Bulan Wakaf Kebangsaan Dan 4 Perkara Kita Kena Tahu

Bulan lalu kerajaan telah mengumumkan pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan 2021 bertemakan “Wakaf untuk Kemakmuran Bersama”. Ia merupakan inisiatif Jabatan Wakaf, Zakat, dan Haji atau dikenali sebagai JAWHAR di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Bulan Wakaf Kebangsaan ini dilancarkan sendiri oleh YAB Perdana Menteri dengan tujuan memastikan wakaf berperanan sebagai salah satu elemen penting dalam membantu pembangunan ekonomi negara. Empat perkara utama telah digariskan oleh YAB Perdana Menteri dalam ucapan pelancaran beliau.

Pertama, kita perlu meningkatkan tabungan dana Wakaf bagi membolehkan banyak lagi aset Wakaf diwujudkan. Di pihak kerajaan, pegawai kerajaan digalakkan membuat potongan gaji ke dana Wakaf.

Di samping itu, institusi-institusi kewangan juga disaran mewujudkan platform untuk pelanggan mereka berwakaf.

Kedua, kerajaan berhasrat menjadikan pembangunan hartanah Wakaf sebagai salah satu elemen penting dalam penyediaan pelan pembangunan Rancangan Malaysia Lima (5) tahun negara.

Dalam konteks ini, GLC, GLIC, badan korporat bersama-sama JAWHAR, Yayasan Waqaf Malaysia dan Majlis Agama Islam Negeri diseru mengenalpasti ruang dan peluang kerjasama yang boleh dijalinkan bagi mengoptimumkan penggunaan dan pembangunan aset-aset Wakaf.

Ketiga, memperhebatkan lagi aktiviti pembudayaan dan sosialisasi Wakaf ke arah mewujudkan masyarakat celik Wakaf. JAWHAR dan Yayasan Waqaf Malaysia diseru untuk bersama-sama merangka pelan pembudayaan yang holistik dan komprehensif, yang akan dilaksanakan di peringkat Nasional dan negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri.

Akhir sekali, keempat, Yayasan Waqaf Malaysia perlu diperkasakan sama ada dalam bentuk suntikan dana atau pertambahan bakat supaya dapat benar-benar menjadi contoh teladan pentadbiran Wakaf yang terkehadapan di peringkat antarabangsa.

Kredit: Twitter Jabatan Penerangan WPKL

Diumumkan juga kewujudan Dana Kenanga Waqf Al-Ihsan iaitu unit amanah yang dilancarkan hasil kerjasama Kenanga Investors Berhad dan Yayasan Waqaf Malaysia yang memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk melabur dengan pengurus dana profesional sambil berwakaf dan menyumbang kepada pembangunan sosial dan masyarakat di seluruh negara.

Ini semua merupakan perkembangan yang baik dalam negara kita. Wakaf telah terbukti memberi kesan besar kepada sosioekonomi masyarakat sejak zaman Rasulullah sehingga hari ini. Universiti Al-Azhar sebagai contoh adalah sebuah institusi yang dibiayai oleh dana Wakaf.

Selain daripada itu, terdapat juga projek-projek Wakaf yang luar biasa seperti Zoo Wakaf untuk membantu haiwan-haiwan daripada terancam, Pusat Peranginan Wakaf untuk membantu pasangan yang bergaduh memulihkan hubungan mereka, dan ada juga Rumah Singgahan Wakaf yang dibina di tepi-tepi jalan besar bagi kemudahan orang yang bermusafir.

Ini semua wujud dalam lipatan sejarah kita. Semoga pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan ini membolehkan kita menjadi lebih celik terhadap konsep dan peranan besar Wakaf kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat.

Ditulis oleh Arham Merican, Pengurus Shariah di sebuah institusi kewangan negara dan pemegang sijil Islamic Financial Planner (IFP). Merupakan lepasan Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan, Fakulti Ekonomi Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di [email protected].

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA