Senarai 10 Pemain Bola Sepak Termahal Dunia Pada Ketika Ini

Sukan bola sepak merupakan sukan yang paling popular di muka bumi ini. Oleh yang demikian, setiap kelab bola sepak sanggup membelanjakan wang yang besar untuk membawa masuk pemain bertaraf superstar ke dalam kelab masing-masing.

Mari kita lihat senarai pemain bola sepak dengan nilai perpindahan tertinggi di dunia pada ketika ini.

1. Neymar (PSG)

Kredit Gambar: Forbes

Neymar merupakan tunjang utama pasukan Kebangsaan Brazil. Beliau merupakan bekas trio pasukan gergasi Barcelona bersama Leo Messi dan juga Luis Suarez.

Beliau membuat kejutan untuk keluar dari kelab Barcelona ke PSG dengan nilai perpindahan sebanyak €222 juta dan menimbulkan kemarahan peminat pasukan Barcelona itu sendiri.

Neymar dikatakan terlalu tamak dan tidak mementingkan semangat kesukanan dan hanya berminat dengan duit semata-mata. Beliau turut menerima bayaran gaji yang lumayan di kelab barunya ini.

2. Philippe Coutinho (Barcelona)

Kredit Gambar: Dream Team

Pembelian Philippe Coutinho oleh Barcelona merupakan salah satu faktor yang menyebabkan kelab tersebut mengalami masalah kewangan yang serius. Buat masa ini pembelian ini adalah pembelian yang merugikan Barcelona kelab tersebut mengeluarkan wang sebanyak € 145 juta tetapi menguntungkan pasukan Liverpool.

Sepanjang hampir dua tahun Philippe Coutinho di Barcelona dan tidak diberi peluang untuk menjadi pemain utama skuad terbabit di bawah dua jurulatih yang lepas, Ernesto Valverde dan juga Quique Setién.

Kini beliau berada di bawah kendalian jurulatih Barcelona yang baru dan ada harapan untuk bermain di dalam kesebelasan utama.

3. Kylian Mbappé (PSG)

Kredit Gambar: World Football Index

Beliau merupakan pemain muda yang paling menyinar di Perancis pada ketika ini. Bakatnya dikesan ketika dia bermain untuk skuad AS Monaco yang menyaksikan skuad berkenaan berjaya memasuki perlawanan separuh akhir pada musin 2016/2017 dan juga juara untuk Ligue 1.

Bakatnya itu telah menarik minat kelab gergasi Perancis, PSG untuk memiliki bintang tersebut untuk diserap dalam skuad utama. Beliau telah dibeli oleh kelab PSG dengan harga €145 juta.

4. Ousmane Dembélé (Barcelona)

Kredit Gambar: Le10 Sport

Merupakan salah seorang penyerang bagi pasukan Barcelona. Beliau merupakan salah seorang pemain termahal Barcelona selain Philippe Coutinho. Kerjayanya yang menyerlah ketika dia menyertai pasukan gergasi Jerman Borussia Dortmund.

Nilai transaksi yang dibayar oleh Barcelona adalah berjumlah €130 juta. Ousmane Dembélé merupakan watak penting dalam kejayaan Perancis di kejohanan Piala Dunia 2018 di Rusia.

5. João Félix (Atletico Madrid)

Kredit Gambar: Goal

Pemain muda yang berasal dari Portugal dan sangat licik di atas padang setelah menimba pengalaman di kelab Benfica. Kehebatannya telah menarik minat pesaing utama La Liga di Sepanyol, Atletico Madrid.

Beliau telah dibeli dari Benfica dengan harga sebanyak €127.2 juta. Apa yang menarik, Atletico Madrid bukanlah sebuah kelab yang dikategorikan sebagai kaya di Eropah tetapi mereka membeli pemain ini kerana melihat potensinya pada masa hadapan.

6. Antoine Griezmann (Barcelona)

Kredit Gambar: Squawka

Selain Kylian Mbappé, Antoine Griezmann juga penyerang berbisa yang dimiliki oleh Perancis pada ketika ini. Beliau merupakan tunjang utama kelab Atletico Madrid dan kelab tersebut merupakan kelab yang bertanggungjawab dalam mengasah bakat beliau di bawah bimbingan jurulatih Diego Simeone.

Beliau akhirnya telah berhijrah ke Barcelona dengan yuran perpindahan sebanyak €120 juta pada musim lepas dan kini menjadi penyerang utama.

7. Cristiano Ronaldo (Juventus)

Kredit Gambar: AA

Cristiano Ronaldo digelar Player Of the Century di Dubai baru-baru ini. Beliau mengecapi pelbagai anugerah di beberapa kelab yang berbeza terutamanya di Manchester United dan Real Madrid.

Beliau merupakan pemain yang membantu Portugal memenangi Kejohanan Eropah pada tahun 2016. Beliau berhijrah ke Juventus dengan nilai perpindahan sebanyak €117 juta ketika usianya sudah mencecah 33 tahun.

8. Eden Hazard (Real Madrid)

Kredit Gambar: ENAS

Merupakan kapten dan tunjang utama pasukan Kebangsaan Belgium. Beliau merupakan watak penting dalam pasukan Chelsea ketika menjadi  juara Liga Perdana Inggeris musim 2016/2017 di bawah kendalian Antonio Conte.

Real Madrid berminat untuk mendapatkan khidmatnya dan Eden Hazard juga menyatakan impianya untuk beraksi dengan Real Madrid. Beliau telah berhijrah ke Real Madrid dengan harga €115 juta pada tahun 2019.

9. Paul Pogba (Manchester United)

Kredit Gambar: Manchester Evening News

Pemain tengah yang paling popular di Liga Perdana Inggeris. Beliau merupakan pemain akedemi Manchester United dan kemudian berhijrah ke Juventus pada tahun 2012 secara percuma.

Dengan pengalaman selama tiga tahun di Itali, beliau kembali ke Manchester United di bawah kendalian Jose Mourinho dengan nilai perpindahan sebanyak €105 juta. Paul Pogba menjadi pemain termahal Manchester United.

10. Gareth Bale (Real Madrid)

Kredit Gambar: Talk Sport

Beliau merupakan pemain utama bersama-sama Cristiano Ronaldo dalam membantu kelab tersebut memenagi kejuaraan Liga Eropah sebanyak 4 kali pada dekad yang lepas.

Gareth Bale dibawa masuk dari kelab Tottenham Hotspurs pada tahun 2013 dengan nilai perpindahan sebanyak €101 juta dan merupakan pemain termahal pada ketika itu. Kecederaan yang membelenggu dirinya membuatkan dirinya kemudian sering disisih dalam skuad utama.

Beliau kemudianya kembali ke pangkuan kelab lamanya iaitu Tottenham Hotspurs secara pinjaman.

Sumber Rujukan: Statista

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

4 Prinsip Pelaburan Warren Buffett Yang Masih Berkesan

Warren Buffett bukan sekadar pelabur berjaya, tetapi simbol kepada disiplin, pemikiran rasional dan kesabaran dalam dunia pelaburan. Dengan rekod pulangan jangka panjang yang konsisten melalui Berkshire Hathaway, pendekatan Buffett sering dijadikan rujukan oleh pelabur di seluruh dunia termasuk pelabur runcit yang baru bermula.

Apa yang menarik, strategi Buffett tidak bergantung kepada ramalan pasaran, spekulasi jangka pendek atau trend semasa. Sebaliknya, beliau berpegang kepada prinsip asas yang ringkas tetapi sukar untuk diamalkan secara konsisten.

Artikel ini menghuraikan empat prinsip utama pelaburan ala Warren Buffett dan bagaimana ia boleh diaplikasikan oleh pelabur dalam konteks pasaran hari ini.

Prinsip 1: Melabur Dalam Perniagaan Yang Difahami

Salah satu prinsip paling asas tetapi sering diabaikan ialah keperluan untuk memahami perniagaan yang ingin dilaburkan. Bagi Buffett, membeli saham bermaksud membeli sebahagian daripada sebuah perniagaan sebenar, bukan sekadar membeli simbol atau kod saham di papan dagangan.

Buffett mengelakkan pelaburan dalam industri atau model perniagaan yang berada di luar lingkaran kefahamannya, walaupun sektor tersebut sedang popular atau mencatatkan kenaikan mendadak. Prinsip ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan fakta dan logik, bukan emosi atau tekanan pasaran.

Dalam konteks pelabur runcit, memahami perniagaan merangkumi:

  • Cara syarikat menjana pendapatan
  • Produk atau perkhidmatan utama
  • Kedudukan syarikat dalam industri
  • Faktor yang boleh menjejaskan kelangsungan keuntungan

Pelabur yang memahami perniagaan akan lebih tenang menghadapi turun naik harga saham kerana mereka menilai prestasi berdasarkan asas perniagaan, bukan pergerakan harga jangka pendek.

