Pembaharuan Cukai untuk PKS di Malaysia: Apa Yang Perlu Anda Tahu 

Ketahui lebih lanjut tentang pembaharuan dan semakan kepada peraturan cukai, dibangunkan untuk menyokong PKS dengan peralihan kepada e-invois dan pendigitalan, serta geran dan rebat untuk membantu PKS terus berdaya saing.

Di Malaysia, Belanjawan 2024 mengemukakan beberapa perubahan penting yang berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, sesetengahnya adalah relevan kepada perusahaan bersaiz kecil dan sederhana (PKS). Biarpun tumpuan adalah terhadap peralihan mandatori kepada e-invois, adalah penting untuk tidak mengabaikan insentif dan pengurangan yang dikemaskini khusus untuk PKS.

Ng Sue Lynn, Rakan Kongsi dan Ketua Cukai Tidak Langsung di KPMG di Malaysia dan juga Felo bagi ACCA (Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun) menjelaskan tentang elemen utama yang perlu diberi perhatian oleh PKS.

Pengecualian cukai baharu

Di samping keperluan e-invois yang dijangkakan, yang masih menunggu untuk diwartakan, PKS akan menikmati pengurangan khas RM50,000 bagi tahun dinilai (YA) dari YA 2024 kepada YA 2027 untuk menyokong pelaksanaannya.

Suatu lagi yang baharu adalah Elaun Cukai Pelaburan (ITA), untuk menggalakkan PKS untuk membuat pelaburan semula di dalam perniagaan mereka.

“ITA menggalakkan syarikat sedia ada yang telah menghabiskan tempoh kelayakan Elaun Pelaburan Semula mereka untuk menambah kapasiti dan pelaburan di dalam aktiviti bernilai tinggi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baru 2030,” jelas Ng. Walaupun garis panduan penuh belum dikeluarkan, kadar kelayakan akan ditentukan dengan menggunakan pendekatan berasaskan hasil. PKS boleh memohon kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2028.

Rebat dan pengecualian lain

Sebahagian daripada pengecualian sedia ada masih boleh didapati walaupun dengan kelayakan yang lebih ketat. Ini termasuklah rebat cukai syarikat permulaan, kadar cukai pendapatan konsesi dan elaun modal khas.

  • Rebat cukai syarikat permulaan terpakai kepada syarikat baru ditubuhkan, yang ditubuhkan pada atau selepas Julai 2020 dan tidak lebih dari 31 Disember 2022. Jika syarikat anda memenuhi syarat yang digariskan di dalam Cukai Pendapatan (Syarat bagi Geran Rebat di bawah subseksyen 6D(4)) Peraturan 2021, anda layak bagi rebat cukai sebanyak RM20,000 bagi YA tiga tahun berturut-turut. 
  • Konsesi bagi kadar cukai pendapatan telah dikurangkan sejak YA 2023 dari 17% kepada 15% bagi pendapatan boleh dicaj pertama sebanyak RM150,000. Seterusnya, kadar 17% akan terpakai kepada pendapatan boleh dicaj dari RM150,001 hingga RM600,000, dan kadar seterusnya adalah 24%, iaitu kadar bagi bukan PKS. 
  • Elaun modal khas pada kadar 100% adalah terpakai bagi aset bernilai kecil sebanyak RM2,000 atau kurang bagi setiap barangan, seperti perabut dan peralatan digital. Bagi barangan yang bernilai lebih daripada jumlah ini, kadar biasa masih terpakai. Berita baiknya adalah tidak ada had bagi PKS, manakala bagi bukan PKS terdapat had RM20,000 ke atas agregat tuntutan bagi setiap YA.

Pengecualian dan geran 

Ng turut menyatakan bahawa pinjaman mikro kredit di bawah RM50,000 adalah dikecualikan daripada duti setem.

Tambahan lagi, Skim Geran Pendigitalan adalah kerjasama terbaru antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Ia menawarkan geran padanan sebanyak 50%, dihadkan kepada RM5,000 setiap entiti bagi membantu PKS dengan pendigitalan, katanya.

Nasihat pakar 

Sejujurnya, ia memerlukan usaha untuk mengetahui tentang keperluan percukaian terkini, lebih-lebih lagi untuk mempelajari bagaimana memaksimumkan manfaat yang ada untuk membantu anda.

