3 Faktor Penghalang Seorang Usahawan Sukar Untuk Kembangkan Bisnes

Nak mulakan sesebuah bisnes, memang mudah. Ada modal, terus boleh mula bisnes.

Tidak kira sama ada bisnes jual air atau bisnes ribu-ribu ringgit. Dari sekecil-kecil bisnes hinggalah ke sebesar-besar bisnes. Ada juga bisnes yang tak perlu modal pun, cuma perlu masa dan tenaga.

Namun, apa yang sukar adalah apabila anda perlu bertahan lama dalam bisnes yang telah anda jalankan. Bagaimana caranya untuk menjadikan anda dan juga bisnes berdiri teguh menempuhi segala kejatuhan yang berlaku sepanjang berbisnes?

Cabaran tersebut boleh datang daripada diri anda sendiri sebagai peniaga ataupun daripada bisnes yang anda bangunkan.

Mari sama-sama lihat apakah yang menyumbang kepada faktor penghalang bagi anda yang bergelar usahawan untuk mengembangkan bisnes anda ke peringkat yang lebih tinggi.

1. Matlamat Yang Tidak Jelas

Dalam apa jua perkara yang anda lakukan perlulah diiringi dengan matlamat. Jika tiada matlamat, bagaimana sesuatu yang anda akan usahakan itu hendak terlaksana?

Tujuan utama meletakkan matlamat yang jelas adalah untuk memastikan anda mempunyai hala tuju yang ingin anda pergi. Jika matlamat anda tidak jelas, ianya akan menyukarkan anda untuk membuat langkah-langkah yang diperlukan untuk mencapai matlamat tersebut.

Sebagai contoh, anda sasarkan untuk mencapai angka jualan RM10,000 pada bulan ini. Sebulan kita ada 30 hari, maka sehari anda kena ada jualan sebanyak RM333.33.

Jika anda menjual secara online sebagai contoh, berapa ramai orang kena layari laman web anda? Kemudian berapa ramai pula yang kena PM atau WhatsaApp anda yang menunjukkan minat untuk beli? Ianya juga dikenali sebagai funnel.

Nak menjual, kena buat marketing, kena tarik perhatian pelanggan. Lagi ramai prospek, lagi tinggi peluang untuk mereka beli dari anda.

2. Banyak Rehat

Ada ke usahawan yang terlalu banyak masa untuk berehat? Tidak dinafikan, untuk menjadi seorang yang berjaya dalam bisnes, banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Salah satunya adalah masa rehat yang terpaksa dikorbankan.

Jika orang lain dapat rehat dan tidur selama 7 jam sehari, berbeza pula dengan anda yang bergelar usahawan. Kemungkinan, anda hanya ada masa rehat dan tidur selama 3-4 jam sehari.

Selebihnya adalah bekerja keras untuk memastikan bisnes anda berjalan lancar dengan kadar keuntungan yang anda inginkan. Pada awalnya memang agak susah sikit, tetapi lama kelamaan ia menjadi seperti alah bisa tegal biasa.

3. Kurangnya Ilmu

Bila mana anda telah menjadi seorang usahawan, tak semestinya anda sudah memiliki ilmu yang cukup padu dalam dunia perniagaan. Jika anda merasakan diri anda hebat, memang sukar untuk perbaiki diri.

Jika anda melihat kepada usahawan-usahawan lain yang telah berjaya, mereka sebenarnya masih mencari ilmu-ilmu yang perlu supaya perniagaan mereka semakin berkembang maju.

Sekiranya anda ingin berjaya seperti usahawan lain, buang rasa ego dalam diri dan rendahkan diri untuk menimba ilmu daripada sifu-sifu perniagaan yang hebat di luar sana.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Malaysia Akan Menganjurkan Persidangan E-Dagang ASEAN Pertama

Bersempena dengan Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada tahun ini, Malaysia bakal menjadi tuan rumah Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 (ASEAN E-Commerce Conference 2025) yang akan berlangsung pada 24 hingga 25 November 2025 di Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Persidangan dua hari ini dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama strategik bersama Malaysia E-Commerce Chapter di bawah Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI).

Persidangan yang bertemakan “ASEAN E-Commerce Transformation: Bridging Gaps, Enhancing Competitiveness” yang julung kalinya diadakan ini akan menghimpunkan penggubal dasar, agensi-agensi kawal selia, pemain-pemain industri dan usahawan dalam talian dari seluruh negara ASEAN untuk membincangkan hala tuju strategik transformasi e-dagang serantau yang dinamik dan berdaya saing. Persidangan ini turut disokong oleh pemain-pemain industri e-dagang terkemuka dalam negara seperti Shopee, Lazada, TikTok Shop, Mudah.my dan Carousell serta penaja bersama yang lain.

Kerjasama strategik antara KPDN dan pemain utama industri e-dagang ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kepercayaan digital, mendorong inovasi serta memastikan pertumbuhan ekonomi digital yang inklusif di peringkat serantau. Persidangan ini turut menekankan aspek pengukuhan kawal selia perlindungan pengguna serta pembangunan ekosistem digital yang mampan dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (ASEAN Digital Economy Framework Agreement, DEFA) yang kini sedang dimuktamadkan.

