Lamborghini Urus SE Kini Di Pasaran Malaysia Pada Harga Bermula RM1.02 Juta

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) — Lamborghini Kuala Lumpur melancarkan Lamborghini Urus SE di Malaysia hari ini dengan harga atas jalan tanpa insurans bermula daripada RM1.02 juta.

Kenderaan itu ialah versi plug-in hibrid pertama bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) Lamborghini Super dan membuat penampilan sulung antarabangsanya pada April di Beijing Auto Show 2024.

Ia berkata Urus SE menampilkan reka bentuk baharu, aerodinamik yang dioptimumkan, teknologi “onboard” yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan penjana kuasa hibrid 800 CV, yang kesemuanya dibangunkan untuk Urus SE dari segi keselesaan, prestasi, kecekapan, pelepasan dan keseronokan pemanduan.

Dengan “dua jantung” iaitu enjin pembakaran dalaman dan kuasa elektrik, tork dan kuasa jentera itu adalah yang tertinggi, kata Lamborghini sambil menambah Urus SE berada di kedudukan yang unik dalam kategorinya dan menawarkan pengurangan dalam pelepasan sehingga 80 peratus.

Pengarah Wilayah Automobili Lamborghini Asia Pasifik Francesco Scardaoni berkata syarikat itu menjangkakan pelanggan baharu akan membeli model itu terutamanya generasi muda yang lebih menumpukan kepada kemampanan.

“Model Urus generasi pertama telah dilancarkan pada 2018. Ia merupakan satu kejayaan yang menakjubkan, dan 70 peratus daripada pelanggan (yang membeli Urus) adalah baharu kepada jenama itu.

“Kami menjangkakan akan ada pelanggan baharu yang akan membeli Lamborghini, terutama mereka yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada kemampanan, khususnya generasi muda,” katanya kepada pemberita hari ini.

Scardaoni juga berkata model Urus SE telah menerima banyak tempahan dari seluruh dunia, termasuk rantau Asia dan Malaysia.

“Kejayaan Urus SE mula menunjukkan hasilnya apabila pasaran memberi reaksi segera apabila model ini diperkenalkan,” katanya.

Lamborghini Urus SE kini dibuka untuk tempahan di Malaysia melalui Lamborghini Kuala Lumpur dan pengedar-pengedar yang sah.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Telah Putuskan Dan Tetapkan Tarikh Rasionalisasi Subsidi Diesel – Menteri Ekonomi

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) — Kerajaan telah memutuskan dan menetapkan tarikh rasionalisasi subsidi diesel, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata pengumuman itu akan dibuat pada masa yang sesuai.

“Cuma turutan perlu diperbetulkan dan ia adalah mengenai mengimbangi dan mengurangkan risiko inflasi yang mendadak. Kami telah menemui jalan penyelesaian,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Banci Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OSGE) 2024 di sini hari ini.

Rafizi berkata kerajaan perlu memastikan bahawa ia tidak memberi kesan terhadap inflasi.

“Satu lagi sebab, bekalan. Sebab kadangkala bagi pelan awal…tiba-tiba pengguna akan ‘stock-up’ (menambah bekalan) awal sebab mereka tahu harga akan naik dalam masa dua atau tiga bulan lagi.

“Jika kita melakukan penyasaran semula subsidi diesel untuk tujuan menguruskan kegiatan menyorokkan bekalan dan penyeludupan, pengumuman tarikh itu akan menyumbang kepada peningkatan penyeludupan,” katanya.

Beliau juga berkata adalah mustahil untuk penguatkuasaan yang lebih ketat kerana terdapat hanya kira-kira 2,500 pegawai penguatkuasa.

Kementerian Kewangan telah mengumumkan bawaha pemilik kenderaan diesel persendirian individu boleh mengemukakan permohonan di bawah kategori individu manakala petani kecil dan pekebun kecil boleh mengemukakan permohonan di bawah kategori komoditi pertanian Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI.

Penerima yang layak akan menerima bantuan BUDI MADANI sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan subsidi diesel bersasar.

— BERNAMA