Bagi membantu, Ng mencadangkan untuk menghadiri sesi latihan, bengkel dan seminar secara berterusan yang dianjurkan oleh pihak berkuasa cukai seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (RMCD) dan agensi kerajaan lain, serta oleh organisasi seperti ACCA yang menyediakan pemberitahuan terkini secara berterusan. Selain daripada sentiasa mendapat maklumat daripada berita terkini, sesi sebegini juga memberi peluang berharga kepada anda untuk bertanyakan soalan dan menjelaskan tentang perkara yang tidak difahami, seperti definisi berbeza tentang terma ‘PKS’ yang mungkin memberi kesan kepada kelayakan anda ke atas sesetengah insentif.

Secara amnya, PKS didefinisi sebagai:

  • Sebuah syarikat residen yang ditubuhkan di Malaysia
  • Modal berbayar tidak lebih daripada RM2.5 juta pada awal tempoh asas
  • Pendapatan kasar daripada perniagaan tidak lebih daripada RM50 juta bagi YA (berkuatkuasa dari YA 2020) 
  • Tidak berkait dengan bukan PKS
  • Tidak lebih daripada 20% modal berbayar dalam saham biasa atau sumbangan modal pada permulaan YA yang dimiliki secara langsung/tidak langsung atau disumbang oleh satu atau lebih syarikat yang ditubuhkan di luar Malaysia atau individu yang bukan rakyat Malaysia (berkuatkuasa dari YA 2024) 

“Sehubungan itu, saya ingin menyatakan bahawa terdapat tiga perkara penting yang PKS perlu lakukan dalam membuat laporan cukai. Pertama, semak semula status syarikat anda untuk memastikan ia mematuhi pelbagai keperluan peraturan. Kedua, sebelum membuat apa-apa tuntutan insentif, pastikan syarikat anda memenuhi kriteria kelayakan, memandangkan kebanyakan insentif mempunyai syarat. Ketiga, jangan menunggu hingga ke saat akhir untuk memastikan dokumen anda teratur,” kata Ng.

Bertenang dan failkan cukai anda

Bagi kebanyakan orang dan juga syarikat, kunci untuk memudahkan pemfailan cukai adalah menjadi teratur dan sistematik. 

“Wujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi semua dokumentasi berkaitan perniagaan dan kewangan. Bertindak rapi dalam mendapatkan maklumat secara terperinci yang mungkin, sentiasa mengemaskini, dan menyelenggara dengan baik. Asas ini penting bagi keseluruhan perniagaan anda dan memastikan anda mempunyai semua maklumat yang perlu di tangan apabila musim cukai tiba,” kata Ng.

Dalam syarikat-syarikat bersiap-sedia untuk peralihan kepada e-invois, Ng menyarankan pemilik perniagaan melawat portal LHDN bagi melihat e-invois secara menyeluruh, yang bakal menjadi mandatori kepada semua menjelang 1 Julai 2025. 

Apabila dilengkapi dengan pengetahuan yang relevan, pemilik perniagaan akan mengambil langkah seterusnya seperti mendidik kakitangan dan pemegang kepentingan tentang keperluan baru ini, dan melaksanakan penilaian berterusan ke atas operasi perniagaan untuk memastikan pematuhan kepada pengeluaran dan penerimaan invois. Dengan tarikh akhir ditetapkan pada 1 Julai 2025 kepada PKS, beliau turut menasihatkan agar melihat kepada sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) syarikat bagi memastikan ia sesuai dengan LHDN dan mampu mengeluarkan e-invois.

“Walaupun perubahan-perubahan ini agak menyulitkan, bertindak awal dapat membantu kepada peralihan yang lebih lancar,” kata Ng. “Sentiasa ingat bahawa terdapat sumber dan maklumat yang sedia ada untuk menyokong PKS. Bagi jangka masa panjang, pendigitalan datang dengan manfaat menjimatkan kos, meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kesilapan, di samping memberi masa untuk lebih banyak fungsi strategik, dan membolehkan anda mengembangkan syarikat.”

  

Previous ArticleNext Article

Kerjasama microLEAP Dan Halal Development Corporation Melonjak Peluang Pembiayaan Patuh Syariah Untuk PKS Halal Selaras Dengan Tumpuan Belanjawan 2026

Kuala Lumpur, Malaysia – Oktober 22, 2025 – Susulan pengumuman Belanjawan 2026 oleh kerajaan yang memberi penekanan baharu terhadap pemberdayaan PKS, pembiayaan mampan dan pembangunan ekosistem Halal di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, microLEAP dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) mengumumkan satu kerjasama strategik bagi memperluas peluang pembiayaan patuh Syariah kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang diperakui Halal.

