengatasi purata industri.

“Pencapaian ini jelas menunjukkan CBP berjaya mencipta dan memecahkan rekod tersendiri,” kata Khairil Anuar yang dilantik menerajui CBP sejak 2021.

Tumpu Pendigitalan, Perkenal Produk Baharu

Proses mengekalkan trajektori pertumbuhan di landasan ketika persaingan kian sengit dan persekitaran ekonomi yang mencabar bukanlah perkara yang mudah.

Justeru, menyedari keperluan untuk evolusi seiring pertumbuhan industri perbankan, CBP bersedia memaksimumkan pengembangan perniagaan termasuk segmen pembiayaan, Ar-Rahnu, pendigitalan serta memperkukuhkan infrastrukturnya melalui kecekapan sistem dan pekerja yang ditambahbaik.

Bagi perniagaan pembiayaan, CBP merancang untuk meneliti semula sektor pertanian seiring hasrat kerajaan memperkasa jaminan makanan negara bagi meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan import.

Oleh itu, Khairil Anuar menyifatkan sektor koperasi mempunyai potensi dalam menyokong rantaian sektor pertanian di peringkat industri serta huluan dan hiliran.

“Kami tidak boleh setakat berharap kepada beberapa produk utama, sebaliknya perlu dipelbagaikan. Selain itu, produk kami yang berasaskan fi pula masih belum kukuh,” katanya.

Menyedari kepentingan itu, CBP yang kini hanya menawarkan perkhidmatan Akaun Simpanan-i (SA), turut bercadang untuk memperkenalkan akaun semasa bagi melengkapkan lagi tawarannya.

“Dalam era digital, keperluan semasa tidak lagi bertumpu kepada cek. Bagi menawarkan akaun semasa kami juga perlukan akaun semasa elektronik, bukannya akaun semasa fizikal atau pengeluaran cek,” katanya.

Sejajar usaha untuk menyokong pendigitalannya, bank koperasi juga berhasrat untuk memperkenalkan perbankan mudah alih pada tahun depan.

“Kami berhasrat untuk bermula dengan perbankan mudah alih. Kami tidak boleh mengetepikan aspek digital kerana bank runcit adalah massa dan platform terbaik untuk menjangkau lebih ramai pelanggan,” katanya.

Tidak ketinggalan, Khairil Anuar berkata, unit Ar-Rahru yang kini mempunyai portfolio sebanyak lebih RM350 juta, akan turut diperluas.

Pada masa sama, CBP juga yakin dapat memperkasa modal insan dan memperkemas infrastrukturnya menerusi penyatuan operasi utama di bangunan 14 tingkat yang dibeli di Kuala Lumpur serta bakal diduduki tidak lama lagi.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kaya Di Mata : Realiti Kewangan Malaysia Yang Jarang Didedahkan

Dalam dunia yang gemar menilai kekayaan melalui apa yang nampak secara fizikal seperti kereta mewah, rumah besar, pakaian berjenama, ramai terperangkap dalam “kaya tipu-tipu”: mewah di luar, rapuh di dalam.

Artikel ini menyelami perbezaan asas antara “kaya tipu-tipu” dan “kaya sebenar”, disokong dengan data pencapaian kewangan isi rumah Malaysia, untuk memberikan gambaran yang lebih bernas dan tidak klise.

1. Kaya Tipu-Tipu: Ilusi Kekayaan yang Rapuh

Golongan ini menumpukan kepada persepsi, mereka lebih mementingkan imej daripada asas kewangan yang sihat.

Ciri-ciri utama:

  • Aliran tunai rapuh dan aliran keluar lebih besar
  • Pendapatan besar habis dibelanjakan untuk pembayaran ansuran kereta, kad kredit dan gaya hidup. Walaupun gaji tinggi, kos perbelanjaan lebih menguasai.
  • Nilai bersih (net worth) negatif
  • Tiada simpanan atau nilai bersih positif. Aset yang dimiliki adalah atas nama pinjaman. Jika aset dijual sekalipun, hasilnya tidak cukup untuk membayar hutang.
  • Hutang tinggi dan “good debt” tiada
  • Gaya hidup dibiayai oleh hutang (BNPL), bukan pelaburan atau aset produktif.
  • Motivasi status, bukan kestabilan
  • Pembelian didorong oleh keinginan untuk menunjukkan kekayaan, bukan atas dasar keperluan

2. Kaya Sebenar: Kekayaan yang Kukuh, Terlihat Biasa

Golongan ini mungkin tidak menarik perhatian, tetapi struktur kewangan mereka teguh dan bebas dari tekanan luar.

