Kenaikan Cukai Perkhidmatan Tidak Libatkan Keperluan Asas Rakyat – Menteri Kewangan II

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) — Kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada enam ke lapan peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024 menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah itu adalah bagi memastikan rakyat tidak dibebani dengan kadar cukai kepenggunaan yang lebih tinggi khususnya dalam perkhidmatan keperluan penting seperti makanan dan minuman, parkir kenderaan, telekomunikasi serta logistik.

“Bagi menjayakan transformasi ekonomi, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dalam usaha mereformasi sistem percukaian negara.

“Meskipun adanya keperluan untuk mengembangkan hasil negara, kerajaan perlu menimbangkan ini dengan mengambil kira keperluan melindungi rakyat daripada beban berlebihan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.

Amir Hamzah berkata kerajaan perlu memperluas asas cukai demi memperkukuh asas fiskal negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan sepertimana digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

“Pada masa sama, kerajaan turut giat merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi melaraskan semula trajektori ekonomi negara merangkumi amalan perbelanjaan yang berhemat, mengurangkan ketirisan serta menarik pelabur langsung asing (FDI),” katanya.

Beliau berkata sistem percukaian yang ditambah baik ini dijangka meraih tambahan hasil yang dianggarkan sebanyak RM3 bilion kepada negara, hasil tambahan itu dapat dimanfaatkan untuk menambah baik bantuan bersasar kepada rakyat selain memperbanyak penambahbaikan dan penyelenggaraan prasarana awam kritikal seperti kesihatan, sekolah dan jalan raya.

Peningkatan kadar cukai perkhidmatan itu tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat di negara ini, katanya.

Sebagai contoh, perkhidmatan yang banyak digunakan oleh rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan parkir kenderaan kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

Ini termasuk perkhidmatan logistik yang akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus manakala bagi perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman, cukai perkhidmatan tidak akan dikenakan.

Bagi perkhidmatan elektrik, cukai perkhidmatan hanya dikenakan terhadap kadar penggunaan lebih daripada 600 kilowatt sejam (kWj).

Hampir 85 peratus pengguna elektrik berada di bawah ambang berkenaan dan tidak terkesan dengan kenaan cukai perkhidmatan tersebut.

Cukai perkhidmatan juga tidak akan dikenakan kepada perkhidmatan air dirawat.

Menurut Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024 yang telah diwartakan pada 23 Februari 2024, semua perkhidmatan bercukai yang disenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 akan dikenakan Cukai Perkhidmatan pada kadar lapan peratus.

Ia termasuk perkhidmatan bercukai yang diimport dan perkhidmatan digital.

Kerajaan menjangkakan perubahan ini tidak menyebabkan kenaikan mendadak kepada harga perkhidmatan sekali gus tidak akan membawa kejutan kepada ekonomi, ia kerana kenaikan kadar cukai sebanyak dua mata peratusan itu melibatkan beberapa perkhidmatan bercukai sahaja.

Senarai penuh perkhidmatan-perkhidmatan bercukai dan soalan lazim boleh didapati di https://www.mof.gov.my/portal/ms/berita/soalan-lazim/soalan-lazimpeluasan-skop-perkhidmatan-bercukai-dan-perubahan-kadar-cukai-perkhidmatan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

10 Produk Makanan Masa Depan: Kesan Daripada Pengecualian Cukai Baharu

Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas pendapatan berkanun selama 10 tahun bagi syarikat yang melaksanakan projek baharu pengeluaran bahan makanan, dengan tempoh permohonan dilanjutkan hingga 31 Disember 2030. Bagi syarikat sedia ada yang membuat projek pembesaran, pengecualian 100% selama 5 tahun turut ditawarkan. Pengumuman ini dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di bawah Tekad 5: Memperkukuh Ketahanan Negara di Dewan Rakyat.

Langkah ini dilihat bukan sekadar insentif kewangan tetapi berpotensi mencetuskan gelombang inovasi dan teknologi dalam sektor pertanian negara. Pelaksanaan insentif cukai ini dijangka membuka pintu lebih luas kepada syarikat korporat serta entiti GLC dan GLIC yang sebelum ini berhati-hati untuk memasuki sektor makanan. Dengan risiko pelaburan yang kini lebih rendah, mereka boleh mempertimbangkan langkah lebih besar dalam bidang seperti ladang kontrak, pemprosesan makanan, automasi pertanian, akuakultur dan penternakan intensif.

Berikut adalah 10 contoh produk dan inovasi menarik yang kami jangka akan lahir hasil daripada dasar ini:

1. Ladang Tertutup Pintar (Smart Closed Farm)

Kandang atau reban yang dikawal sepenuhnya oleh sensor dan sistem automatik.

Contoh: Syarikat ternak ayam buat reban tertutup automatik — suhu, cahaya & kipas dikawal oleh sensor. Kalau panas, kipas hidup sendiri.

Kesan: Ayam cepat membesar, kurang mati, kurang bau dan data boleh dipantau dari telefon.

Bagaimana pelepasan cukai membantu?

  • Penternak boleh gunakan galakan cukai projek baharu ini untuk melabur dalam projek automasi (sensor, kipas dan controller reban, auto-feeder, pembersih lantai).

Kesan kepada pengguna:

  • Bila kadar kematian rendah, kos pengeluaran per kg menurun maka potensi harga ayam runcit menjadi lebih murah dalam jangka sederhana (masih bergantung kepada kos logistik dan dasar harga siling).

2. Vertical Farm / Greenhouse Bandar

Tanam sayur secara bertingkat dalam bangunan tertutup (guna LED & baja cecair).

Contoh: Startup dekat Shah Alam buat farm dalam kontena, tanam salad dan herba premium untuk hotel.

Kesan: Tanam sepanjang tahun tanpa gangguan cuaca; hasil lebih konsisten & mesra bandar.

3. Protein Alternatif & Makanan Ternakan daripada Serangga

Guna larva lalat BSF (black soldier fly) sebagai makanan ayam/ikan menjadi sumber protein yang murah dan mampan.

Contoh: Kilang kecil proses sisa makanan jadi makanan larva BSF, kemudian jual semula larva kering ke ladang ayam.

Kesan: Kurangkan kebergantungan kepada dedak import.

Laporan Bernama (25 Jul 2022) & Astro Awani (26 Jul 2022) pernah menyebut tentang kerjasama penyelidik Universiti Malaya × Ain Aquaculture di Kampung Gajah, Pengkalan Chepa (Kelantan); projek penternakan BSF yang bermula tahun 2020 dengan kos awal sekitar RM10,000 sebagai usaha mengurangkan kebergantungan pada sumber import seperti jagung bijian dan soya.

4. Rantaian Sejuk (Cold Chain) Pintar

Sistem simpanan dan penghantaran bahan makanan dengan kawalan suhu automatik.

Contoh: Lori ikan laut dalam dipasang sensor suhu & GPS. Kalau suhu naik, HQ terus dapat amaran.

Kesan: Kurang pembaziran makanan, kualiti kekal segar dari laut ke kedai.

5. Biofertilizer & Biopestisid Tempatan

Baja dan racun organik yang dibuat daripada mikrob atau bahan semula jadi.

Contoh: Syarikat guna sisa kelapa sawit untuk hasilkan baja mikrob aktif untuk sayur-sayuran organik.

Kesan: Kurangkan penggunaan bahan kimia import dan lebih mesra alam.

6. Jejak Halal & Kebolehkesanan (Traceability)

Sistem QR code pada produk untuk sahkan asal-usul bahan makanan.

Contoh: Beli ikan beku, scan QR → keluar info ‘diternak di Johor, dituai 5 Oktober 2025, disimpan pada -18°C’.

Kesan: Tingkatkan keyakinan pengguna dan potensi eksport halal.

7. Agri-Automation-as-a-Service (Sewa Teknologi Pertanian)

Ladang kecil boleh sewa atau langgan servis automasi tanpa perlu beli mesin mahal.

Contoh: Syarikat drone datang sembur baja dan racun secara automatik, ladang cuma bayar ‘per ekar’.

Kesan: Teknologi sampai ke petani kecil tanpa modal besar.

8. Produk Makanan Sedia Makan (Ready-to-Eat) Tempatan

Produk siap masak tapi dibuat daripada bahan mentah tempatan sendiri.

Contoh: Ladang ayam keluarkan nasi lemak ayam kampung sejuk beku – semua bahan dari ladang sendiri.

Kesan: Rantaian nilai lebih panjang, keuntungan lebih tinggi.

9. Benih & Varieti Premium Tempatan

Benih tempatan yang tahan penyakit dan sesuai dengan iklim Malaysia.

Contoh: Usahawan R&D hasilkan benih cili ‘Kampung King’ – tahan panas & cepat berbuah.

Kesan: Petani tak perlu bergantung kepada benih import.

10. Pusat Latihan & Data Agronomi

Tempat petani belajar guna teknologi & kongsi data hasil tanaman.

Contoh: ‘Agri Tech Lab’ ajar guna sensor tanah dan tunjuk data hasil purata untuk banding prestasi ladang.

Kesan: Produktiviti meningkat sebab petani belajar dari data sebenar.

Dasar pengecualian cukai ini membuka ruang untuk transformasi menyeluruh dalam ekosistem makanan negara. Jika digerakkan dengan betul, Malaysia boleh jadi peneraju dalam inovasi agro-teknologi Asia Tenggara.

Baca juga :