5 Perkara Yang Perlu Dilakukan Jika Ingin Bertukar Kerja Semasa Krisis Ekonomi

Ketika krisis ekonomi berlaku, semua orang akan melalui kehidupan yang sukar. Ada yang kehilangan pendapatan dan ada juga yang diberhentikan. Bagi mereka yang masih mempunyai pekerjaan, bersyukurlah.

Namun ada juga yang sedang mempertimbangkan untuk menukar karier bagi memastikan pendapatan mereka terjamin walau apa pun yang berlaku.

Tetapi, jangan terlalu terburu-buru. Jika anda termasuk dalam golongan yang ingin menukar perkerjaan, jom kita persiapkan diri terlebih dahulu dengan melakukan perkara di bawah.

1. Tingkatkan Kemahiran Diri

Sebelum bertukar pekerjaan, lebih baik kita mempersiapkan diri dengan meningkatkan kemahiran dan belajar skill baru. Ambil kesempatan di musim PKP untuk mengasah bakat yang dapat digunakan dalam pekerjaan baru kita nanti.

Kalau boleh, jangan terhadkan diri anda kepada satu bidang sahaja. Seeloknya mahirkan juga diri dalam bidang lain. Ini akan memberikan kita lebih banyak pilihan sekiranya apa yang kita rancang itu tidak berhasil.

2. Bersedia Dengan Pelbagai Kemungkinan

Nak bertukar kerjaya bukanlah sesuatu yang mudah. Tambahan pula pada waktu yang sukar ini. Pastinya kita berdepan dengan ramai pesaing lain.

Adalah penting untuk kita bersedia daripada segi emosi dan fizikal bagi menghadapi fasa ini.

Sekiranya kita berjaya untuk menukar bidangdan kerjaya sekalipun, tanamkan sikap untuk sentiasa beringat dan bersedia daripada segi kewangan. Juga sediakan Plan B bagi menghadapi pelbagai kemungkinan yang mungkin akan muncul selepas ini.

3. Teruskan Apa Yang Sedang Dilakukan

Jangan terlalu leka untuk mengejar impian sehingga kita tidak mengambil berat dengan pekerjaan yang kita sedang lakukan sekarang. Sambil meningkatkan ilmu dan skill baru, asah juga kemahiran dalam bidang sedia ada.

Buat senarai kebaikan dan juga keburukan jika bertukar kerjaya. Ini bagi memastikan kita membuat keputusan yang tepat dan tidak memakan diri kita di kemudian hari.

4. Luaskan Networking

Nak bertukar bidang kerjaya pada musim pandemik ini, bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Kita perlu mempunyai jaringan sosial yang kuat yang boleh membantu kita mencari pekerjaan yang sesuai. Boleh juga kita bertanya dalam ‘network’ kita bagi mencari lubuk rezeki yang baru.

Mujurlah adanya pelbagai media sosial seperti Facebook, Twitter, LinkedIn dan sebagainya. Ianya dapat meluaskan perspektif dan pandangan yang jujur daripada mereka yang telah lama bekerja dalam bidang yang kita impikan itu.

5. Berbincang Dengan Ahli Keluarga

Sebelum membuat apa-apa keputusan, berbincanglah dahulu dengan keluarga dan juga teman-teman rapat yang mengenali kita. Pandangan mereka perlu juga diambil kira.

Ini kerana kita ingin membuat keputusan besar yang boleh mempengaruhi masa depan kita dan orang di sekeliling kita juga.

Keputusan untuk bertukar bidang kerjaya merupakan satu keputusan yang besar. Terutamanya dalam musim pandemik seperti sekarang. Jadi penting untuk kita mempertimbangkan perkara ini dengan sebaik-baiknya.

Sumber Rujukan: https://www.cnbc.com/2020/05/05/career-advice-tips-for-changing-jobs-during-the-pandemic.html

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.