Ciri-ciri utama:

  • Nilai bersih positif
  • Pendapatan pasif dari sewaan, pelaburan dan saham. Aset melebihi liabiliti.
  • Pendapatan pelbagai aliran
  • Gaji, sewaan hartanah, dividen saham, perniagaan, pengagihan risiko dan kestabilan jangka panjang.
  • Kecairan tunai mencukupi
  • Simpanan kecemasan yang mencukupi membolehkan ketenangan apabila berdepan krisis.
  • Hidup di bawah kemampuan

Walaupun berkemampuan, mereka memilih kesederhanaan kewangan demi ketenangan jangka panjang.

3. Statistik Malaysia: Menyokong Fenomena Kekayaan Tipu-Tipu vs Sebenar

i) Hutang Isi Rumah Tinggi

Sehingga hujung 2021, nisbah hutang isi rumah kepada KDNK Malaysia mencecah 89 peratus, antara yang tertinggi di Asia Tenggara. Ia merangkumi RM1.4 trilion hutang, 58 % bagi pinjaman perumahan, 13 % pinjaman kenderaan, 14 % pinjaman peribadi, dan 3 % kad kredit.

ii) Tabung Kecemasan Rendah

Hanya 40 peratus isi rumah menyangka mereka boleh bergantung pada simpanan sendiri atau keluarga jika menghadapi kecemasan.

Sebanyak 55 peratus responden melaporkan mereka mempunyai kurang daripada RM10,000 simpanan yang boleh diakses segera.

iii) Kadar Simpanan Rendah

Tahun 2022 mencatat kadar simpanan isi rumah (household savings rate) hanya sekitar 3 peratus daripada pendapatan boleh guna (disposable income).

Purata sebelum ini (2006–2013) lebih rendah, sekitar 1.4 hingga 1.6 peratus.

iv) Ketahanan Terhadap Kejutan Kewangan Lemah

Kajian mendapati hanya 10 peratus isi rumah bandar Malaysia benar-benar tahan terhadap kejutan kewangan seperti kehilangan pendapatan, kecacatan, atau kematian. Lebih daripada 20 peratus tidak mampu bertahan sekurang-kurangnya tiga bulan jika pendapatan terputus.

4. Implikasi dan Kesedaran Kewangan

Data menunjukkan ramai rakyat Malaysia berada dalam situasi “kaya tipu-tipu”: hidup mewah tetapi asas kewangan rapuh. Gagal memiliki simpanan kecemasan dan nisbah hutang tinggi mengancam daya tahan ekonomi isi rumah.

Langkah yang disarankan:

1. Meningkatkan literasi kewangan agar rakyat lebih faham risiko hutang dan pentingnya simpanan.

2. Mempromosikan pengurusan kewangan yang rasional seperti membina simpanan, elak gaya hidup melebihi kemampuan.

3. Sokongan dasar untuk menyediakan insentif tabungan (contoh: subsidi simpanan, pendidikan kewangan).

Tidak semua yang kelihatan hebat benar-benar kukuh. “Kaya tipu-tipu” adalah rentap jangka pendek yang menjerat manakal “kaya sebenar” adalah kestabilan yang dilandasi disiplin kewangan dan perancangan masa depan.

Data Malaysia menggambarkan bahawa masih ramai yang terjebak dalam ilusi, bukan realiti dan artikel ini diharap membuka mata kepada perlunya kebijaksanaan dalam membina kekayaan sejati bukan sekadar apa yang nampak, tetapi apa yang kekal dan tahan dalam ujian masa.