Keluarga Malaysia Teguh Bersama Membangunkan Negara

“Aku
Bukanlah seorang perwira

Gagah menjunjung senjata

Namun hati rela berjuang

Walau dengan cara sendiri

Demi cinta ini

Ku ingin kotakan seribu janji

Sepanjang kedewasaan ini

Ku ingin sampaikan pesanan

Aku lah penyambung warisan”

(Petikan lirik lagu Warisan, – Dato’ Sudirman bin Haji Arshad)

Keluarga Malaysia Teguh Bersama

Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat yang semestinya telah tersemat kemas di dalam jiwa dan sanubari setiap rakyat Malaysia. Sesungguhnya tarikh ini merupakan tarikh bersejarah apabila negara mencapai kemerdekaan dan bebas daripada cengkaman penjajah.

Tahun 2022 ini genaplah 65 tahun bumi bertuah ini merdeka dan ia disambut penuh meriah bertemakan “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”. Pemilihan tema pada tahun ini menekankan tentang konsep keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Antara mesej yang ingin disampaikan melalui tema ini adalah perlunya masyarakat yang bersatu padu dan bekerjasama dalam mewujudkan keharmonian yang menjadi pemangkin kepada kemakmuran dan kestabilan sesebuah negara. Rakyat yang tidak bersatu padu boleh mendatangkan risiko kepada tanah air seperti perpecahan dalam masyarakat, kegawatan sosio-ekonomi, politik dan huru-hara.

Hikmah Ujian COVID-19 Melanda Negara

Menyelusuri bait-bait lirik dalam lagu Warisan, ia menggambarkan secara jelas bahawa segenap lapisan rakyat mempunyai satu tanggungjawab yang sama iaitu sebagai penyambung warisan dalam mengekalkan ekosistem keharmonian dan kesejahteraan negara kita agar sentiasa terpelihara. Jika diimbas kembali bagaimana kita bergelut mengharungi situasi pandemik COVID-19 selama lebih dua tahun ini, ternyata ujian getir tersebut sudah cukup menguji keteguhan dan kebersamaan kita dalam mendepani segala rintangan dan cabaran terutamanya ketika sektor ekonomi negara amat terkesan pada ketika itu.

Umum mengetahui dalam keadaan COVID-19 pada ketika itu, kerajaan perlu menampung lebih banyak perbelanjaan untuk membantu rakyat yang terkesan melalui pelaksanaan pelbagai program seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Khas Prihatin (GKP), serta pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) semata-mata untuk memastikan nasib rakyat terbela dan aktiviti ekonomi negara terus berkembang.

Selain daripada itu, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) turut disalurkan kepada golongan B40 dan T20 bertujuan bagi membina semula motivasi rakyat yang rendah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Kerajaan dalam Pembentangan Bajet 2022 juga telah memperuntukkan sejumlah RM8.2 bilion untuk manfaat 9.6 juta orang di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) selain pelancaran beberapa inisiatif bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara seperti Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia yang mampu memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat untuk bangkit selepas lebih dua tahun berperang dengan wabak COVID-19.

Mungkin tidak ramai yang cuba untuk menilai dan memahami tatacara kerajaan memperoleh sumber dana atau pendapatan dalam merencana serta melaksanakan pelan rangsangan ekonomi ini. Hakikatnya perlu diingat bahawa hasil utama negara diperoleh daripada hasil cukai yang terbahagi kepada dua komponen, iaitu cukai langsung dan cukai tidak langsung yang mana cukai langsung menyumbang hampir 40% kepada belanjawan negara bagi tahun 2022. Komponen hasil cukai ini terbukti mempunyai peranan yang amat penting untuk memastikan segala projek dan pakej pembangunan yang direncanakan mampu untuk dilaksanakan oleh kerajaan.

Hasil Negara Benteng Keamanan Negara

Bersempena dengan sambutan hari kebangsaan ini, seringkali rakyat Malaysia disajikan dengan tontonan filem-filem mengenai jasa pahlawan-pahlawan terdahulu yang bergadai nyawa demi keselamatan dan kedaulatan negara sebagai salah satu elemen penghayatan kemerdekaan. Malah baru-baru ini juga tayangan filem “Mat Kilau” arahan Syamsul Yusoff telah berjaya menjentik semangat patriotisme dalam kalangan para penontonnya selain mencatatkan keuntungan luar biasa dan di luar dugaan.

Namun hakikatnya perubahan peredaran zaman menuntut kita untuk mempertahankan kedaulatan negara dengan cara tersendiri. Kalau dahulunya kita dituntut untuk menyertai pasukan Rejimen Askar Tanah Melayu (RAMD) bagi menjaga keselamatan negara namun kini setiap individu rakyat Malaysia mampu menjaga kedaulatan negara melalui medium percukaian.

Manfaat cukai kepada kesejahteraan negara tidak boleh dinafikan lagi kerana hasil negara yang mampan mampu menjadi benteng kepada pertahanan negara. Walaupun negara masih berperang dengan wabak COVID-19 sejak tahun 2020 namun rekod kutipan cukai langsung negara mencatatkan kutipan yang memberansangkan pada tahun 2021 dengan kutipan sebanyak RM 144 bilion. Data ini menunjukkan tanda positif kepada kadar tahap pematuhan cukai dalam kalangan rakyat Malaysia. Maka kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga dan bersyukur dengan nikmat keamanan yang telah kita kecapi hasil sumbangan cukai selama ini.

