Manfaat Simpan Dokumen Cukai Pendapatan

Pejam celik, pejam celik berakhirlah sudah tahun 2022 dan ini bermakna bermula pada Bulan Mac 2023 ini pembayar cukai individu akan mula menjalankan tanggungjawab mereka untuk mengisi Borang Nyata Cukai bagi Tahun Taksiran 2022.

Dalam kesibukan untuk mengisi Borang Nyata Cukai kami pasti mungkin akan berlakunya pelepasan cukai yang lupa untuk dituntut kerana resit-resit dan dokumen-dokumen berkaitan pelepasan cukai tersebut hilang atau sudah lusuh akibat gagal disimpan dengan rapi. Selain daripada tanggungjawab menyimpan semua dokumen percukaian ini memang ada termaktub dalam undang-undang, kelebihannya juga banyak jika ia disimpan dengan rapi dan pastinya ia akan memberikan manfaat kepada pembayar cukai sendiri.

Dalam artikel ini kami kongsikan apakah manfaat yang pembayar cukai akan dapat sekiranya mereka mengamalkan tabiat menyimpan semua dokumen percukaian dengan baik dan selamat.

1. Mematuhi undang-undang cukai

  • Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) memang ada menyatakan dengan jelas bahawa setiap dokumen percukaian hendaklah disimpan dengan selamat sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh (7) tahun. Ketetapan ini diperuntukkan menurut seksyen 82 dan 82A  ACP 1967 dan kegagalan untuk mematuhi peruntukan dalam akta ini merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan denda atau penjara untuk suatu tempoh tertentu.
  • Sudah pasti kami tidak mahu melihat pembayar cukai mengalami semua masalah ini, justeru ikutlah nasihat kami dan simpanlah semua dokumen percukaian dengan teratur dan selamat.

2. Memudahkan urusan pengiraan cukai

  • Sebelum pembayar cukai mengisi Borang Nyata Cukai, kami percaya mereka akan membuat pengiraan cukai yang mereka perlu bayar terlebih dahulu. Tujuannya ialah untuk memastikan semua perbelanjaan dan pelepasan cukai telah diambil kira sebelum ia dikunci masuk ke dalam borang cukai elektronik atau e-Filing mereka.
  • Mengikut pengalaman kami, kesilapan sering berlaku apabila pembayar cukai tidak bersedia dari awal dengan pengiraan cukai, resit-resit dan dokumen-dokumen percukaian mereka sehingga menyebabkan ketika mereka mengisi e-Filing mereka akan terlupa mengambil kira perbelanjaan dan pelepasan yang layak mereka tuntut. Akibatnya, amaun cukai yang mereka kena bayar kepada HASiL menjadi lebih tinggi kerana jumlah perbelanjaan dan pelepasan cukai yang mereka isi dalam e-Filing adalah rendah daripada yang sepatunya.
  • Keadaan ini pasti merugikan pembayar cukai kerana mereka telah membayar amaun cukai yang lebih daripada yang sepatutnya kepada kerajaan.

3. Mudahkah urusan semakan semula oleh HASiL

  • Penyimpanan rekod yang kemas, teratur dan selamat juga akan membantu pembayar cukai mengemukakan bukti perbelanjaan dan pelepasan cukai tersebut adalah sahih apabila ia diperlukan oleh HASiL.
  • Dalam Sistem Taksir Sendiri, HASiL akan menerima setiap pelaporan cukai daripada pembayar cukai secara suci hati. Maknanya, kami tidak meragui setiap pelaporan cukai yang dibuat oleh pembayar cukai sehinggalah kami dapati ada keraguan yang munasabah pada pelaporan tersebut.
  • Jika itu berlaku maka pegawai HASiL akan menghubungi pembayar cukai dan memohon pembayar cukai untuk mengemukakan bukti perbelanjaan atau pelepasan cukai yang dituntut dalam Borang Nyata Cukai mereka.
  • Tujuan proses ini dilakukan adalah untuk proses semakan semula dan mengesahkan kesahihan tuntutan tersebut. Dalam hal ini pembayar cukai tidak perlu bimbang kerana selagi semua resit dan dokumen percukaian berjaya dikemukakan dan perbelanjaan serta pelepasan cukai yang dituntut dapat dibuktikan kesahihannya, maka HASiL akan menerimanya tanpa mengenakan taksiran tambahan mahupun penalti. Oleh kerana itulah pentingnya semua dokumen percukaian ini disimpan dengan teratur.

4. Membantu pembayar cukai membuat semakan semula dan memohon pengurangan cukai.

  • Manfaat ini paling seronok dan sering tidak disedari oleh pembayar cukai. Tujuan dokumen cukai disimpan sebenarnya bukan untuk membantu urusan HASiL semata-mata, sebaliknya ia juga bagi memberikan peluang kepada pembayar cukai meneliti semula pelaporan cukai yang telah mereka buat sebelum ini.
  • Jika pembayar cukai mendapati mereka telah tersalah lapor amaun perbelanjaan atau pelepasan yang menyebabkan mereka rugi kerana terpaksa membayar cukai yang lebih tinggi, mereka sentiasa dialu-alukan untuk menghubungi HASiL bagi urusan semakan semula sekali gus bakal menikmati pengurangan cukai.
  • Maka mulai hari ini amalkan tabiat untuk menyimpan semua dokumen percukaian dengan teratur dan selamat. Ia banyak memberi manfaat kepada pembayar cukai, malah kaedah penyimpannya juga tidaklah rumit kerana dokumen-dokumen tersebut boleh disimpan dalam bentuk salinan cetak (hard copy) ataupun salinan digital (soft copy).

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada HASiL melalui: 

  1. Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
  2. HASiL Live Chat; dan 
  3. Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas 

https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

###

Oleh:

Bahagian Pendidikan Cukai

Jabatan Khidmat Korporat

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

8 Januari 2023

Previous ArticleNext Article

10 Produk Makanan Masa Depan: Kesan Daripada Pengecualian Cukai Baharu

Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan 100% ke atas pendapatan berkanun selama 10 tahun bagi syarikat yang melaksanakan projek baharu pengeluaran bahan makanan, dengan tempoh permohonan dilanjutkan hingga 31 Disember 2030. Bagi syarikat sedia ada yang membuat projek pembesaran, pengecualian 100% selama 5 tahun turut ditawarkan. Pengumuman ini dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di bawah Tekad 5: Memperkukuh Ketahanan Negara di Dewan Rakyat.

Langkah ini dilihat bukan sekadar insentif kewangan tetapi berpotensi mencetuskan gelombang inovasi dan teknologi dalam sektor pertanian negara. Pelaksanaan insentif cukai ini dijangka membuka pintu lebih luas kepada syarikat korporat serta entiti GLC dan GLIC yang sebelum ini berhati-hati untuk memasuki sektor makanan. Dengan risiko pelaburan yang kini lebih rendah, mereka boleh mempertimbangkan langkah lebih besar dalam bidang seperti ladang kontrak, pemprosesan makanan, automasi pertanian, akuakultur dan penternakan intensif.

Berikut adalah 10 contoh produk dan inovasi menarik yang kami jangka akan lahir hasil daripada dasar ini:

1. Ladang Tertutup Pintar (Smart Closed Farm)

Kandang atau reban yang dikawal sepenuhnya oleh sensor dan sistem automatik.

Contoh: Syarikat ternak ayam buat reban tertutup automatik — suhu, cahaya & kipas dikawal oleh sensor. Kalau panas, kipas hidup sendiri.

Kesan: Ayam cepat membesar, kurang mati, kurang bau dan data boleh dipantau dari telefon.

Bagaimana pelepasan cukai membantu?

  • Penternak boleh gunakan galakan cukai projek baharu ini untuk melabur dalam projek automasi (sensor, kipas dan controller reban, auto-feeder, pembersih lantai).

Kesan kepada pengguna:

  • Bila kadar kematian rendah, kos pengeluaran per kg menurun maka potensi harga ayam runcit menjadi lebih murah dalam jangka sederhana (masih bergantung kepada kos logistik dan dasar harga siling).