Objektif persidangan ini ialah menjadikan e-dagang sebagai pemacu utama ekonomi ASEAN dan memperkukuh kawal selia perlindungan pengguna. Fokus utama terbahagi kepada dua teras utama berikut:

  • Mewujudkan pasaran e-dagang yang diyakinimeliputi usaha memperkukuh perlindungan pengguna dalam talian, cabaran kawal selia rentas sempadan, isu berkaitan cetak rompak digital dan penjualan barangan tiruan; dan
  • Memperkasa ekosistem digitalsebagai peluang untuk memperkukuh ekonomi digital ASEAN termasuk mempertingkatkan jaringan logistik last-mile, akses kepada kewangan digital seperti Buy Now Pay Later (BNPL) dan usaha memperkasa usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui e-dagang.

MICCI yakin bahawa e-dagang berupaya mengubah ekonomi, memperkasa komuniti dan membina daya tahan di seluruh ASEAN. Namun, ia memerlukan kesepakatan dari aspek peraturan, kesiapsiagaan ekosistem, dan kerjasama rentas sempadan. Persidangan ini bakal menjadi platform untuk memperkukuh dialog antara industri dan pengawal selia, serta membina ekosistem inklusif di mana semua, daripada platform global hingga PMKS luar bandar, mampu berkembang.

Persidangan ini dijangka menarik penyertaan lebih 350 peserta termasuk wakil-wakil dari negara-negara ASEAN dan akan menampilkan Sesi Perbincangan Panel dan Sesi Perkongsian bersama tokoh industri dan penggubal dasar yang akan berkongsi pandangan strategik berkaitan dasar, inovasi serta cabaran industri
e-dagang sejajar dengan matlamat memperkukuh ekosistem e-dagang serantau. Sebanyak 14 sesi melibatkan 33 ahli panel merangkumi gabungan sektor awam serta swasta dari dalam dan luar negara telah dijadualkan.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Ucaptama akan disampaikan oleh Encik James Dong, Presiden, International Marketplace, Alibaba International Digital Commerce Group, barisan penceramah berprofil tinggi daripada sektor awam dan swasta, termasuk tokoh-tokoh penting yang akan berkongsi pandangan dan pengalaman dalam bidang e-dagang serta transformasi digital seperti berikut:

  • YBhg. Datuk Roziah binti Abudin

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) KPDN;

  • Encik Zhou Jun Jie

Ketua Pegawai Komersial, Shopee (Singapore) Pte Ltd;

  • YBhg. Dato’ Indrani Thuraisingham

Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA);

  • Puan Wimonrat Rukkhaworakul Teriyapirom

Pengarah

International Cooperation Section, Office of the Consumer Protection Board of Thailand

  • Encik Eric Pelletier

Naib Presiden

Ketua Hal Ehwal Kerajaan Antarabangsa, Alibaba Group;

  • Cik Saovanee Somchit

Pengarah

Shopee Malaysia

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai pendapatan tahunan sektor e-dagang mencatatkan peningkatan saban tahun dengan rekod bagi tahun 2024 mencecah nilai RM1,230.6 bilion. Terkini, untuk suku pertama dan kedua tahun 2025 sahaja; pendapatan e-dagang sudah mencapai RM625 bilion. Angka ini sahaja sudah RM13.5 bilion lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Di peringkat ASEAN, Laporan e-Conomy SEA 2024 oleh Google, Temasek dan Bain & Company melaporkan ekonomi digital ASEAN menjana pendapatan sebanyak USD11 bilion pada tahun 2024, hampir tiga kali ganda berbanding tahun 2022. Nilai ekonomi digital serantau dijangka mencapai USD1 trilion menjelang 2030, dengan e-dagang sebagai sektor paling pesat berkembang.

Ia diunjurkan mencatat pertumbuhan tahunan sebanyak 22%, dengan nilai dagangan kasar (Gross Merchandise Value – GMV) mencecah sekitar USD230 bilion menjelang 2026.

KPDN ingin mengalu-alukan penyertaan semua pihak yang berminat daripada agensi-agensi kerajaan, pemain industri, ahli akademik, usahawan e-dagang dan badan-badan bukan kerajaan untuk turut sama menyertai persidangan ini. Pendaftaran bagi Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 kini dibuka kepada semua pihak yang berminat dan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web rasmi berikut https://www2.micci.com/asean-e-commerce-conference-2025. Promosi harga tiket awal (Early Bird) juga akan ditawarkan sehingga 15 Oktober 2025. Penyertaan semua pihak dalam persidangan ini amat penting bagi memperkukuh ekosistem digital serantau serta melonjakkan agenda ekonomi digital negara. KPDN kekal komited sebagai pemangkin kerjasama strategik, perlindungan pengguna dan pembangunan e-dagang yang mampan demi manfaat rakyat dan kesejahteraan serantau.