LHDNM Batal Sekatan Perjalanan Ke Luar Negara, Biar Betul?

Terkini media arus perdana melaporkan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan menarik balik atau membatalkan keseluruhan sekatan perjalanan yang masih berkuat kuasa. Rujuk laporan BH Online.

Apakah itu Sekatan Perjalanan? Sekatan Perjalanan dikenakan ke atas individu atau pengarah syarikat yang gagal menjelaskan cukai pendapatan, cukai keuntungan harta tanah atau cukai korporat melalui Jabatan Imigresen Malaysia.

Sekatan perjalanan ke luar negara boleh dikenakan kepada pembayar cukai yang mempunyai tunggakan Cukai Pendapatan atau CKHT dan gagal dijelaskan walaupun sudah diberikan banyak peringatan oleh LHDNM. Mereka yang dikenakan sekatan ini masih lagi bebas mengatur perjalanan di dalam negara atau domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah serta Sarawak.

Di Malaysia terdapat kira-kira 9 badan yang mempunyai kuasa mengikut peruntukan undang-undang untuk mengeluarkan sijil sekatan perjalanan kepada pihak imigresen, termasuk PTPTN (yang sudah dimansuhkan baru-baru ini), Jabatan Insolvensi, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan LHDNM sendiri.

Menurut Laporan Tahunan 2016 LHDNM, seramai 201,598 orang pembayar cukai telah dikenakan sekatan perjalanan kerana gagal menjelaskan tunggakan di bawah Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 berjumlah lebih RM4 billion.

Manakala seramai 20,474 orang pembayar cukai telah dikenakan sekatan perjalanan kerana gagal menjelaskan tunggakan di bawah Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) berjumlah lebih RM321 juta.

Sumber : Laporan Tahunan LHDNM 2016

Masih ingat kisah penjaga gol pasukan bola sepak Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat, dihalang di pintu keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika berlepas ke Brisbane, Australia untuk menyertai siri perlawanan persahabatan di Kepulauan Oceania?

Beliau terpaksa ditinggalkan bagi menyelesaikan urusan tunggakan cukai pendapatan dan tidak diturunkan untuk menentang Papua New Guinea. Rujuk laporan Sinar Harian.

Situasi yang sama pernah dialami oleh pelakon dan ahli perniagaan popular, Rozita Che Wan selepas didakwa tidak melangsaikan sejumlah tuntutan bayaran cukainya yang tertunggak pada hujung 2016. Rujuk laporan Utusan Malaysia.

Jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida juga pernah mengalami situasi yang sama, dikenakan sekatan perjalanan kerana gagal mengemukakan Borang B bagi Tahun Taksiran 2011.

Kejamkah tindakan ini? Kalau nak tahu tindakan ini adalah langkah terakhir LHDNM untuk mengutip tunggakan cukai daripada pembayar cukai yang culas atau degil. Tidak kira status atau profesion. Mereka tidak sesuka hati menyekat mereka yang culas ini keluar negara.

Prosedur LHDN menetapkan notis pemberitahuan dihantar kepada alamat terakhir pembayar cukai. Mengikut Laporan Tahunan itu juga, LHDNM memiliki Jabatan Profiling dan Pengesanan (JPDP) yang mempunyai kapasiti mengesan nombor telefon terbaru pembayar cukai!

Sebenarnya jika tidak dapat menjelaskan tanggungan cukai, pembayar cukai masih boleh memohon pelepasan sementara untuk perjalanan ke luar negara dengan syarat berikut :

  • Pembayar cukai atau wakil hadir ke cawangan LHDNM yang mengendalikan fail pembayar cukai sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh perjalanan.
  • Mengemukakan surat permohonan yang mengandungi maklumat destinasi, tujuan dan tempoh di luar negara
  • Membuat bayaran 50% daripada jumlah cukai tertunggak. Rujuk cara bayaran seperti di atas.
  • Surat pelepasan sementara akan dikeluarkan kepada pembayar cukai dengan menyatakan tempoh pelepasan sementara yang diberikan.

Adakah langkah drastik ini sesuai dengan mengambil kira situasi kewangan negara (baca hutang) yang dikatakan ‘meruncing’?

1. Dengan mengambil kira jumlah tunggakan cukai yang mencecah lebih RM4 bilion, sudah pastinya jumlah tunggakan tersebut akan meningkat lebih daripada itu kerana kelonggaran yang telah disediakan oleh kerajaan.

2. Adakah ini signal bahawa tiada perbezaan antara mereka yang tidak patuh dengan mereka yang patuh kepada undang-undang? Pastinya, mereka yang patuh ini akan beranggapan kerajaan menyokong pihak yang sengaja degil tidak membayar cukai.

3. Mengapa dibenarkan penyumbang-penyumbang hutang kerajaan ini melancong sambil berbelanja di luar negara? Mereka ini golongan berpendapatan tinggi, tidak sama dengan peminjam PTPTN yang mungkin tidak pun mempunyai pekerjaan.

Mesti akan ada suara yang kata “Eh, kau ingat keluar negera tu nak bercuti je ke? Keluar negara tu ingat nak melancong je? Tak boleh ke keluar negara untuk urusan kerja?”

Menurut Laporan Tahunan 2016, LHDNM dilengkapi dengan kecanggihan Big Data yang mampu menganalisis keupayaan membayar bagi seseorang pembayar cukai. Maknanya maklumat pendapatan, harta, aset, kereta jenis apa semua dalam pangkalan data mereka. Masih ingat isu tular yang pihak LHDN sahkan ada memohon sekolah antarabangsa untuk kemuka maklumat ibu bapa pelajar?

4. Bagi penulis definisi semangat patriotik yang sebenar adalah apabila rakyat melunaskan tanggungjawab yang diberikan serta tidak lari daripadanya. Seorang pembayar cukai yang baik juga adalah seorang yang patriotik.

P/S : Ada netizen yang mohon kerajaan halang juga Astro dari block siaran kalau pengguna culas membayar bil.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.