Boost Bank, Aeon Bank Beroperasi Sebagai Bank Digital Pada 15 Januari

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) — Boost Bank Bhd dan Aeon Bank (M) Bhd telah memperoleh kelulusan rasmi daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk memulakan operasi sebagai bank digital berkuat kuasa pada 15 Jan, 2024.

Boost Bank dimiliki oleh Konsortium Boost-RHB Digital Bank dengan Boost Holdings Sdn Bhd memegang 60 peratus kepentingan ekuiti dan baki 40 peratus milik RHB Bank Bhd manakala Aeon Bank adalah 50 peratus syarikat sekutu Aeon Credit Service (M) Bhd.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, RHB Bank berkata konsortium berkenaan menerima kelulusan yang lebih awal daripada dijadualkan menerusi semakan operasi menyeluruh serta disahkan oleh BNM.

“Ini satu detik bermakna apabila konsortium menjadi bank digital pertama milik Malaysia yang beroperasi dengan aplikasi direka khusus bagi menangani jurang keterangkuman kewangan untuk kalangan yang kurang serta tidak mendapat perkhidmatan (akses perbankan),” katanya.

Menurut RHB, sekiranya berlaku keadaan Boost Bank terpaksa melaksanakan pelan menamatkan operasi di peringkat awal, RHB Bank dan Boost perlu menyediakan dana sewajarnya kepada pegangan dalam Boost Bank.

“Ini bagi memastikan Boost Bank mempunyai dana mencukupi untuk menampung obligasi dan liabiliti yang ada, termasuk deposit pelanggan,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia, Aeon Credit Service mengumumkan kejayaan Aeon Bank mendapat kelulusan daripada bank pusat dan MOF bagi memulakan operasi perbankan digitalnya di negara ini.

“Perkembangan itu sekali gus menjadikan Aeon Bank sebagai bank digital Islam pertama di Malaysia yang mana kelulusan diberikan susulan pengesahan BNM terhadap kesediaan operasi bank berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aeon Bank Raja Teh Maimunah berkata sejajar kedudukan sebagai antara jenama isi rumah runcit paling dikenali di Malaysia, bank itu menyasarkan untuk menyediakan penyelesaian perbankan digital, keterangkuman dan patuh Syariah yang mudah diakses bagi kumpulan pelanggan Aeon serta semua rakyat Malaysia.

Bersempena pelancaran sebagai bank digital, Aeon Bank merancang untuk turut memperkenalkan aplikasi baharunya secara berperingkat dan bermula dengan fasa pengujian beta eksklusif dalam kalangan pekerjanya.

“Aeon Bank menyasarkan untuk melancarkan fasa permulaannya secara berperingkat dalam separuh pertama tahun ini,” katanya.

— BERNAMA

Download aplikasi Aeon Bank di Google Play Bank atau App Store. Jangan lupa masukkan kod AB524688 untuk terima 1,000 AEON Points (bernilai RM5) percuma!

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA