LHDN Lulus Lebih 72,000 Pengakuan Sukarela Libatkan RM652.5 Juta Taksiran Cukai Setakat 29 Feb

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) — Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah meluluskan sebanyak 72,534 kes pengakuan sukarela dan sejumlah RM652.5 juta taksiran cukai telah dilaporkan yang mana sebanyak RM284 juta berjaya dikutip setakat 29 Feb, 2024.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata bagi meningkatkan kadar pematuhan cukai, pelbagai langkah dan inisiatif telah dirangka dan sedang giat dilaksanakan oleh LHDN.

Di antaranya ialah Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memperluas bilangan pembayar cukai dan menggalakkan pematuhan cukai bagi meningkatkan hasil negara.

“PKPS 2.0 dilaksanakan oleh LHDN dengan tawaran penalti pada kadar sifar peratus bagi pengakuan sukarela yang dibuat dalam tempoh 6 Jun, 2023 sehingga 31 Mei, 2024.

“Sekiranya pembayar cukai gagal menjelaskan baki cukai pada akhir tempoh PKPS 2.0, tindakan undang-undang boleh diambil dan pembayar cukai boleh diaudit atau disiasat pada masa hadapan,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Jelasnya, LHDN menjalankan aktiviti audit dan siasatan secara berterusan untuk mendapatkan kembali cukai dan hasil yang gagal dikutip sebelum ini dengan memfokuskan kepada pembayar cukai yang mempunyai risiko cukai yang tinggi berdasarkan kategori fail syarikat, selain syarikat, penggajian dan majikan.

“Secara keseluruhan, jumlah cukai tambahan dan penalti yang telah dibangkitkan daripada hasil pengauditan sepanjang tahun 2022 dan 2023 adalah masing-masing sebanyak RM8.2 bilion dan RM6.2 bilion,” katanya.

Beliau berkata LHDN juga mengambil tindakan guaman sivil dan pendakwaan berdasarkan undang-undang untuk menuntut semula hasil cukai yang gagal dipungut. 

Menurut Lim, jumlah cukai yang berjaya dikutip termasuk kompaun dan denda bagi tahun 2022 dan 2023 adalah masing-masing sebanyak RM709.7 juta dan RM465 juta. 

Lim berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris tentang jumlah penalti dan hasil bukan cukai yang berjaya diperoleh LHDN untuk mendapatkan kembali cukai dan hasil yang gagal dikutip antaranya melalui PKPS 2.0 atau kaedah-kaedah lain sepanjang tahun 2022 dan 2023. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

10 Produk Makanan Masa Depan: Kesan Daripada Pengecualian Cukai Baharu

Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas pendapatan berkanun selama 10 tahun bagi syarikat yang melaksanakan projek baharu pengeluaran bahan makanan, dengan tempoh permohonan dilanjutkan hingga 31 Disember 2030. Bagi syarikat sedia ada yang membuat projek pembesaran, pengecualian 100% selama 5 tahun turut ditawarkan. Pengumuman ini dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di bawah Tekad 5: Memperkukuh Ketahanan Negara di Dewan Rakyat.

Langkah ini dilihat bukan sekadar insentif kewangan tetapi berpotensi mencetuskan gelombang inovasi dan teknologi dalam sektor pertanian negara. Pelaksanaan insentif cukai ini dijangka membuka pintu lebih luas kepada syarikat korporat serta entiti GLC dan GLIC yang sebelum ini berhati-hati untuk memasuki sektor makanan. Dengan risiko pelaburan yang kini lebih rendah, mereka boleh mempertimbangkan langkah lebih besar dalam bidang seperti ladang kontrak, pemprosesan makanan, automasi pertanian, akuakultur dan penternakan intensif.

Berikut adalah 10 contoh produk dan inovasi menarik yang kami jangka akan lahir hasil daripada dasar ini:

1. Ladang Tertutup Pintar (Smart Closed Farm)

Kandang atau reban yang dikawal sepenuhnya oleh sensor dan sistem automatik.

Contoh: Syarikat ternak ayam buat reban tertutup automatik — suhu, cahaya & kipas dikawal oleh sensor. Kalau panas, kipas hidup sendiri.

Kesan: Ayam cepat membesar, kurang mati, kurang bau dan data boleh dipantau dari telefon.

Bagaimana pelepasan cukai membantu?

  • Penternak boleh gunakan galakan cukai projek baharu ini untuk melabur dalam projek automasi (sensor, kipas dan controller reban, auto-feeder, pembersih lantai).

Kesan kepada pengguna:

  • Bila kadar kematian rendah, kos pengeluaran per kg menurun maka potensi harga ayam runcit menjadi lebih murah dalam jangka sederhana (masih bergantung kepada kos logistik dan dasar harga siling).

2. Vertical Farm / Greenhouse Bandar

Tanam sayur secara bertingkat dalam bangunan tertutup (guna LED & baja cecair).

Contoh: Startup dekat Shah Alam buat farm dalam kontena, tanam salad dan herba premium untuk hotel.

Kesan: Tanam sepanjang tahun tanpa gangguan cuaca; hasil lebih konsisten & mesra bandar.

3. Protein Alternatif & Makanan Ternakan daripada Serangga

Guna larva lalat BSF (black soldier fly) sebagai makanan ayam/ikan menjadi sumber protein yang murah dan mampan.

Contoh: Kilang kecil proses sisa makanan jadi makanan larva BSF, kemudian jual semula larva kering ke ladang ayam.

Kesan: Kurangkan kebergantungan kepada dedak import.

Laporan Bernama (25 Jul 2022) & Astro Awani (26 Jul 2022) pernah menyebut tentang kerjasama penyelidik Universiti Malaya × Ain Aquaculture di Kampung Gajah, Pengkalan Chepa (Kelantan); projek penternakan BSF yang bermula tahun 2020 dengan kos awal sekitar RM10,000 sebagai usaha mengurangkan kebergantungan pada sumber import seperti jagung bijian dan soya.

4. Rantaian Sejuk (Cold Chain) Pintar

Sistem simpanan dan penghantaran bahan makanan dengan kawalan suhu automatik.

Contoh: Lori ikan laut dalam dipasang sensor suhu & GPS. Kalau suhu naik, HQ terus dapat amaran.

Kesan: Kurang pembaziran makanan, kualiti kekal segar dari laut ke kedai.

5. Biofertilizer & Biopestisid Tempatan

Baja dan racun organik yang dibuat daripada mikrob atau bahan semula jadi.

Contoh: Syarikat guna sisa kelapa sawit untuk hasilkan baja mikrob aktif untuk sayur-sayuran organik.

Kesan: Kurangkan penggunaan bahan kimia import dan lebih mesra alam.

6. Jejak Halal & Kebolehkesanan (Traceability)

Sistem QR code pada produk untuk sahkan asal-usul bahan makanan.

Contoh: Beli ikan beku, scan QR → keluar info ‘diternak di Johor, dituai 5 Oktober 2025, disimpan pada -18°C’.

Kesan: Tingkatkan keyakinan pengguna dan potensi eksport halal.

7. Agri-Automation-as-a-Service (Sewa Teknologi Pertanian)

Ladang kecil boleh sewa atau langgan servis automasi tanpa perlu beli mesin mahal.

Contoh: Syarikat drone datang sembur baja dan racun secara automatik, ladang cuma bayar ‘per ekar’.

Kesan: Teknologi sampai ke petani kecil tanpa modal besar.

8. Produk Makanan Sedia Makan (Ready-to-Eat) Tempatan

Produk siap masak tapi dibuat daripada bahan mentah tempatan sendiri.

Contoh: Ladang ayam keluarkan nasi lemak ayam kampung sejuk beku – semua bahan dari ladang sendiri.

Kesan: Rantaian nilai lebih panjang, keuntungan lebih tinggi.

9. Benih & Varieti Premium Tempatan

Benih tempatan yang tahan penyakit dan sesuai dengan iklim Malaysia.

Contoh: Usahawan R&D hasilkan benih cili ‘Kampung King’ – tahan panas & cepat berbuah.

Kesan: Petani tak perlu bergantung kepada benih import.

10. Pusat Latihan & Data Agronomi

Tempat petani belajar guna teknologi & kongsi data hasil tanaman.

Contoh: ‘Agri Tech Lab’ ajar guna sensor tanah dan tunjuk data hasil purata untuk banding prestasi ladang.

Kesan: Produktiviti meningkat sebab petani belajar dari data sebenar.

Dasar pengecualian cukai ini membuka ruang untuk transformasi menyeluruh dalam ekosistem makanan negara. Jika digerakkan dengan betul, Malaysia boleh jadi peneraju dalam inovasi agro-teknologi Asia Tenggara.

Baca juga :