Menurut laporan pembentangan Bajet 2022 oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masing-masing telah diperuntukkan dana sebanyak RM16 bilion dan RM17 bilion bagi tujuan memperkasakan benteng pertahanan negara termasuklah RM1.6 bilion diperuntuk bagi mempertingkat kesiagaan aset utama Angkatan Tentera Malaysia dan RM14 juta untuk menggantikan peralatan utama pasukan khas laut (PASKAL) dan pasukan khas udara (PASKAU) bagi menjamin keselamatan negara.

Nilai ini tidak mampu disediakan andainya rakyat Malaysia culas dalam menjalankan tanggungjawab mereka membayar cukai kepada negara. Hasil negara adalah benteng keamanan negara yang perlu dipertahankan. Mungkin pada hari ini kita mampu tersenyum menyaksikan anak kita bermain dengan penuh gembira, namun esok lusa belum tentu kita dapat mewariskan tanah air tercinta ini kepada anak cucu kita seandainya tanggungjawab kita melalui sumbangan cukai gagal kita laksanakan.

Mensyukuri Nikmat Keamanan Dengan Melaksanakan Tanggungjawab Anda

Malaysia merupakan sebuah negara yang makmur dan aman walaupun rakyatnya hidup dalam berbilang kaum disebabkan rakyatnya mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain. Sebagai penduduk negara yang bertuah ini, marilah kita bersyukur kerana telah dikurniakan nikmat kemerdekaan, keamanan, kesejahteraan dan kedamaian supaya nikmat itu berkekalan.

Bersyukurlah, kerana sehingga hari ini kita diberikan nikmat tidur yang tenang, melakukan aktiviti sosial serta bergerak dengan bebas, keluar bekerja pada sebelah pagi dan pada petangnya balik ke rumah bertemu insan tersayang. Keselamatan dan kedaulatan negara ini dijaga dengan sepenuh hati, jiwa dan raga oleh pihak berkuasa yang semestinya tanpa mereka, lena kita tidak mungkin setenang ini, makan kita tidak mungkin senikmat ini.

Hakikat yang perlu kita terima ialah cukai merupakan bayaran yang dibuat oleh rakyat untuk kebajikan diri mereka sendiri terutamanya apabila menyentuh aspek keselamatan dan keamanan negara. Secara ringkasnya konsep cukai adalah satu bentuk kerjasama antara rakyat dengan kerajaan untuk kepentingan bersama apabila cukai yang diterima daripada rakyat kemudiannya akan digunakan kembali untuk manfaat rakyat. Justeru, tanggungjawab membayar cukai merupakan salah satu cara untuk kita mensyukuri akan nikmat kemerdekaan agar ia kekal selama-lamanya sehingga ke anak cucu. Setiap sen wang cukai yang dibayar diterjemahkan dalam bentuk kehidupan yang harmoni dan tenteram yang mana semua ini mampu disediakan oleh pihak kerajaan selagi mana hasil pendapatan negara adalah stabil dan mencukupi.

Mensyukuri nikmat keamanan negara haruslah dibuktikan dengan tanggungjawab setiap individu untuk mendidik masyarakat sekeliling akan pentingnya kesedaran pendidikan cukai sejak dari awal lagi. Oleh yang demikian, HASiL sebagai sebuah agensi pentadbir cukai negara bertanggungjawab untuk memastikan rakyat Malaysia ‘celik cukai’ melalui pendidikan dan kesedaran cukai dengan memfokuskan usaha berdasarkan kepada tiga (3) pendekatan utama, iaitu; (A) Awareness, (E) Education and (S) Services atau ringkasnya AES.

HASiL akan terus mengamalkan tiga perkara ini dalam usaha untuk menunjukkan peranan HASiL sebenarnya adalah sebagai pemudahcara pematuhan atau facilitator of compliance. Secara tidak langsung, melalui pendekatan ini adalah diharapkan tahap pematuhan pembayar cukai akan terus meningkat kerana HASiL telah memberikan didikan yang sempurna sejak dari awal lagi. Nikmat keamanan ini mampu dipertahankan sekiranya seluruh rakyat menjalankan tanggungjawab percukaian mereka secara sukarela kerana hanya dengan cara ini sahaja negara boleh menjamin kutipan cukai yang lebih mampan.

Kesimpulan

Usaha untuk mempertahankan nikmat kemerdekaan dan keamanan ini perlulah dibuat secara berterusan tanpa henti. Janganlah kita menjadi generasi yang lupa akan perjalanan serta perjuangan terdahulu dengan berasa selesa dan mengambil mudah dengan apa yang kita ada sekarang. Hayatilah erti sebuah kemerdekaan dan pertahankanlah negara kita dengan melaksanakan tanggungajwab sebagai pembayar cukai kepada negara.

Bukan semua daripada kita mampu untuk mengangkat senjata dan berjuang di barisan hadapan, namun dengan sumbangan cukai yang kita salurkan pada hari ini sebenarnya mampu mempersiapkan pasukan keselamatan negara dengan kelengkapan yang terkini demi menjaga kedaulatan negara. Pepatah Melayu ada mengungkapkan “Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh” yang memberikan seribu makna untuk kita bersama-sama membangunkan negara yang kita cintai ini melalui platform serta medium percukaian.

Marilah sama-sama kita merapatkan saf dan berazam agar semangat Hari Kebangsaan dengan tema “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” dapat kembali menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri kita dan menyemai budaya integriti untuk Malaysia yang lebih sejahtera demi masa hadapan generasi pewaris kita. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Previous ArticleNext Article

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.