5 Perkara Yang Dilakukan Syarikat Besar di Singapura Sepanjang Pandemik Covid-19

Covid19 telah memberikan impak yang besar kepada ekonomi. Ia juga telah memberi kesan kepada peranan syarikat-syarikat besar. Jom kita lihat bagaimana syarikat-syarikat besar seperti 3M, Microsoft, Cisco, IDC dan DBS di negara jiran kita iaitu Singapura; menguruskan cabaran sepanjang Covid-19.

Singapura merupakan ibu pejabat kepada banyak syarikat besar Asia Pasifik, dan juga menjadi tumpuan untuk pelaburan. Pelaburan di Singapura sinonim dengan kestabilan walaupun terdapat isu geopolitik di seluruh dunia.

Namun, pandemik Covid-19 telah mengancam keseimbangan tersebut. Pihak berkuasa telah bertindak pantas dengan mengumumkan rangsangan ekonomi bernilai lebih daripada $73 bilion dolar, dengan pengumuman terbaru pada minggu lalu.

Syarikat-syarikat besar juga telah membantu menemukan peluang untuk melangkah ke hadapan. Mereka terdiri daripada syarikat-syarikat multinasional daripada pelbagai industri seperti pembuatan, perbankan dan teknologi.

1. Bertindak Balas Terhadap Krisis

Semasa wabak Covid-19 melanda, sektor pembuatan di Singapura yang merupakan sektor terbesar merupakan satu-satunya yang berkembang. Sektor ini meningkat sebanyak 2.5% kerana terdapat permintaan yang sangat tinggi terhadap barangan bioperubatan seperti sarung tangan dan topeng muka.

Syarikat pembuatan topeng muka, 3M berkata mereka telah belajar daripada wabak SARS yang melanda pada tahun 2003. Kali ini, operasi pengeluaran berjalan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan juga menghasilkan topeng muka N95 sebanyak dua kali ganda.

Pada separuh masa pertama tahun ini, mereka menghasilkan lebih daripada 800 juta alat pernafasan di seluruh dunia. Walaupun terdapat ancaman penutupan sempadan yang bakal mengganggu pengeluaran, mereka telah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Singapura bagi memastikan perniagaan terus bergerak dan menempatkan kakitangan tempatan yang berulang-alik di antara Singapura dan Malaysia.

2. Membantu Perniagaan Lain

Banyak perniagaan telah ditutup sempena penutupan ekonomi di seluruh negara sepanjang Covid-19. Sektor kewangan sangat penting dalam menyediakan dana untuk perniagaan tetap bertahan.

Mereka tahu perniagaan kecil dan sederhana (SME) adalah asas yang penting untuk suatu ekonomi. Syarikat SME ini memainkan peranan yang besar untuk menggerakkan aktiviti ekonomi dan juga mempunyai ramai pekerja.

Dana yang disediakan oleh pihak bank itu turut merangkumi kemudahan untuk lebih daripada 270,000 perniagaan kecil dan sederhana. Syarikat SME sahaja adalah 99 peratus daripada perniagaan di Singapura dan melibatkan 72 peratus tenaga kerja.

Dengan itu, bank terbesar di Asia Tenggara, DBS telah membuat pinjaman penambatan sementara bernilai $3.5 bilion dolar. Daripada jumlah ini, 87 peratus adalah untuk perniagaan kecil dan mikro.

3. Cara Bekerja Norma Baharu

Seperti di Malaysia juga, wabak Covid-19 telah membawa kepada perubahan landskap ekonomi. Penggunaan teknologi semakin meluas kerana perniagaan perlu menyesuaikan diri dengan cara bekerja baharu, iaitu secara atas talian (online).

Inilah yang dilakukan dengan bantuan daripada ibu pejabat syarikat Microsoft Asia Pasifik yang terletak di Singapura melalui produk Microsoft seperti Microsoft Teams dan Azure Cloud Computing.