Kerjasama ini menyokong fokus Belanjawan 2026 dalam memperkasa ekonomi Halal Malaysia sebagai tonggak utama pertumbuhan negara, di samping menyokong pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) yang beraspirasikan “Halal Malaysia yang Terserlah, Tersusun dan Bertaraf Global”. Secara khususnya, inisiatif ini selaras dengan Teras Strategik 4: Pemerkasaan Kualiti dan Pembangunan Infrastruktur Bersepadu, dengan memperkukuh infrastruktur kewangan serta akses kepada modal bagi membolehkan perusahaan Halal berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa.

Melalui kerjasama ini, lebih daripada 14,000 ahli berdaftar di bawah Platform Integrasi Halal (HIP) HDC akan mendapat akses kepada ekosistem pembiayaan patuh Syariah microLEAP, yang membolehkan mereka mendapatkan pembiayaan untuk pengembangan perniagaan, persediaan pensijilan Halal dan peluang pertumbuhan baharu.

microLEAP, sebuah platform Pembiayaan Rakan Setara (P2P) patuh Syariah yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, menawarkan dua pilihan pembiayaan utama yang direka khusus untuk memenuhi keperluan PKS. Produk Pembiayaan Mikro menyediakan akses kepada dana sehingga RM50,000 bagi perniagaan kecil yang memerlukan modal kerja atau pengembangan awal, manakala Pembiayaan Invois menawarkan had lembut sehingga RM500,000 bagi perusahaan yang mempunyai keperluan operasi dan aliran tunai yang lebih besar. Kedua-dua penyelesaian ini direka untuk memberikan PKS Halal pilihan pembiayaan yang fleksibel, beretika dan telus, selaras dengan prinsip Syariah.

Kerjasama dengan HDC juga akan menyelaraskan kesiapsiagaan kewangan dengan piawaian pensijilan, membantu usahawan beralih daripada status diperakui Halal kepada menjadi lebih berdaya saing dalam industri. Selain itu, inisiatif ini turut bertujuan menggalakkan lebih ramai pelabur untuk menyertai pembiayaan PKS berasaskan Syariah, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap tadbir urus dan daya tahan sektor ini.

Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar, berkata bahawa kerjasama ini merupakan penjajaran tepat antara hala tuju dasar negara dan pelaksanaan pasaran. “Misi kami adalah untuk membuka laluan pembiayaan yang adil, telus dan mudah diakses. Dengan Belanjawan 2026 yang menggariskan hala tuju jelas bagi pertumbuhan yang mampan dan inklusif, pembiayaan patuh Syariah mesti memainkan peranan utama dalam memperkasa PKS Halal. Kerjasama dengan HDC membolehkan kami memperluas visi ini dengan lebih bermakna, membantu perniagaan mendapatkan pembiayaan yang diperlukan untuk berkembang, mengeksport dan menyumbang kepada kepimpinan Malaysia dalam ekonomi Halal global.”

Sejak tahun 2019, microLEAP telah menyalurkan lebih RM438.6 juta dalam pembiayaan patuh Syariah kepada 357 PKS merangkumi sektor perdagangan, perkhidmatan, makanan dan minuman, teknologi serta kejuruteraan. Pada suku ketiga tahun 2025, platform ini telah menyalurkan RM57.5 juta, peningkatan sebanyak 113 peratus tahun ke tahun. Sehingga Oktober 2025, kadar gagal  microLEAP telah menurun kepada 0.34 peratus, menggambarkan kualiti portfolio yang kukuh dan amalan kredit yang berhemat.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari, berkata kerjasama ini mengukuhkan matlamat jangka panjang Malaysia untuk memajukan ekonomi Islam sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan negara. “Belanjawan 2026 dan Pelan Induk Industri Halal 2030 kedua-duanya mengiktiraf sektor Halal sebagai pemangkin inovasi dan keterangkuman. Cabaran sebenar bagi perniagaan Halal bukanlah sekadar mendapatkan pensijilan, tetapi akses kepada modal. Dengan adanya kerjasama bersama microLEAP, kami menyokong misi HIMP 2030 untuk membina ekosistem Halal yang bersepadu dan berdaya saing, di mana perniagaan dapat berkembang secara mampan, berinovasi dengan yakin dan bersaing di peringkat global.”

Kerjasama antara microLEAP dan HDC ini merupakan langkah konkrit ke arah mengintegrasikan pembiayaan patuh Syariah dalam infrastruktur industri Halal negara. Selaras dengan pelaksanaan Belanjawan 2026 dan HIMP 2030, kedua-dua organisasi ini komited untuk memastikan PKS Halal bukan sahaja menjadi peserta patuh dalam ekonomi, tetapi juga pemacu utama pertumbuhan, inovasi dan daya saing global Malaysia.