BNPL: Trend Kes Bayaran Balik Tidak Mengikut Jadual Meningkat

KUALA LUMPUR,  29 Mac (Bernama) – Skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) terus disasarkan kepada segmen terpilih isi rumah Malaysia dengan sebahagian besar penggunanya merupakan peminjam yang lebih muda dan berpendapatan lebih rendah.

Bukti anekdot dalam kalangan peserta BNPL lebih besar  terpilih menunjukkan trend yang semakin meningkat bagi kes bayaran balik pinjaman tidak mengikut jadual, sekali gus menunjukkan bahawa risiko tersebut mungkin meningkat.

Bahagian pengguna BNPL dengan bayaran tertunggak adalah seperti berikut : Suku keempat (S4 2022: 17 peratus; S2 2022: 14 peratus; S4 2021: tujuh peratus),  demikian menurut Bank Negara dalam Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua – 2022 yang dikeluarkan di sini hari ini.

“Kira-kira 44 peratus pengguna BNPL berumur antara 18 hingga 30 tahun. Lebih daripada 80 peratus pengguna BNPL berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan, dan akibatnya mereka lebih mudah terdedah kepada tekanan kewangan,” kata BNM.

Akses yang lebih mudah bagi kemudahan BNPL boleh mendorong pengguna terdedah pada risiko yang lebih tinggi untuk berbelanja melebihi kemampuan tanpa mempertimbangkan keupayaan mereka untuk membayar balik jumlah pinjaman penuh dengan segera.

Kurangnya ketelusan terhadap maklumat fi dan caj, khususnya caj pembayaran lewat dan fi pemprosesan yang dikenakan di bawah skim ini, bermakna pengguna juga mungkin tidak menyedari jumlah keseluruhan yang perlu dibayar, kata BNM.

Risiko kestabilan kewangan yang berkaitan dengan skim BNPL kekal terhad berikutan dedahan BNPL hanya mencakupi 0.05 peratus daripada jumlah hutang isi rumah.

Walau bagaimanapun, Bank menyedari risiko amalan yang ditimbulkan oleh BNPL terhadap pengguna dan telah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkannya, terutamanya bagi skim BNPL yang ditawarkan oleh entiti yang dikawal selia oleh Bank.

Usaha kurangkan risiko pengumpulan jumlah hutang dalam kalangan orang muda

Kementerian Kewangan, Bank dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia terus komited untuk mempercepat pembentangan cadangan Akta Kredit Pengguna (Consumer Credit Act, CCA).

Apabila dilaksanakan kelak, penyedia kredit bukan bank seperti penyedia BNPL akan diwajibkan untuk mematuhi standard kehematan dan amalan yang relevan.

Selain menggalakkan medan persaingan yang sama rata antara bank-bank dengan penyedia BNPL bukan bank, usaha berterusan ini bertujuan untuk memberikan pengguna kewangan perlindungan pada tahap yang sama berhubung dengan skim BNPL tanpa mengira penyedia yang berurusan dengan mereka.

Usaha ini juga akan membantu mengurangkan risiko pengumpulan jumlah hutang yang berlebihan dalam kalangan peminjam yang lebih muda dan berpendapatan lebih rendah.

Risiko kredit daripada sektor isi rumah kekal terurus

Pada separuh kedua tahun 2022, pertumbuhan suku tahunan hutang isi rumah adalah lebih tinggi, iaitu pada 1.5 peratus, sejajar dengan keadaan pasaran pekerja dan pendapatan yang bertambah baik .

 Hasilnya, hutang isi rumah berkembang pada kadar tahunan yang lebih cepat, iaitu sebanyak 5.5 peratus (Jun 2022: 5.3 peratus).

Walau bagaimanapun, nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus merosot kepada 81.2 peratus (Jun 2022: 84.5 peratus), susulan KDNK nominal yang berkembang pada kadar yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun 2022, katanya.

Hutang isi rumah terus didorong oleh pinjaman perumahan, lantas menunjukkan permintaan yang mampan untuk pembelian rumah susulan pelbagai langkah yang telah diperkenalkan untuk menggalakkan pemilikan rumah.

Pertumbuhan pinjaman kenderaan juga telah meningkat disebabkan oleh pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi untuk pembelian kenderaan semasa tempoh pengecualian cukai jualan (Disember 2022: 7.0 peratus, Jun 2022: 4.2 peratus).

Pinjaman kad kredit terkumpul juga mencatatkan pertumbuhan yang lebih cepat pada tempoh tersebut. Walau bagaimanapun, bahagian hutang isi rumah yang disebabkan oleh pinjaman penggunaan kekal tidak berubah.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH, Kementerian Kewangan Akan Mula Perbincangan Berkaitan Pengambilan Semula Asetnya

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) akan memulakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan berkaitan pengambilan semula asetnya yang dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd. 

Menurut TH dalam kenyataan hari ini, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pemindahan semula aset-aset TH yang dipindahkan kepada Kementerian Kewangan pada 2018.

“TH sentiasa terbuka kepada semua peluang pelaburan yang boleh memberi nilai tambah kepada institusi dan juga pendeposit khususnya.

“Usaha ini juga akan dikaji secara terperinci dan akan melalui proses dan tatakelola sedia ada. TH akan membuat pengumuman seterusnya berkenaan perkara ini pada masa yang sesuai,” menurut institusi pengurusan haji negara.

Urusharta Jamaah ialah sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan memulakan perbincangan bagi menyerahkan semula sebahagian aset TH setelah meneliti laporan awal serta melihat TH kembali diurus dengan baik, peningkatan keyakinan pendeposit serta pengurusan cekap dan berintegriti oleh kepimpinan baharu TH.

— BERNAMA