Ini 5 Cadangan Kepada Pihak LHDN

Tiba-tiba muncul satu group yang bernama “LHDN cari siapa hari ini?” dan rata rata netizen dalam group ini tidak berpuas hati dengan layanan pihak LHDN. Harap semuanya boleh diselesaikan dengan elok.

Berdasarkan pemerhatian kami, rakyat bukan tak nak bayar cukai, tapi lebih kepada masih kurang ilmu pasal ilmu percukaian.

Kita sedia maklum, dunia kini telah berubah ke arah digital dan macam-macam aplikasi telah muncul, maka itu kami merasakan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) perlu seiring dengan teknologi demi memudahkan rakyat dalam urusan percukaian.

Masanya dah sampai, dan ini antara aspek yang boleh diperbaiki.

1. Resit

Resit atau bukti pembayaran bagi perkara yang dituntut seperti pembelian komputer, buku dan peralatan sukan perlu disimpan untuk tempoh tujuh (7) tahun. Mungkin sudah sampai masa kerajaan buat pindaan kepada peraturan ini. Sila ahli-ahli Yang Berhormat debatkan di Parlimen.

Benda kena simpan resit itu ini melecehkan memandangkan kita sedang hidup di zaman kereta terbang.

Sebelum ini pernah terbaca ada cadangan supaya kita scan / ambil gambar dan simpan di storan cloud seperti Google Drive . Alang-alang, lebih baik diberi kemudahan untuk pembayar cukai simpan siap-siap bukti tadi dalam aplikasi MyTax. Bukankah itu lebih mudah dan efektif?

Jika wujud keraguan dan keperluan, pegawai LHDN boleh terus buat semakan sebab bukti telah diberikan.

Sama jugalah dengan dokumen lain seperti slip gaji (EA / EC form).

Letak amaran kalau ada yang gatal upload gambar kucing akan dikenakan penalti.

2. Benda Boleh Automatik, Kenapa Masih Manual?

Kita sedia maklum yang pelbagai pelepasan cukai diberikan oleh kerajaan. Mohon entiti-entiti berikut memberikan maklumat kepada LHDN supaya tidak menyusahkan pembayar cukai yang terpaksa mengorek dan menyimpan bukti / dokumentasi.

Ini untuk kebaikan bersama. Harap lepas ini tidak timbul lagi isu bila pembayar cukai gagal mengemukakan bukti, segala pelepasan tadi akan ditarik dan siap penalti pula!

Kami yakin semua maklumat penting ini tersimpan rapi dalam sistem.

  • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – Pelepasan caruman
  • Syarikat Skim Persaraan Swasta (PRS) – Pelepasan caruman
  • Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) – Pelepasan caruman
  • Syarikat Takaful / Insuran – Pelepasan premium insurans nyawa, Takaful / Insurans pendidikan dan perubatan
  • Universiti Awam dan Swasta – Pelepasan yuran pengajian peringkat selain sarjana dan doktor falsafah
  • PTPTN – Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) – Pelepasan simpanan bersih tahun semasa
  • Hospital Swasta / Kerajaan – Pelepasan pemeriksaan perubatan penuh, perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat – Pelepasan individu OKU.
  • Pusat Pungutan Zakat / Lembaga Zakat – Rebat zakat yang dibayar tahun semasa

Adalah lebih baik juga jumlah yang telah dibelanjakan / dicarum tadi terus dipaparkan siap-siap dalam borang cukai dan tak perlu diisi secara manual oleh pembayar cukai. Omputih kata prefill.

Kalau nak lagi power, ruangan pelepasan untuk anak tu auto prefill juga dengan data dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Ada anak 10 orang pun automatik LHDN terus boleh tahu. Maka bila LHDN curiga, tak perlulah lagi kami bersusah payah fotostat surat beranak anak.

3. Surat

Selain menggunakan pos biasa untuk menghantar notis, harap pihak LHDN mempertimbangkan untuk emel sekali notis tadi ke alamat emel yang telah kami masukkan dalam e-filling.

