Ringgit Menonjol Tahun Ini Selepas Cecah Paras RM4.40 Berbanding Dolar US

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) — Ringgit dijangka menjadi salah satu mata wang yang berprestasi cemerlang di rantau ini pada 2024 jika ia mengakhiri tahun ini pada paras RM4.40 berbanding dolar US, kata Affin Group.

Ketua Ekonomi Affin Group, Alan Tan Chew Leong berkata ringgit akan melonjak susulan prospek penurunan kadar faedah di peringkat global termasuk lebihan akaun semasa negara serta disiplin fiskal yang kukuh dan inflasi yang lebih rendah di dalam negara.

“Ringgit agak lemah pada 2023 berbanding mata wang serantau seperti rupiah Indonesia, baht Thailand, peso Filipina, yen Jepun dan renminbi China. 

“Bagaimanapun, disebabkan pemulihan ekonomi yang akan menjadi lebih mantap pada 2024, kita menjangkakan ringgit dan yen meningkat tahun ini,” katanya pada taklimat media mengenai pembentangan “Makro dan Tinjauan Pasaran 2024” bank itu di sini hari ini.

Tan berkata kenaikan ringgit akan ditentukan pasaran apabila sentimen pelabur bertambah baik di tengah-tengah pengukuhan asas ekonomi negara dengan kemungkinan penilaian yang lebih unggul daripada agensi penarafan kedaulatan.

Jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan terus menyokong ringgit, tambahnya.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, kita telah melihat (peluasan) perbezaan kadar faedah serantau, dengan AS menunjukkan arah aliran lebih tinggi, oleh itu aliran keluar modal kembali kepada aset yang dikuasai AS.

“Kemungkinan besar, mulai separuh kedua 2024, Rizab Persekutuan AS akan menormalkan atau mengurangkan kadar faedah, manakala bank pusat utama di rantau ini mengekalkan kadar, (jadi) kita akan melihat semula, lebih banyak aliran masuk modal ke rantau ini. Ini akan membantu merangsang sentimen positif untuk ringgit…kita akan melihat trend yang sama bukan sahaja ke atas ringgit tetapi juga dalam mata wang serantau,” katanya lagi.

Tan meramalkan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia tidak berubah sepanjang tahun ini memandangkan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi di AS, dengan Rizab Persekutuan mula mengurangkan kadar utama sebanyak 25 mata asas dalam mesyuarat September, diikuti dengan lebih banyak pemotongan menjelang November dan Disember iaitu sebanyak 50 mata asas.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

BNM Pastikan Pasaran Kewangan Kekal Teratur Hadapi Ketidaktentuan Global

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) — Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) akan memastikan pasaran kewangan kekal teratur dan sistem kewangan negara terus berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global melalui pemantauan pasaran yang berterusan, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF berkata BNM melaksanakan pelbagai rangka kerja pengurusan risiko yang menyeluruh bagi memastikan kestabilan nilai ringgit serta daya tahan sistem kewangan negara.

Katanya, pergerakan ringgit terus ditentukan oleh pasaran.

“BNM tidak menyasarkan sebarang paras nilai ringgit. Tumpuan BNM adalah untuk memastikan nilai ringgit didagangkan dalam keadaan yang teratur.

“BNM akan terus memantau keadaan pasaran pertukaran asing domestik dan sentiasa bersedia mengambil langkah yang sewajarnya sekiranya terdapat pergerakan mata wang yang tidak teratur,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

MOF berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengenai bentuk pengurusan risiko yang dilaksanakan BNM bagi memastikan kestabilan nilai ringgit serta daya tahan sistem kewangan negara dan apakah petunjuk prestasi utama (KPI) yang digunakan oleh BNM bagi menilai kejayaan pengurusan risiko ini.

Bagaimanapun, MOF berkata kerajaan serta BNM juga mengambil tindakan bersepadu dan terselaras bagi membawa masuk aliran wang ke dalam pasaran pertukaran mata wang asing yang seterusnya dapat menstabilkan nilai ringgit.

“Ini termasuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk membawa balik pendapatan pelaburan asing dan menukarkan pendapatan tersebut kepada ringgit dengan lebih konsisten.

“BNM juga melaksanakan program syarikat pelabur pemastautin yang berkelayakan (QRI) pada Julai 2025 untuk terus menyokong aliran dana dua hala dalam pasaran tukaran asing,” katanya.

Menurut MOF, setakat 1 Mac, 2026, nilai ringgit terus meningkat sebanyak 4.31 peratus kepada RM3.89 berbanding US dolar. Kadar kenaikan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ini merupakan antara yang tertinggi dalam kalangan mata wang serantau.

“Apabila kita mengambil kira purata berwajaran mata wang rakan perdagangan utama Malaysia seperti dolar Singapura, renminbi China dan dolar AS, kadar pertukaran efektif nominal ringgit (NEER) mencatat peningkatan sebanyak 6.1 peratus bagi 2025 dan 2.8 peratus setakat pertengahan Februari 2026,” katanya.
— BERNAMA