Mak Ayah, Selamatkan Anak Kita

Kita dulu hidup bukan senang sangat.
Nak makan KFC pun tunggu hujung bulan.
Nak mainan baru, tunggu hari jadi setahun sekali.
Sebab tu bila ada rezeki lebih sekarang, kita tak berkira untuk anak.

Anak minta mainan, kita belikan.
Anak nak kasut mahal, kita usahakan.
Anak merengek nak makan luar, kita ikutkan.

Niat kita baik, sebab nak bagi anak rasa senang yang kita tak pernah rasa dulu.
Tapi di sinilah silapnya.
Tanpa sedar, kita ajar mereka duit itu senang datang, senang hilang.

Tak salah nak gembirakan anak, tapi mungkin ada cara lebih baik iaitu didik mereka kenal erti duit sejak kecil.

1. Nilai Duit ≠ Belanja Duit

Bila anak minta iPad, si ayah tak terus belikan.
“Kalau nak sangat, ayah ajar kamu buat konten pasal hobi kamu. Kalau ada hasil sikit-sikit, simpan sampai cukup nanti beli sendiri. Ingat ya, jangan buat konten sampah atau fitnah orang. Duit halal lebih berkat.”

Dari kecil anak dah faham duit tu datang dengan usaha.

2. Keperluan vs Kehendak

Si anak merengek nak kasut Vans RM300.
Si ayah senyum dan tanya,
“Eh eh…Kasut kamu elok lagi kan? Jadi ni kehendak, bukan keperluan.”

Anak akan belajar beza antara survival dengan nak tunjuk gaya.

3. Berkongsi

Mak ayah akan selalu bawa anak hulur duit ke tabung masjid atau beri pada fakir miskin.
Atau bila lalu pasar malam, “Ambil duit ni, belikan kuih dari makcik tu. Jangan minta baki, kira itu sedekah kita untuk dia.”

Ingatkan juga si anak supaya jangan lupa juga pasal zakat. Zakat membersihkan harta kita dan melindungi rezeki. Bila kita keluarkan zakat, Allah janji rezeki kita akan lebih berkat dan dilipat gandakan.

Anak akan belajar duit bukan milik dia seorang tapi ada bahagian untuk orang lain juga.

4. Simpan

Duit raya, duit hadiah harijadi semua masuk tabung khas.
Kadang-kadang si ayah tunjuk statement simpanan anak,
“Tengok ni, ayah dah bukakan akaun Tabung Haji dan akaun emas atas nama kamu. Duit raya kamu ayah masuk sini. Makin lama makin bertambah sebab ada pulangan.”

Anak akan belajar menangguh keseronokan, bukan joli semuanya sekali gus.

5. Aset vs Liabiliti

Si anak nampak kawan-kawan dapat mainan baru.
Si ayah kata, “Robot ni bila patah tangan, terus tak ada harga. Tapi buku yang kamu beli, makin lama kamu baca makin banyak ilmu… itu yang tambah nilai.

Tengok goldbar ni. Masa ayah beli dulu harganya RM180 saja 1 gram. Sekarang dah dekat 3 kali ganda. Sebab tu emas ni dipanggil aset sebab dia simpan nilai. Maksudnya, barang yang makin lama makin mahal. Lagi lama kita simpan, lagi tinggi nilainya.

Saham pun sama. Contohnya saham G&%#$$. Ayah beli dulu RM2, sekarang dah jadi RM5 lebih. Setiap tahun pula ayah dapat dividen. Itu pun aset, sebab duit kita boleh bertambah.”

Anak akan nampak beza antara barang yang hilang nilai dengan harta yang tambah nilai.

Ini 15 Panduan Beginner Perlu Tahu Tentang Pelaburan Saham di Bursa Malaysia

6. Perlindungan

“Ayah, orang bayar takaful tiap bulan tu buat apa? Kan tak dapat barang pun?”

Si ayah senyum dan jawab,
“Itu untuk emergency. Tapi cuba bayang kalau ayah sakit dan tak boleh kerja. Gaji dah tak masuk, tapi bil hospital tetap kena bayar. Masa tu, siapa nak bayar bil hospital? Siapa nak belikan kamu makanan? Jadi kalau ada apa-apa jadi, syarikat takaful tu akan bagi duit untuk bantu kita. Biasanya jauh lebih banyak daripada apa yang ayah dah bayar.”

Tapi ingat, yang bagi rezeki, yang bagi sihat, yang jaga kita setiap masa tetap Allah. Kita cuma berusaha dan ikhtiar. Sama macam payung, kita beli dan simpan. Tapi yang turunkan hujan tetap Allah.”

Begitulah….

Mak ayah sekalian, selamatkan anak kita.
Belum terlambat untuk brainwash mereka dengan ilmu kewangan.

Kita sendiri nak sampai ke tahap senang hari ini ambil masa berbelas malah berpuluh tahun semata-mata nak ubah apa yang kita tak pernah diajar. Kenapa anak kita perlu ulang kesilapan sama?

Terus ajar mereka cara untuk dapat dengan senang melalui ilmu dan pengalaman yang kita sendiri dah lalui. Supaya mereka boleh belajar lebih cepat, lebih mudah, tanpa membazir masa.

Inilah beza pemikiran lama “bersusah-susah dahulu” dengan pemikiran baru “belajar dengan betul sejak awal”.

Kalau kita kekal dengan mindset lama, jangan pelik kita terus lambat dan ketinggalan berbanding orang lain.

Nak tahu cara sebenar untuk ajar anak tentang duit tanpa ulang kesilapan kita? Miliki buku kami yang telah banyak kali diulang cetak: MALAYSIA MELABUR.

Previous ArticleNext Article

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.