Hantarlah juga notifikasi ke smartphone mereka yang telah install aplikasi MyTax. Guna tone yang ceria macam Shopee.

4. Nak Tahu Orang Lain Kena Tak?

Asyik aku je kena, pak Menteri bayar cukai tak?

Yang pakat tayang Mustang ni bayar cukai tak? Entah-entah tak bayar sesen pun.

Seperti mana yang selalu kita dengar, maklumat percukaian individu, perniagaan dan syarikat adalah rahsia. Seksyen 138, Akta Cukai Pendapatan 1967 menghalang LHDN daripada mengeluarkan sebarang maklumat ini kepada pihak ketiga.

Bukan apa, bila dengar si super kaya di Amerika Syarikat boleh berjaya mengelak cukai, adakah benda yang sama berlaku di Malaysia? Boleh baca lagi US Super-Rich ‘Pay Almost No Income Tax’.

Billionaire di sana membina kekayaan, membeli aset dan kemudian membuat pinjaman bank. Hiduplah mereka dengan duit pinjaman dan siap boleh menggunakan perbelanjaan faedah sebagai potongan pendapatan perniagaan untuk mengurangkan cukai!

Adakah di Malaysia pemilik syarikat yang untung berkoyan boleh mengamalkan taktik yang sama? Macam pernah dengar pemilik syarikat yang suka tayang kemewahan tapi alih-alih syarikat beliau melaporkan kerugian jutaan ringgit.

Sekarang rakyat tak boleh nak tahu sebab rahsia.

Mungkin LHDN tak boleh dedahkan secara terperinci, tetapi sekurang-kurangnya berilah akses kepada rakyat untuk melihat scoring pembayar cukai terutamanya golongan kayangan dan VVIP. Dia dapat A ke, B ke atau F. Contoh paling dekat seperti sistem yang dibangunkan oleh CTOS dan Experian. Baca lagi 3 Agensi Pelaporan Kredit Terkemuka Di Malaysia: CTOS, Experian Dan CBM.

5. Banyakkan Kandungan Pendidikan

Penulis sendiri telah menggunakan aplikasi MyTax semasa menghantar borang cukai tempoh hari. Memang sempoi. Tetapi takat itu sajalah. Tak ada pula notifications lain. Ingatkan akan ada penyampaian maklumat bersesuaian seperti hak-hak pembayar cukai dan isu-isu semasa yang relevan.

Harapnya pihak LHDN akan mengambil kesempatan ke atas kemudahan platform MyTax ini demi memandaikan rakyat terutamanya dalam bab percukaian.

Kami faham LHDN bukan sahaja menguruskan bab cukai pendapatan. Cukai-cukai lain seperti Cukai Petroleum, Cukai Keuntungan Harta Tanah dan Duti Setem juga perlu diuruskan dengan baik. Ini belum termasuk menguruskan pelbagai bantuan Kerajaan seperti BR1M, BSH, BPN, BPR, GKP dan yang terbaharu BKC.

Semoga cadangan-cadangan ini didengari demi kebaikan bersama.

Belum Terlambat, Masih Sempat Untuk Belajar

Ingat, pasaran saham tidak kalis rugi. Harga saham akan bergerak. Naik, turun atau duk situ saja. Namun begitu, pelaburan saham telah lama terbukti menjadi salah satu instrumen pelaburan yang paling menguntungkan. Paling penting, gunakan modal dari duit lebihan sahaja supaya tidak serabut dan kusut bila rugi.

Nak melabur saham tapi tak tahu caranya?

Dah mula melabur tapi asyik rugi?

Nak tahu cara cari saham yang boleh dibeli?

Nak tahu analisis teknikal untuk ‘entry’?

Banyak ilmu pelaburan saham turut dikongsikan secara percuma di TheKapital. Jika anda ingin mendapatkan ilmu-ilmu eksklusif berdasarkan kepada tajuk-tajuk yang lebih mendalam, dapatkan ilmu tersebut di sini >> Produk TheKapital

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.