Adakah Hadiah Menang Loteri Atau Pertaruhan Tidak Dikenakan Cukai?

Sudah tentu bagi seorang yang beragama Islam, kita tidak terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian atau pertaruhan. Tetapi bagi mereka yang bukan beragama Islam, pasti ada yang tertanya-tanya sama ada hadiah menang loteri atau pertaruhan tersebut dikenakan cukai atau pun tidak?

Jom kita dengarkan penjelasan daripada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Adakah Hadiah daripada Kemenangan Loteri atau Pertaruhan tidak Dikenakan Cukai?

  • Layanan cukai terhadap pendapatan daripada aktiviti pertaruhan adalah bergantung kepada sifat pertaruhan itu sendiri.
  • Sekiranya pertaruhan tersebut lebih bersifat pasif seperti dilakukan sekali-sekala dan tidak terancang atau bersistematik, maka keuntungan hasil daripada pertaruhan adalah tidak dikenakan cukai pendapatan.
  • Bagi pihak yang menjalankan aktiviti pertaruhan secara aktif, bersistematik dan berulang-ulang di mana wujudnya corak perdagangan (badges of trade), maka pihak tersebut dianggap telah menjalankan suatu urusniaga atau profesyen dan keuntungan yang dijana daripada urusniaga tersebut adalah dikenakan cukai pendapatan.

Bagaimana penentuan layanan cukai terhadap pendapatan hasil daripada kemenangan pertaruhan ini?

  • Penentuan layanan cukai terhadap hadiah kemenangan loteri atau aktiviti pertaruhan adalah bergantung kepada fakta kes masing-masing.
  • Kegiatan pertaruhan atau perjudian boleh menjadi satu profesyen dan boleh dikenakan cukai walau pun pada awalnya ia dijalankan sebagai hobi sahaja.
  • Beberapa kes undang-undang boleh dirujuk bagi memberi gambaran penentuan layanan cukai tersebut.

Apakah kes undang-undang yang boleh dirujuk?

  • Patridge lwn. Mallandaine, (Surveyor of Taxes). (1883-1890) 2 TC 179
    • Hakim Court of Justice memutuskan bahawa seseorang yang menghadiri perlumbaan kuda dan membuat pertaruhan secara sistematik adalah dikenakan cukai atas keuntungan yang diterima daripada pertaruhan tersebut
  • Graham lwn. Green (H.M. Inspector of Taxes)
    • Hakim memutuskan bahawa hadiah pertaruhan tidak dikenakan cukai kerana ianya merupakan hobi pembayar cukai.
  • Hawes V. Gardiner (H.M Inspector of taxes) (37 T.C 671)
    • High Court of Justice telah menolak rayuan Perayu dengan alasan bahawa terdapat bukti berlaku urusan bercorak perdagangan yang membolehkan beliau dikenakan cukai.
  • Ketiga-tiga kes mempunyai keputusan penghakiman yang berbeza memandangkan semuanya mempunyai fakta kes yang berlainan.

Bila dan bagaimana saya perlu isytihar cukai yang diterima dari hasil pendapatan kemenangan loteri?

  • Anda perlu mengemukakan borang B (individu yang menjalankan perniagaan) sebelum atau pada 30 Jun setiap tahun.
  • Semua perbelanjaan yang berkaitan dengan urusniaga pertaruhannya boleh diambil kira sebagai tolakan ketika mengira keuntungan bersih daripada urusniaga pertaruhan tersebut.
  • Perbelanjaan yang dimaksudkan adalah perbelanjaan yang dilakukan sepenuhnya dan semata-mata dalam menghasilkan pendapatan (wholly and exclusively incurred in the production of income).
  • Ini termasuklah harga tiket loteri/pertaruhan, yuran khidmat nasihat konsultan pertaruhan, cukai perkhidmatan dan lain-lain perbelanjaan yang dibenarkan sebagai tolakan dibawah subseksyen 33(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 sebagai kos langsung (direct costs) dalam aktiviti pertaruhan tersebut

Sumber: Bahagian Komunikasi, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Previous ArticleNext Article

Pelaksanaan e-Invois Dilanjutkan Setahun Lagi Bagi Syarikat Dengan Nilai Jualan Tahunan RM1- RM5 Juta

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) Kerajaan akan melanjutkan tempoh peralihan pelaksanaan invois elektronik (e-invois) tanpa penalti selama setahun lagi bagi syarikat dengan nilai jualan tahunan RM1 juta hingga RM5 juta, yang sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Januari, 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penangguhan pelaksanaan tersebut dibuat kerana sebahagian syarikat belum bersedia susulan kos pelaksanaan e-invois yang tinggi.

“Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh peralihan (pelaksanaan e-invois) tanpa penalti untuk satu tahun lagi kerana banyak mengatakan dia melibatkan kos yang terlalu tinggi, ” kata beliau ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selain itu kerajaan juga akan memperluaskan kemudahan e Invois bersepadu kepada sektor peruncitan dan bahan binaan.

Sementara itu, kerajaan turut bersetuju melaksanakan program pengakuan sukarela bagi duti setem selama enam bulan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2026.

Pelaksanaan e-invois bermula pada 1 Ogos 2024 dan kerajaan telahpun memulakan fasa keempat pelaksanaannya yang merupakan satu lagi usaha untuk memperkukuhkan pentadbiran cukai, selain meringankan beban pematuhan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

E-invois yang diperkenalkan sebagai platform digital bagi memperkemaskan urusan invois dan pematuhan cukai memerlukan perniagaan (pembayar cukai) menjana dan menghantar invois secara elektronik, bagi meningkatkan pelaporan dan kecekapan kutipan cukai sambil mengurangkan kebocoran.
— BERNAMA