Prinsip 2: Memilih Syarikat Dengan Kelebihan Daya Saing Jangka Panjang

Buffett menekankan kepentingan melabur dalam syarikat yang mempunyai kelebihan daya saing mampan, atau sering dirujuk sebagai economic moat. Ini merujuk kepada keupayaan sesebuah syarikat untuk mengekalkan kedudukannya dalam pasaran dan melindungi keuntungan daripada ancaman pesaing.

Kelebihan daya saing ini boleh hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya:

  • Jenama yang kukuh dan dipercayai
  • Kos operasi yang lebih rendah berbanding pesaing
  • Rangkaian pelanggan yang setia
  • Halangan kemasukan yang tinggi dalam industri

Syarikat yang mempunyai moat biasanya lebih tahan menghadapi kitaran ekonomi, tekanan persaingan dan perubahan pasaran. Dalam jangka panjang, inilah jenis perniagaan yang mampu menjana pulangan konsisten kepada pemegang saham.

Buffett sendiri terkenal dengan pegangan jangka panjang dalam syarikat yang mempunyai ciri-ciri ini, seperti Coca-Cola dan American Express.

Prinsip 3: Fokus Kepada Nilai, Bukan Harga

Satu lagi kesilapan lazim pelabur ialah menyamakan saham murah dengan saham bernilai. Buffett membezakan dengan jelas antara harga pasaran dan nilai intrinsik.

Nilai intrinsik merujuk kepada nilai sebenar sesebuah perniagaan berdasarkan keupayaannya menjana aliran tunai pada masa hadapan. Harga saham pula dipengaruhi oleh sentimen pasaran, emosi pelabur dan faktor jangka pendek yang tidak semestinya mencerminkan prestasi sebenar syarikat.

Buffett terkenal dengan pendekatan membeli syarikat berkualiti pada harga yang munasabah, bukannya membeli syarikat biasa hanya kerana harganya murah. Pendekatan ini turut disokong oleh konsep margin of safety, iaitu membeli saham apabila harga pasaran berada di bawah anggaran nilai intrinsik bagi mengurangkan risiko kerugian.

Bagi pelabur, ini bermaksud:

  • Tidak mengejar saham semata-mata kerana ia sedang naik
  • Tidak panik menjual saham berkualiti hanya kerana harga sementara menurun
  • Memberi fokus kepada prestasi kewangan dan potensi jangka panjang

Prinsip 4: Kesabaran Sebagai Kunci Pulangan Jangka Panjang

Prinsip terakhir, dan mungkin paling sukar untuk diamalkan, ialah kesabaran. Buffett berulang kali menegaskan bahawa kejayaan pelaburan bukan bergantung kepada kebolehan meramal pasaran, tetapi kepada tempoh berada dalam pasaran.

Beliau percaya bahawa pelabur sepatutnya bersedia memegang saham berkualiti untuk jangka masa yang panjang, selagi asas perniagaan kekal kukuh. Pendekatan ini membolehkan pelabur mendapat manfaat daripada pertumbuhan perniagaan dan kesan gandaan (compounding) dari semasa ke semasa.

Dalam realiti pasaran moden yang dipenuhi dengan maklumat pantas dan turun naik harian, kesabaran sering diuji. Namun, sejarah menunjukkan bahawa pelabur yang berdisiplin dan berfokus kepada jangka panjang cenderung mencapai keputusan yang lebih baik berbanding mereka yang kerap keluar masuk pasaran.

Kesimpulannya, pendekatan pelaburan Warren Buffett tidak menjanjikan kekayaan segera, tetapi ia menawarkan sesuatu yang lebih penting: konsistensi, kawalan risiko dan ketenangan dalam membuat keputusan.

Empat prinsip utama yang boleh dirumuskan ialah:

  1. Melabur hanya dalam perniagaan yang difahami
  2. Memilih syarikat dengan kelebihan daya saing jangka panjang
  3. Menilai saham berdasarkan nilai, bukan harga
  4. Mengamalkan kesabaran sebagai strategi utama

Dalam dunia pelaburan yang semakin kompleks, prinsip-prinsip ini kekal relevan dan praktikal untuk pelabur yang ingin membina kekayaan secara berdisiplin dan berteraskan asas yang kukuh.