Ketua Pegawai Operasi Microsoft APAC berkata, perubahan ini adalah transformasi digital dua tahun tetapi hanya berlaku dalam masa dua bulan sahaja disebabkan wabak Covid-19. Hal ini boleh dilihat daripada penggunaan Microsoft Teams yang meningkat sebanyak 500 peratus sepanjang Januari sehingga Mac tahun ini di China.

DBS juga mencatatkan peningkatan sebanyak 30 peratus dalam penggunaan perbankan digital pada separuh tahun pertama 2020 kerana ramai orang mencari cara baru untuk menjalankan perniagaan peribadi secara atas talian (online).

4. Membina Semula Ekonomi

Singapura menggunakan kaedah pendigitalan (digitalization) yang cepat untuk memulihkan ekonomi. Kajian telah dibuat oleh pihak Cisco dan firma penasihat IDC dan mereka menganggarkan menjelang tahun 2024, transformasi digital syarikat SME di Asia Pasifik boleh menambahkan $2.6 trilion sehingga $3.1 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau ini.

Singapura sebenarnya telah melabur besar untuk beberapa tahun melakukan transformasi digital ini. Tetapi, banyak perniagaan mengelak untuk berubah kepada platform digital. Namun, apabila Covid-19 melanda, barulah timbul kesedaran dan mula merancang untuk bertukar.

Pihak Microsoft menyasarkan untuk mereka menyimpan data secara “cloud computing” untuk menjaga keamanan data dan kemudian berubah model perniagaan mereka untuk masa depan.

5. Membawa Masyarakat Bersama

Syarikat-syarikat besar ini juga memainkan peranan mereka untuk membawa masyarakat bersama dalam perubahan menangani wabak Covid19. Untuk syarikat 3M, mereka akan bertindak pantas dan bekerjasama dengan pakar-pakar tempatan dan pihak kerajaan untuk lebih memahami perubahan ekonomi.

Bagi pihak Microsoft pula, mereka menggunakan data daripada produk mereka seperti Linkedin untuk membantu masyarakat menyiapkan diri. Mereka juga berjanji untuk memberikan latihan percuma kepada 25 juta orang pada tahun ini untuk melengkapkan pekerja dengan kemahiran digital.

DBS pula telah melancarkan DBS Stronger Fund bernilai $7.5 juta pada April lalu. Ini adalah untuk menyokong sebahagian Asia daripada wabak Covid19.

Di antara inisiatif yang dilakukan adalah seperti memperoleh makanan daripada kedai-kedai yang sukar mendapatkan jualan dan seterusnya mengagihkan makanan tersebut secara percuma kepada 700 ribu rakyat Singapura.

Ditulis oleh Abang Yazree Hazwan. Penulis merupakan seorang Eksekutif di sebuah syarikat penyelidikan pasaran di Malaysia. Mempunyai pengalaman dalam bidang insurans/reinsurans di syarikat reinsurans tempatan.

Sumber Rujukan: https://www.cnbc.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Akhirnya Ada Parti Politik Berani Tunjuk Ke Mana Duit Kempen Mereka Pergi

Parti BERSAMA sedang mendahului parti-parti lain dalam satu perkara yang jarang berlaku dalam politik Malaysia dengan mengemukakan data perbelanjaan pilihan raya kepada umum. Sumber: Malaysiakini – Bersama dedah belanja hampir RM800,000 kempen PRN Johor

Bagi sesetengah orang, mungkin ini sekadar laporan perbelanjaan kempen.

Tetapi kalau kita lihat dari sudut pelaburan dan kewangan, sebenarnya ada satu prinsip yang sangat mudah:

Kalau kita mahu orang percaya dan memberikan duit kepada kita, kita perlu bersedia untuk menunjukkan bagaimana duit itu diuruskan.

Bayangkan kita mahu melabur RM100,000 dalam sebuah syarikat.

