Liu Zhen: Wanita Di Sebalik Aplikasi TikTok

Di sebalik kejayaan lelaki, pasti ada seorang wanita yang berada di belakangnya. Itulah ungkapan popular yang sering digunakan oleh masyarakat kita untuk menggambarkan pentingnya peranan seorang wanita dalam kejayaan seorang lelaki.

Pada artikel yang lepas kita telah melihat sedikit latar belakang syarikat yang terkenal iaitu ByteDance. Ianya telah diasaskan oleh Zhang Yiming dan menjadi gergasi di dalam dunia teknologi sehingga menjadi pencabar terdekat kepada syarikat media sosial yang paling popular buat masa ini iaitu Facebook.

Tahukah anda selain Zhang Yiming iaitu pengasas kepada ByteDance yang mana merupakan pemilik aplikasi TikTok, syarikat ini dibantu oleh seorang wanita yang cukup mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan syarikat teknologi.

Wanita tersebut adalah Liu Zhen, insan yang sangat penting dalam perkembangan aplikasi TikTok terutamanya di Amerika Syarikat dan semakin popular di seluruh dunia.

Beliau merupakan graduan dari Universiti Renmin dan menyambung pengajiannya di dalam jurusan undang-undang di Universiti Berkeley, California. Setelah tamat pengajian didalam jurusan undang-undang,dia bekerja di sebuah firma perundangan di Fenwick & West LLC.

Firma guaman ini merupakan firma guaman yang terkenal dalam urusan pembelian atau pengambilalihan syarikat teknologi di Lembah Silikon.

Setelah bekerja selama 9  tahun di firma guaman tersebut, pada tahun 2015 beliau telah berjaya  menarik perhatian Travis Kalanick. Pengasas Uber ini telah mengambil Liu Zhen untuk bekerja dengan Uber.

Beliau dilantik sebagai Senior Vice President and Head of Strategy yang bertanggungjawab di dalam pengembangan operasi Uber di China pada ketika itu. Dia juga merupakan ahli keluarga orang yang berpengaruh di dalam syarikat teknologi di China yang mana merupakan anak saudara kepada pengasas syarikat Lenovo, Liu Chuanzhi dan sepupu kepada Liu Qing (Jean Liu) presiden syarikat Didi.

Jodoh bersama dengan Syarikat Uber tidak kekal lama kerana Uber tidak dapat berkembang dengan lebih baik akibat persaingan daripada Syarikat Didi. Akhirnya Uber telah menjual semua pegangan pasaranya di China kepada Didi.

Pada tahun 2016, Zhang Yiming berjaya memujuknya untuk bekerja dengan Syarikat ByteDance dan beliau dilantik sebagai Senior Vice President of Corporate Development. Zhang Yiming yang tidak mempunyai pengalaman di dalam pasaran teknologi Amerika Syarikat telah mengambilnya bagi mengembangkan lagi portfolio ByteDance di negara itu.

Pada tahun yang sama, ByteDance telah melancarkan satu aplikasi yang dikenali sebagai Douyin yang merupakan sebuah aplikasi muzik berbentuk pendek yang berjaya menarik golongan muda menggunakan aplikasi tersebut. Douyin kemudiannya dijenamakan sebagai TikTok di pasaran antarabangsa.

Langkah pertama yang dilakukan oleh Liu Zhen adalah membeli sebuah syarikat yang hampir sama dengan TikTok iaitu Musical.ly.

Pada tahun 2018, ByteDance telah membeli Musical.ly dan seterusnya menggabungkan aplikasi tersebut ke dalam TikTok di mana ia satu strategi yang sangat bijak bagi menembusi pasaran Amerika Syarikat dengan pengguna sedia ada.

Gandingan mantap di antara Zhang Yiming dan Liu Zhen menjadikan aplikasi TikTok menguasai pasaran media sosial dunia begitu berjaya sehingga Facebook sendiri akui bahawa aplikasi TikTok tersebut menguasai bilangan pengguna mereka dalam masa yang sangat singkat berbanding dengan Facebook.

Setelah hampir 4 tahun bekerja dengan ByteDance, Liu Zhen akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan kerjayanya itu di atas urusan peribadi.

Sumbangannya terhadap perkembangan ByteDance sehingga menjadi salah sebuah syarikat yang berpengaruh di dalam media sosial sungguh luar biasa.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.