Awas Scam 40/40/40 Ini, Dah Ramai Yang Terjebak

Sedar atau tidak, pasti ramai yang dah terlibat dengan scam paling besar abad ini. Kita ingatkan kita dah cukup ilmu, dah buat benda yang betul, tapi masih terkena dengan penipuan ini.

Apa Dia Scam 40/40/40 Ni?

Terlalu ramai orang:

  • Yang bekerja 40 jam seminggu
  • Selama 40 tahun kehidupan
  • Bersara dengan 40% yang kita miliki

Dengan erti kata lain, kita semua telah tertipu dengan ‘Pekerjaan’.

Masih belum sedar daripada dibuai mimpi lagi? Jom kita tengok beberapa statistik daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkenaan rakyat Malaysia.

Cuma 18% Capai Sasaran KWSP Menjelang Umur 55

Pada tahun 2017, KWSP telah menaikkan sasaran simpanan minima pada umur 55 tahun kepada RM228,000 daripada RM197,000. Namun, hanya 18% daripada pencarum KWSP mencapai sasaran tersebut berbanding 50% yang disasarkan oleh KWSP menjelang tahun 2021. Ini disebabkan banyak faktor, di antaranya dividen KWSP yang menurun dan banyaknya pengeluaran yang dibenarkan seperti perumahan, kesihatan, pendidikan, pergi haji dan sebagainya.

4 Fakta Membimbangkan Mengenai Simpanan KWSP:

  1. 68% daripada pencarum KWSP berumur 54 tahun dan ke bawah hanya mempunyai kurang daripada RM50,000.
  2. Kelompok 20% terbawah pencarum KWSP mempunyai simpanan purata sebanyak RM6,909
  3. Daripada 32 juta rakyat Malaysia, 69% tergolong dalam ‘umur bekerja’ iaitu di antara 15-65 tahun. Hanya 48% daripada golongan ini mempunyai akaun KWSP yang aktif.
  4. 70% pencarum yang mengeluarkan simpanan pada umur 55 tahun, menghabiskannya dalam masa kurang daripada 10 tahun.

Apa Yang Boleh Kita Buat?

Kerja, kerja, kerja. Bila dah kerja, dapat gaji tu nak buat apa?

Ianya berbalik kepada asas pengurusan kewangan seperti yang digambarkan piramid kewangan di atas.

1. Adakah anda mempunyai perlindungan?

Mengikut statistik, Hanya 15% Rakyat Malaysia Ada Takaful. Ianya adalah satu statistik yang sangat menyedihkan. Perlindungan merupakan perkara yang paling asas semua orang patut ada, tapi masih ramai lagi yang tidak mempunyainya.

2. Adakah anda mempunyai simpanan?

Kita disarankan untuk mempunyai simpanan sebanyak 3-6 bulan daripada gaji bulanan kita. Kalau kita mempunyai gaji sebanyak RM3,000, pastikan kita mempunyai sekurang-kurangnya RM9,000 dalam akaun simpanan untuk bersedia dengan sebarang musibah.

Tetapi Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri menyatakan bahawa: 3 daripada 4 rakyat Malaysia tidak mampu menyediakan RM1,000 jika berlaku kecemasan.

3. Adakah anda mempunyai pelaburan?

Bila bercerita tentang pelaburan, memang best. Boleh dikatakan topik yang paling hangat untuk dijadikan perbincangan adalah pelaburan. Habis tu kenapa kita pergi join skim cepat kaya? Baca saja berkenaan Kerugian Dianggar RM3.8 bilion. PDRM Dedahkan 30 Syarikat Tawar Skim Tidak Sah.

Hampir sejuta rakyat Malaysia yang tertipu dengan skim-skim penipuan. Ini yang dilaporkan, yang tidak dilaporkan agak-agaknya banyak lagi tak?

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.