Kita tentu mahu tahu berapa hasil syarikat, berapa kos operasi, berapa hutang, berapa keuntungan dan bagaimana pengurusan menggunakan wang syarikat.

Kalau pengurusan syarikat berkata,

“Percayalah. Kami akan urus duit dengan baik.”

Tetapi apabila kita minta penyata kewangan, mereka enggan tunjukkan, kita sendiri mungkin akan fikir dua tiga kali sebelum melabur.

Dalam pelaburan, ketelusan adalah sebahagian daripada kepercayaan.

Begitu juga dengan politik.

Dan di sinilah pendedahan BERSAMA menjadi menarik untuk diperhatikan.

Daripada jumlah perbelanjaan kepada sumber dana, rakyat diberikan peluang untuk melihat sendiri bagaimana wang kempen dikumpulkan dan dibelanjakan. Dalam penyata yang dilaporkan Malaysiakini, antara sumber dana ialah kutipan yuran keahlian, majlis makan malam pengumpulan dana dan sumbangan peribadi, manakala perbelanjaan termasuk deposit SPR, bahan kempen dan kerja pembersihan selepas kempen.

Patutkah ketelusan kewangan seperti ini menjadi satu standard baharu dalam politik Malaysia?

Menariknya, idea ketelusan kewangan politik ini bukanlah sesuatu yang baru. Pada 2012, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mencadangkan supaya semua sumbangan kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun rasmi parti, disertakan resit dan akaun tersebut diaudit setiap tahun.

Lebih sedekad kemudian, isu yang sama masih relevan. Bezanya, kali ini kita mula melihat parti politik mengambil langkah untuk mendedahkan sendiri data perbelanjaan pilihan raya kepada umum.

1. Rakyat adalah penyumbang kepada sistem politik

Parti politik mungkin menerima sumbangan daripada individu atau organisasi, tetapi dalam konteks yang lebih luas, aktiviti politik akhirnya berkait dengan wang dan sumber awam.

Sebab itu rakyat mempunyai kepentingan untuk tahu bagaimana sesebuah parti menguruskan kewangan kempen mereka.

Kalau kita boleh meminta syarikat yang kita labur supaya telus, tidak salah untuk kita mengharapkan tahap ketelusan yang lebih tinggi daripada organisasi politik.

2. Duit yang masuk dan duit yang keluar perlu boleh dikesan

Dalam dunia kewangan, kita bukan hanya tengok jumlah duit.

Kita mahu tahu cash flow.

Berapa duit masuk?

Dari mana?

Berapa duit keluar?

Dibelanjakan untuk apa?

Siapa penerimanya?

Perkara yang sama boleh diaplikasikan kepada kewangan politik.

Apabila data perbelanjaan pilihan raya didedahkan, rakyat boleh mula melihat aliran wang tersebut, bukannya hanya mendengar dakwaan bahawa semuanya diuruskan dengan baik.

3. Ketelusan mengurangkan information asymmetry

Dalam pelaburan, ada masalah yang dipanggil information asymmetry.

Maksud mudahnya, pihak pengurusan mungkin mempunyai lebih banyak maklumat berbanding pelabur.

Sebab itu syarikat perlu menyediakan laporan kewangan supaya pelabur tidak membuat keputusan dalam keadaan terlalu banyak maklumat yang disembunyikan.

Politik pun sama.

Parti tahu berapa banyak duit yang mereka terima dan bagaimana ia dibelanjakan.

Rakyat pula hanya nampak kempen di luar.

Jadi apabila data kewangan dibuka, jurang maklumat antara parti dan rakyat dapat dikurangkan.

4. Rakyat boleh menilai kecekapan penggunaan wang

Dalam pelaburan, kita bukan sekadar bertanya:

“Berapa banyak duit syarikat belanjakan?”

Kita juga akan bertanya:

“Apa yang kita dapat daripada duit tersebut?”

RM1 juta dibelanjakan untuk pemasaran tetapi jualan tidak meningkat, kita akan mula persoalkan keberkesanannya.