2. Vertical Farm / Greenhouse Bandar

Tanam sayur secara bertingkat dalam bangunan tertutup (guna LED & baja cecair).

Contoh: Startup dekat Shah Alam buat farm dalam kontena, tanam salad dan herba premium untuk hotel.

Kesan: Tanam sepanjang tahun tanpa gangguan cuaca; hasil lebih konsisten & mesra bandar.

3. Protein Alternatif & Makanan Ternakan daripada Serangga

Guna larva lalat BSF (black soldier fly) sebagai makanan ayam/ikan menjadi sumber protein yang murah dan mampan.

Contoh: Kilang kecil proses sisa makanan jadi makanan larva BSF, kemudian jual semula larva kering ke ladang ayam.

Kesan: Kurangkan kebergantungan kepada dedak import.

Laporan Bernama (25 Jul 2022) & Astro Awani (26 Jul 2022) pernah menyebut tentang kerjasama penyelidik Universiti Malaya × Ain Aquaculture di Kampung Gajah, Pengkalan Chepa (Kelantan); projek penternakan BSF yang bermula tahun 2020 dengan kos awal sekitar RM10,000 sebagai usaha mengurangkan kebergantungan pada sumber import seperti jagung bijian dan soya.

4. Rantaian Sejuk (Cold Chain) Pintar

Sistem simpanan dan penghantaran bahan makanan dengan kawalan suhu automatik.

Contoh: Lori ikan laut dalam dipasang sensor suhu & GPS. Kalau suhu naik, HQ terus dapat amaran.

Kesan: Kurang pembaziran makanan, kualiti kekal segar dari laut ke kedai.

5. Biofertilizer & Biopestisid Tempatan

Baja dan racun organik yang dibuat daripada mikrob atau bahan semula jadi.

Contoh: Syarikat guna sisa kelapa sawit untuk hasilkan baja mikrob aktif untuk sayur-sayuran organik.

Kesan: Kurangkan penggunaan bahan kimia import dan lebih mesra alam.

6. Jejak Halal & Kebolehkesanan (Traceability)

Sistem QR code pada produk untuk sahkan asal-usul bahan makanan.

Contoh: Beli ikan beku, scan QR → keluar info ‘diternak di Johor, dituai 5 Oktober 2025, disimpan pada -18°C’.

Kesan: Tingkatkan keyakinan pengguna dan potensi eksport halal.

7. Agri-Automation-as-a-Service (Sewa Teknologi Pertanian)

Ladang kecil boleh sewa atau langgan servis automasi tanpa perlu beli mesin mahal.

Contoh: Syarikat drone datang sembur baja dan racun secara automatik, ladang cuma bayar ‘per ekar’.

Kesan: Teknologi sampai ke petani kecil tanpa modal besar.

8. Produk Makanan Sedia Makan (Ready-to-Eat) Tempatan

Produk siap masak tapi dibuat daripada bahan mentah tempatan sendiri.

Contoh: Ladang ayam keluarkan nasi lemak ayam kampung sejuk beku – semua bahan dari ladang sendiri.

Kesan: Rantaian nilai lebih panjang, keuntungan lebih tinggi.

9. Benih & Varieti Premium Tempatan

Benih tempatan yang tahan penyakit dan sesuai dengan iklim Malaysia.

Contoh: Usahawan R&D hasilkan benih cili ‘Kampung King’ – tahan panas & cepat berbuah.

Kesan: Petani tak perlu bergantung kepada benih import.

10. Pusat Latihan & Data Agronomi

Tempat petani belajar guna teknologi & kongsi data hasil tanaman.

Contoh: ‘Agri Tech Lab’ ajar guna sensor tanah dan tunjuk data hasil purata untuk banding prestasi ladang.

Kesan: Produktiviti meningkat sebab petani belajar dari data sebenar.

Dasar pengecualian cukai ini membuka ruang untuk transformasi menyeluruh dalam ekosistem makanan negara. Jika digerakkan dengan betul, Malaysia boleh jadi peneraju dalam inovasi agro-teknologi Asia Tenggara.

Baca juga :