Begitu juga perbelanjaan pilihan raya.

Apabila data tersedia, kita boleh mula bertanya:

Berapa kos kempen setiap kawasan? Berapa banyak dibelanjakan untuk media sosial? Berapa untuk logistik? Berapa untuk bahan kempen?

Ini membuka ruang untuk menilai kecekapan, bukan sekadar jumlah perbelanjaan.

5. Kita sebenarnya bukan pelik kalau melihat amalan ini di negara lain

Pendedahan kewangan politik bukan sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa.

Di United Kingdom, Electoral Commission menerbitkan maklumat berkaitan sumbangan, pinjaman dan perbelanjaan parti politik serta calon kepada umum.

Di Amerika Syarikat, Federal Election Commission (FEC) pula menyediakan pangkalan data awam yang membolehkan orang ramai melihat maklumat kewangan kempen, termasuk sumbangan dan perbelanjaan calon serta jawatankuasa politik.

Di Australia, Australian Electoral Commission (AEC) juga mempunyai sistem funding and disclosure untuk meningkatkan ketelusan kewangan parti politik, calon dan pihak yang terlibat dalam pilihan raya.

Maknanya, idea untuk rakyat melihat money in dan money out dalam politik sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Bezanya, di sesetengah negara ia merupakan sebahagian daripada sistem pendedahan yang diwajibkan dan diselia oleh badan pilihan raya.

Jadi kalau parti politik Malaysia mula mengambil inisiatif untuk membuka data kewangan mereka kepada umum, ia boleh dilihat sebagai satu langkah ke arah budaya politik yang lebih telus.

6. Boleh membina rekod kewangan yang boleh dibandingkan

Pelabur tidak menilai syarikat berdasarkan satu laporan sahaja.

Mereka melihat prestasi dari tahun ke tahun.

Begitu juga dengan parti politik.

Kalau setiap pilihan raya mereka mendedahkan data kewangan, lama-kelamaan akan wujud satu rekod yang boleh dibandingkan.

Berapa banyak dana diterima?

Berapa banyak yang dibelanjakan?

Adakah perbelanjaan semakin cekap?

Adakah kos kempen meningkat?

Adakah sumber pembiayaan berubah?

Ini menjadikan rakyat bukan sekadar pengundi, tetapi pihak yang boleh membuat penilaian berdasarkan data.


Sebab itu kami melihat pendedahan perbelanjaan pilihan raya sebagai satu langkah yang positif.

Bukan kerana mendedahkan data automatik bermaksud sesebuah parti itu lebih baik daripada parti lain.

Tetapi kerana ketelusan memberikan kita maklumat untuk membuat penilaian sendiri.

Dalam pelaburan, kita selalu diajar:

Jangan melabur hanya kerana percaya. Tengok laporan kewangan.

(Walaupun… tengok laporan kewangan pun belum tentu tak kena scam!)

Dalam politik pun mungkin prinsip yang sama patut digunakan:

Jangan hanya dengar janji. Tengok juga bagaimana wang diuruskan.

Kalau lebih banyak parti mula melakukan perkara yang sama, kita mungkin dapat membina satu budaya politik yang lebih matang di mana data kewangan menjadi sebahagian daripada akauntabiliti politik, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kerana akhirnya, sama ada kita bercakap tentang melabur dalam sebuah syarikat atau memilih sebuah parti politik, prinsipnya hampir sama:

Beri kita data. Kemudian biar rakyat membuat penilaian.

Penafian: Artikel ini bertujuan membincangkan kepentingan ketelusan dan pendedahan kewangan dalam politik dari perspektif kewangan dan tadbir urus. Ia bukan bertujuan menyokong atau menolak mana-mana parti politik, calon atau individu. Sebarang angka, fakta dan maklumat berkaitan perbelanjaan kempen adalah berdasarkan sumber yang dinyatakan dan hendaklah dirujuk kepada sumber asal untuk konteks penuh.